BERITA TERKINI   Iran tutup seluruh ruang udara susulan serangan Israel pada Sabtu - agensi berita Mehr | Letupan kedengaran di ibu kota Iran, Tehran, dengan asap tebal kelihatan menjulang: agensi berita IRNA | Keahlian KWSP catat pertumbuhan luar biasa kepada 18.1 juta (2024: 16.2 juta) didorong oleh perubahan dalam dasar carumannya untuk pekerja bukan warganegara - CEO | Bagi 2025, KWSP umum kadar dividen 6.15 peratus (2024: 6.3 peratus) untuk akaun simpanan konvensional dan syariah, dengan jumlah pembayaran RM79.6 bilion | 

SC, MyCreative Lancar Pertandingan Ketengah Warisan Batik Malaysia Di Persada Dunia

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bekerjasama dengan Kumpulan MyCreative Ventures untuk melancarkan pertandingan reka corak batik bagi mengetengahkan warisan batik Malaysia di persada dunia.

Ketika Malaysia bersiap sedia menggalas jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, SC akan mengetuai inisiatif ini dalam Trek Kewangan (Financial Track) yang diterajui Kementerian Kewangan untuk memartabatkan batik Malaysia.

Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata inisiatif ini selaras dengan matlamat suruhanjaya itu untuk memupuk pertumbuhan inklusif dan menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Ia juga peluang bagi SC memupuk ekonomi kreatif dan menyokong penggiat seni tempatan,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures Zainariah Johari berkata inisiatif Batik Lestari tersebut adalah peluang keemasan untuk mencipta semula dan mengangkat batik Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.

"MyCreative Ventures memainkan peranan penting membawa kepakaran yang diperlukan dalam mendekati industri kreatif dan menyokong pertandingan ini melalui pangkalan data dan pengalamannya dalam menyokong industri kreatif sejak 2012," katanya.

Bertemakan Batik Lestari, pertandingan ini bertujuan untuk menonjolkan kepelbagaian bakat di seluruh negara dan memberi peluang kepada penggiat seni tempatan untuk menyumbang tafsiran unik mereka terhadap reka corak batik Malaysia

Reka corak pemenang akan digunakan dalam pelbagai elemen kepada para pemimpin dan perwakilan pada acara ASEAN 2025.

Pertandingan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dan penyertaan akan dibuka pada 16 September 2024 sempena Hari Malaysia hingga tarikh tutup pada 18 Oktober 2024.

-- BERNAMA