Oleh Dr Sarifah Nurhanum Syed Sahuri
Pendidikan merupakan satu komponen penting dalam kehidupan setiap manusia.
Pengalaman pembelajaran membina pengetahuan, kemahiran, sikap, nilai dan pegangan hidup seseorang individu.
Bahkan, pengalaman ini juga memberi ruang kepada seseorang untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan bermasyarakat dan membina peradaban sesuatu bangsa dan negara.
Menurut Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, proses pendidikan ialah satu proses membentuk manusia beradab yang memiliki disiplin tinggi dalam aspek pemikiran, perasaan dan tindakan untuk menentukan keputusan yang tepat pada tempat dan masanya sehingga membawa keadilan dan manfaat kepada umat manusia.
Oleh itu, setiap orang memainkan peranan penting dalam pendidikan memandangkan proses pembelajaran boleh berlaku secara formal atau tidak formal.
Selama lebih 60 tahun, sistem pendidikan kebangsaan di peringkat pendidikan rendah, menengah mahupun tinggi telah melalui pelbagai cabaran dan perubahan.
Polisi demi polisi dihasilkan dan dilaksanakan untuk memastikan murid mendapat pengalaman pembelajaran yang berkualiti dan berkesan.
Peranan dan tanggungjawab para guru dan pensyarah yang bukan sedikit menuntut daya tahan fizikal dan emosi serta semangat, minat dan matlamat yang tinggi untuk terus kekal berkhidmat di institusi pendidikan masing-masing.
Nisbah Guru
Keseimbangan nisbah bilangan guru atau pensyarah kepada murid atau pelajar juga turut menjadi perhatian dan indikator kualiti perkhidmatan pendidikan.
Hal ini sering menjadi sebutan dan perbincangan dalam kalangan warga pendidik mahupun orang awam.
Sehingga kini, pihak Kementerian Pendidikan masih berusaha untuk mencukupkan bilangan guru dan mengecilkan bilangan pelajar di dalam bilik darjah.
Berikutan itu, usaha pengambilan guru yang dilaksanakan secara meluas dan agresif wajar dipuji dan dihormati oleh semua pihak.
Pengambilan guru merupakan satu proses penting di peringkat penyaringan dan pemilihan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.
Selain daripada kelayakan ikhtisas keguruan, terdapat pelbagai faktor lain yang mempengaruhi proses tersebut seperti penampilan, perwatakan, kemahiran dan motivasi individu.
Calon yang memenuhi syarat yang ditetapkan akan ditawarkan untuk berkhidmat sebagai pegawai pendidikan di sekolah rendah atau menengah tanpa menekankan faktor jantina, agama dan kaum.
Oleh yang demikian, proses ini mula menampakkan sedikit kepincangan apabila bilangan guru di sekolah berdasarkan jantina kelihatan tidak seimbang.
Fenomena ini semakin ketara apabila data bilangan guru di sekolah rendah dan menengah kerajaan di peringkat nasional, negeri dan daerah sehingga tahun 2022 daripada Jabatan Perangkaan Malaysia dijadikan rujukan.
Dominasi Wanita dalam Dunia Perguruan
Data tersebut menunjukkan bahawa bilangan guru perempuan adalah seramai 166,663 orang di sekolah rendah dan 130,496 orang di sekolah menengah, berbanding dengan bilangan guru lelaki yang hanya seramai 68,569 orang di sekolah rendah dan 50,638 orang di sekolah menengah.
Jika dibandingkan data tersebut, bilangan guru perempuan di sekolah adalah hampir empat kali ganda berbanding guru lelaki.
Hasil penyelidikan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2024 turut menunjukkan bahawa ketidakseimbangan bilangan guru berdasarkan jantina masih berlaku dalam perkhidmatan pendidikan.
Data Statistik Guru Belia Berumur 23 hingga 30 Tahun Mengikut Jantina dan Negeri di Malaysia bagi Tahun 2023 melaporkan bahawa bilangan guru perempuan masih mendahului bilangan guru lelaki pada kadar nisbah tiga orang guru perempuan bagi setiap seorang guru lelaki.
