BERITA TERKINI   PM Anwar pantau secara serius operasi evakuasi rakyat Malaysia dari zon konflik di Timur Tengah - PMO | Perdana Menteri akan umum berita baik untuk rakyat menjelang Aidilfitri - PMO | Pelan Induk Pasaran Modal sasar gerakkan pembiayaan terkumpul RM90 bilion-RM100 bilion bagi projek yang membawa impak alam sekitar dan sosial boleh diukur, meningkat kepada RM550 bilion-RM800 bilion menjelang 2045 | Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 sasar aset dengan pendedahan asas asing RM100 bilion hingga RM110 bilion menjelang 2030, dan RM200 bilion hingga RM300 bilion menjelang 2045 | Pelan Induk Pasaran Modal terkini melengkapkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara bagi menggerakkan pasaran modal ke arah pertumbuhan mampan - PM Anwar | 

Peletakan Jawatan Juruaudit Luar Amalan Tadbir Urus Rutin - Bina Darulaman

ALOR SETAR, 19 Sept (Bernama) -- Bina Darulaman Bhd hari ini menjelaskan peletakan jawatan juruaudit luarnya, KPMG PLT, yang berkuat kuasa 9 Sept, 2024, adalah sebahagian daripada amalan tadbir urus rutin.

Peletakan jawatan juruaudit itu adalah susulan daripada pelanjutan tempoh perkhidmatannya selama 10 tahun dari 2014 hingga 2023, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

“Lembaga pengarah Bina Darulaman menghargai segala jasa KPMG dan berharap dapat meneruskan hubungan yang positif semasa tempoh peralihan ini,” katanya.

KPMG berkata kumpulan itu masih belum mengaudit laporan kewangan tahun ini, jadi peralihan tersebut tidak akan menjejaskan integriti kewangannya.

"Kumpulan telah menyenarai pendek BDO PLT sebagai juruaudit baharu, sementara menunggu dokumentasi rasmi untuk memuktamadkan pelantikan dan menyelaraskannya dengan objektif strategik," katanya.

Pemaju hartanah itu juga menegaskan peralihan tersebut tidak akan memberi impak kepada operasinya.

“Kumpulan komited terhadap aktiviti perniagaannya dan akan terus memenuhi semua keperluan kawal selia.

“Lembaga pengarah yakin perubahan juruaudit luar akan memastikan kelancaran proses pelaporan kewangan dan membolehkan syarikat mendapat manfaat daripada perspektif dan pandangan baharu firma audit lain,” katanya.

Bina Darulaman juga berkata ia komited sepenuhnya untuk menegakkan standard tertinggi tadbir urus korporat, mengikut garis panduan yang ditetapkan dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2021.

-- BERNAMA