BERITA TERKINI   Bursa sasar permodalan pasaran IPO RM28 bilion tahun ini daripada RM27.4 bilion pada 2025 dengan tumpuan kepada penyenaraian yang lebih besar dan berkualiti tinggi - Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia | Kerajaan sedang gubal Akta Keterjaminan Makanan Negara, asas perundangan kukuh pelihara kedaulatan makanan - TPM Fadillah | Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2030 pacu transformasi sektor agromakanan negara - TPM Fadillah | RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | 

Ringgit Ditutup Lebih Tinggi Berbanding Dolar AS

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat, meningkat daripada penyusutan baru-baru ini.

Mata wang itu menokok meskipun risiko geopolitik yang meningkat di Timur Tengah dan menjelang data senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) dikeluarkan pada lewat malam ini yang boleh menentukan hala tuju kadar faedah AS.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.2155/2240 berbanding dolar AS daripada 4.2185/2250 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata konflik di Timur Tengah kekal sebagai faktor risiko utama di pasaran dengan harga minyak mentah Brent meningkat kepada US$78.3 setong.

“Selain itu, pasaran sedang menunggu data NFP AS dikeluarkan lewat malam ini, yang dijangka mencatat 147,000 pekerjaan pada September daripada 142,000 pada bulan sebelumnya. Data pekerjaan yang kukuh bererti Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin melaksanakan pendekatan terukur untuk pelonggaran monetari,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang utama, kecuali berbanding euro apabila meningkat kepada 4.6484/6578 daripada 4.6555/6627 semalam.

 Ia lebih rendah berbanding yen Jepun kepada 2.8779/8839 daripada 2.8711/8757 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.5505/5617 daripada 5.5330/5415.

Mata wang tempatan mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.2489/2557 daripada 3.2523/2575 semasa ditutup semalam dan berbanding rupiah Indonesia kepada 272.1/272.9 daripada 273.4/273.9.

Ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.7549/7861 daripada 12.7270/7520 dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 7.49/7.51 daripada 7.48/7.50 semasa ditutup semalam.

-- BERNAMA