BERITA TERKINI   Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | Tiada sebab harga gula bertapis dinaikkan kerana syarikat seperti MSM Malaysia Holdings Bhd terus terima insentif bulanan kerajaan bagi pastikan kestabilan bekalan, harga - Kementerian Kewangan | Gula bertapis atau gula putih kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula SST yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 - Kementerian Kewangan | Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | 

Pusat Data Muncul Sebagai Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi Malaysia - RHB IB

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Pelaburan pusat data (DC) adalah pemangkin yang membolehkan peningkatan kompleksiti ekonomi Malaysia dan memajukan kedudukannya di tangga teknologi, kata RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

Dalam nota penyelidikan, RHB IB menekankan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dibangunkan tepat pada masanya berfungsi sebagai rangsangan yang kuat, mewujudkan asas yang menarik untuk DC berkembang.

“Kita terus melihat banyak berita yang berkaitan DC telah membentuk sentimen pasaran, didorong oleh permintaan struktur, persekitaran kadar faedah yang rendah dan pelaburan berbilang tahun oleh hiperskala.

“Pelaburan DC yang diluluskan dijangka mencapai paras tertinggi baharu pada 2024, menjelang penggubalan garis panduan untuk pembinaan baharu. Pelaburan yang sedang disalurkan adalah kekal teguh dan berlanjutan hingga 2025,” katanya.

Selain itu, landskap DC domestik Malaysia telah menerima rangsangan yang ketara daripada hiperskala yang komited untuk mewujudkan wilayah pengkomputeran awan.

"Pelaburan berbilion ringgit menyediakan asas yang kukuh untuk pertumbuhan, melengkapkan pelaburan daripada penyedia lokasi bersama secara borong," tambahnya.

Menurut DC Byte, bekalan lebih daripada 1.0 gigawatt (GW) dijangka berlaku dalam tempoh dua tahun akan datang, berbanding kapasiti terpasang semasa yang kurang daripada 400 megawatt (MW).

“Kira-kira 3.0 GW kapasiti sedang dalam peringkat pembangunan dan akan ditambah secara progresif dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

“Menjelang 2028, potensi inventori DC boleh menjadi 10 kali lebih besar daripada apa yang telah dibina oleh industri sejak dua dekad lalu.

“Ini akan meletakkan Malaysia di hadapan Singapura sebagai hab DC terbesar di Asia, di mana kapasiti dijangka stabil pada 1.4 GW berikutan kekangan kawasan bertanah dan keadaan yang lebih ketat untuk pembangunan baharu,” katanya.

RHB IB juga menjangkakan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang dipercepatkan memacu permintaan untuk infrastruktur DC yang berskala.

"Model AI yang lebih kompleks akan membawa kepada pertumbuhan eksponen dalam beban kerja DC dengan meningkatnya pelaburan dalam unit pemprosesan grafik yang diperlukan bagi mengurus dan memproses set-set data yang luas yang diperlukan untuk melatih model AI," katanya.

Sehubungan itu, saham-saham DC yang menjadi pilihan RHB IB termasuk Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd, IJM Corp Bhd dan Mah Sing Group Bhd.

-- BERNAMA