TINTA MINDA

Derita Senyap: Bahaya Isu Ergonomik Di Tempat Kerja

09/10/2025 04:48 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Nurulain Mustafa Udin dan Fairus Muhamad Darus

Setiap hari, jutaan pekerja di Malaysia melalui rutin kerja yang hampir sama seperti duduk lama di meja pejabat, menaip di komputer, mengangkat barang berat di gudang, memandu kenderaan berjam-jam atau berdiri lama di barisan pengeluaran kilang.

Pada pandangan mata kasar, semua ini kelihatan biasa. Namun, di sebalik kebiasaan itu tersembunyi penderitaan yang sering diabaikan iaitu masalah ergonomik yang menjejaskan kesihatan pekerja secara perlahan, sedikit demi sedikit.

Apa itu ergonomik?

Ergonomik merujuk kepada sains menyesuaikan kerja dengan kemampuan, batasan dan keperluan manusia.

Ia bukan sahaja tentang kerusi yang selesa atau meja yang tinggi rendahnya boleh dilaras, tetapi juga merangkumi susun atur tempat kerja, reka bentuk alatan yang digunakan, beban tugas, tempoh kerja, malah faktor persekitaran seperti pencahayaan dan suhu.

Tujuan ergonomik ini jelas demi mengurangkan tekanan pada tubuh dan meningkatkan produktiviti.

Di Malaysia, kesedaran tentang ergonomik masih dianggap baharu berbanding isu keselamatan pekerjaan lain seperti kebakaran atau bahan kimia.

Ramai pekerja dan majikan lebih menitikberatkan kelajuan kerja berbanding keselesaan postur, tanpa menyedari bahawa pengabaian faktor ergonomik boleh menyebabkan kos perubatan dan kehilangan produktiviti yang tinggi.

Realiti di tempat kerja

Kajian Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menunjukkan bahawa penyakit muskuloskeletal seperti sakit belakang, lenguh leher, dan masalah pada sendi bahu serta pergelangan tangan merupakan antara aduan kesihatan paling tinggi dalam kalangan pekerja Malaysia.

Pekerja kilang elektronik, sebagai contoh, sering terdedah kepada pergerakan berulang yang pantas dan membongkok dalam jangka masa panjang.

Begitu juga dengan pemandu lori atau bas yang terpaksa duduk berjam-jam dalam kenderaan dengan getaran berterusan.

Di pejabat, pekerja pula berdepan risiko yang kelihatan ringan tetapi kronik seperti duduk lama dengan postur salah, menaip di papan kekunci tanpa sokongan pergelangan tangan, atau menatap skrin komputer tanpa rehat.

Semua ini mengundang sindrom carpal tunnel, ketegangan mata, malah masalah obesiti akibat gaya hidup sedentari.

Kos tersembunyi

Ramai menganggap gangguan muskuloskeletal sekadar sakit kecil yang boleh diatasi dengan ubat tahan sakit.

Hakikatnya, tanpa rawatan dan penyelesaian faktor risiko di tempat kerja, ia boleh menjadi penyakit kronik yang menjejaskan kualiti hidup.

Majikan pula terpaksa menanggung kos rawatan pekerja, cuti sakit yang panjang, dan produktiviti yang merosot.

Menurut laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), masalah kesihatan pekerjaan menyumbang kepada kerugian ekonomi negara sehingga 4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Di Malaysia, beban ini semakin terasa dalam sektor yang bergantung kepada tenaga kerja manual dan rutin berulang.

Contohnya, industri pembuatan dan logistik yang menjadi tulang belakang ekonomi negara berdepan cabaran kehilangan tenaga kerja mahir akibat kecederaan jangka panjang.

Dimensi psikososial

Selain kesan fizikal, penderitaan akibat ergonomik juga menjalar ke aspek psikologi.

Pekerja yang sentiasa berdepan kesakitan ringan tetapi berpanjangan cenderung mengalami tekanan, kelesuan emosi, dan hilang motivasi.