Walaupun kadar nisbah tersebut menunjukkan trend penurunan, bilangan guru lelaki di setiap negeri masih belum seimbang atau mengatasi bilangan guru perempuan.
Krisis baru dalam Ekosistem Pendidikan
Ternyata, fenomena ini berupaya mewujudkan krisis baharu dalam ekosistem pendidikan.
Secara asasnya, setiap guru tanpa mengira jantina berhak untuk melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran berdasarkan opsyen mata pelajaran masing-masing dengan ilmu dan kemahiran yang dimiliki.
Namun begitu, proses pendidikan ialah proses yang kompleks kerana guru perlu mengambil kira aspek perkembangan psikologi dan keupayaan pembelajaran murid di sekolah, dan faktor jantina murid tidak boleh diabaikan.
Kajian dalam bidang psikologi pendidikan telah banyak menunjukkan bahawa pendekatan pembelajaran bagi murid lelaki dan perempuan adalah berbeza.
Kedua-dua kumpulan murid memiliki kecenderungan dan keupayaan tersendiri daripada aspek pemikiran, emosi dan tingkah laku.
Maka, strategi pengajaran yang tidak memenuhi perkembangan dan pembelajaran murid akan mewujudkan diskriminasi pembelajaran serta menanam stigma negatif dalam pemikiran guru terhadap kumpulan murid berlawanan jantina.
Secara tidak langsung, guru turut membina stereotaip terhadap murid lelaki atau perempuan yang tidak memenuhi jangkaan atau matlamat pembelajaran.
Hal ini akan mewujudkan limitasi kepada pengalaman pembelajaran yang bermakna di dalam bilik darjah.
Selain itu, semua pihak perlu mengakui bahawa perbezaan kerangka fikir dan cara tindak antara guru lelaki dan perempuan dalam mendidik murid adalah diperlukan supaya para murid boleh membina identiti atau karakter dan melaksanakan tugas perkembangan mereka bersesuaian dengan jantina mereka sebagai lelaki dan perempuan.
Selaras dengan prinsip agama Islam, lelaki dan perempuan memiliki perbezaan tersendiri dan turut memikul tanggungjawab yang berbeza.
Secara psikologi, pembinaan karakter murid turut dibentuk oleh pemodelan guru di dalam atau luar bilik darjah.
Kajian menunjukkan bahawa murid perempuan mempelajari tingkah laku daripada guru perempuan dan sebaliknya.
Kekurangan guru lelaki di sekolah menjadi cabaran kepada para guru perempuan untuk membantu meningkatkan potensi murid lelaki dalam bidang tertentu seperti sukan dan aktiviti berasaskan jantina serta pembentukan nilai, prinsip dan karakter lelaki yang memiliki sifat Qawwam iaitu berkepimpinan, bertanggungjawab, menghormati dan melindungi kaum wanita.
Fenomena kekurangan bilangan guru lelaki di sekolah adalah satu perkara yang serius dan perlu ditangani oleh semua pihak.
Proses pengambilan guru di peringkat kursus atau pendidikan keguruan dan perkhidmatan pendidikan harus dilaksanakan secara strategik supaya dapat menampung ketidakseimbangan ini dan mewujudkan keadilan pembelajaran kepada murid di sekolah.
Selain itu, peluang dan sokongan dalam bentuk tajaan pendidikan perlu diberikan kepada guru lelaki tanpa menafikan kebolehan dan kemahiran guru perempuan untuk menjadi sebahagian daripada warga pendidik.
Diharapkan dengan penambahan bilangan guru lelaki di sekolah, misi pembinaan karakter melalui Kurikulum 2027 yang disasarkan oleh Kementerian Pendidikan dapat dijayakan.
-- BERNAMA
Dr Sarifah Nurhanum Syed Sahuri ialah Pensyarah Pendidikan, Universiti Sains Islam Malaysia.