BERITA TERKINI   Subsidi kerajaan naik kepada RM3.2 bilion daripada RM700 juta sebulan untuk petrol dan diesel - Amir Hamzah | Kerajaan berusaha memastikan bekalan bahan api berterusan selepas Mei - Amir Hamzah | Kabinet setuju stok beras negara ditambah sehingga tempoh sembilan bulan akan datang, pastikan bekalan mencukupi - Mohamad Sabu | Rakyat dinasihat tidak panik, bekalan makanan dijamin mencukupi menjelang Aidilfitri - Mohamad Sabu | Kerajaan akan terus memperkukuh ekonomi negara, pembaharuan ekonomi untuk menarik lebih banyak FDI - Amir Hamzah  | 

Inflasi Malaysia Turun Kepada 1.9 Peratus Pada Ogos - Perangkaan

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Kadar inflasi Malaysia bagi Ogos 2024 mereda kepada 1.9 peratus, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) mencecah 133.2, berbanding 130.7 pada bulan yang sama tahun sebelum itu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam laporan IHP bagi Ogos 2024, DOSM berkata peningkatan inflasi didorong oleh peningkatan bagi kumpulan utama restoran dan perkhidmatan penginapan (3.2 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.2 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api Lain (3.1 peratus) dan rekreasi, sukan dan kebudayaan (2.0 peratus).

Bagaimanapun, pakaian dan kasut masih kekal negatif 0.2 peratus pada Ogos 2024.

DOSM berkata kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 1.6 peratus pada Ogos 2024, kadar yang sama direkodkan pada Julai 2024.

Dalam kumpulan ini, subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.3 peratus terutamanya disumbangkan oleh inflasi kelas perbelanjaan sayur-sayuran yang merekodkan peningkatan sebanyak 2.2 peratus (Julai 2024: 2.9 peratus).

Inflasi bagi kelas perbelanjaan daging menurun kepada negatif 0.7 peratus pada Ogos 2024 (Julai 2024: -1.1 peratus), dengan ayam segar, yang merupakan komponen terbesar dalam kategori ini iaitu sebanyak 32.6 peratus merekodkan penurunan 2.2 peratus (Julai 2024: -2.7 peratus).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.9 peratus, kecuali Pulau Pinang (3.3 peratus), Pahang (2.8 peratus), Sarawak (2.5 peratus) dan Selangor (2.3 peratus).

"Kesemua negeri mencatatkan peningkatan dalam inflasi makanan dan minuman dengan kadar tertinggi dicatatkan oleh Selangor pada 2.8 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (2.7 peratus), Sarawak (2.0 peratus), Pahang (1.9 peratus), Putrajaya (1.8 peratus) dan Terengganu (1.6 peratus)," katanya.

DOSM juga berkata inflasi Malaysia lebih rendah berbanding Vietnam (3.5 peratus), Filipina (3.3 peratus), Indonesia (2.1 peratus), dan Republik Korea (2.0 peratus).

Bagaimanapun, ia lebih tinggi berbanding di China (0.6 peratus) dan Thailand (0.4 peratus).

-- BERNAMA