Situasi ini diperburuk dengan budaya kerja di Malaysia yang masih menyanjung “kerja keras” berbanding “kerja bijak”.

Ramai pekerja berasa bersalah jika kerap berehat atau melakukan regangan badan, walaupun ia sebenarnya penting untuk kesihatan jangka panjang tubuh dan minda.

Usaha dan cabaran di Malaysia

Kerajaan melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sebenarnya telah memperkenalkan Guidelines on Ergonomic Risk Assessment At Workplace 2017 (ERA) untuk membantu majikan mengenal pasti risiko ergonomik.

Program latihan juga dijalankan oleh pelbagai agensi, antaranya NIOSH untuk meningkatkan kesedaran.

Namun, cabaran utama ialah tahap pelaksanaan di tempat kerja masih rendah.

Banyak syarikat kecil dan sederhana (PKS) tidak mempunyai sumber kewangan atau kepakaran untuk melaksanakan penilaian ergonomik secara menyeluruh.

Di samping itu, pekerja sendiri kurang pengetahuan. Kesedaran proaktif masih kurang contohnya, memastikan skrin komputer sejajar dengan mata, atau menukar posisi duduk setiap 30 minit.

Ramai hanya menyedari kepentingan ergonomik apabila sudah jatuh sakit.

Urus Ergonomik

Isu ergonomik tidak boleh dipandang ringan jika Malaysia mahu memastikan tenaga kerja yang sihat dan produktif.

Beberapa langkah boleh dipertimbangkan seperti melaksankan program pendidikan ergonomik sejak awal.

Contohnya, sesi induksi pekerja baharu wajar didedahkan dengan latihan asas ergonomik, sama pentingnya dengan latihan keselamatan kebakaran.

Selain itu, majikan wajar melabur kepada peralatan mesra tubuh seperti meja boleh laras, kerusi menyokong tulang belakang, dan alatan kerja yang sesuai dengan keperluan tubuh badan.

Walaupun kos awal lebih tinggi, namun ia boleh mengurangkan kos jangka panjang akibat rawatan dan cuti sakit.

Penekanan kepada budaya rehat berkala perlu dijadikan amalan. Majikan boleh menggalakkan sesi regangan ringkas atau “microbreak” setiap satu jam. Langkah kecil ini terbukti membantu mengurangkan risiko kecederaan.

Di samping itu, pelaksanaan penguatkuasaan lebih tegas, di mana JKKP perlu memperluas pemantauan terhadap syarikat, bukan sahaja pada isu besar seperti bahan kimia atau mesin berat, tetapi juga faktor risiko ergonomik.

Pihak universiti dan institusi penyelidikan perlu terus menjalankan kajian dalam konteks ergonomik di Malaysia, kerana postur, budaya kerja, serta jenis industri tempatan mungkin berbeza dengan negara maju.

Kesimpulan

“Derita senyap” bukan sekadar ungkapan puitis, tetapi realiti senyap yang menjejaskan ribuan pekerja Malaysia.

Mereka mungkin tidak rebah di tempat kerja, tetapi tubuh mereka perlahan-lahan menanggung beban keletihan dan kesakitan yang akhirnya menjejaskan kualiti hidup.

Isu ergonomik perlu dilihat bukan hanya sebagai hal teknikal, tetapi sebagai tanggungjawab moral dan ekonomi.

Tenaga kerja Malaysia ialah aset utama negara. Jika mereka terus menderita dalam rutin tanpa perubahan, negara akhirnya menanggung kerugian yang jauh lebih besar.

Oleh itu, sudah tiba masanya kita menyedari bahawa bekerja dengan selesa dan sihat bukan satu kemewahan, tetapi hak asasi setiap pekerja yang menyumbang kepada kemajuan negara.

-- BERNAMA

Dr Nurulain Mustafa Udin dan Fairus Muhamad Darus ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)