Pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh kerajaan merupakan langkah strategik dalam usaha mengukuhkan struktur kewangan negara, meningkatkan hasil cukai dan memastikan pembangunan yang mampan. Dalam kerangka Malaysia Madani, pendekatan ini dilihat selari dengan keperluan memperkukuh daya tahan ekonomi negara secara kolektif.
Namun demikian, pelaksanaan SST turut membawa cabaran tersendiri kepada segmen masyarakat tertentu, khususnya golongan pelajar universiti yang sedang membina asas kehidupan dan kerjaya mereka. Di sebalik reformasi fiskal ini, muncul satu keperluan mendesak untuk memperkasa mahasiswa agar lebih cekal, adaptif dan berdaya tahan menghadapi perubahan landskap ekonomi semasa.
SST dan Realiti Kehidupan Mahasiswa
Walaupun SST tidak dikenakan secara langsung ke atas pendidikan tinggi, ia tetap memberi kesan rantaian terhadap perbelanjaan harian pelajar. Kenaikan kos barangan pengguna, makanan, sewa bilik, serta perkhidmatan seperti pengangkutan dan telekomunikasi telah meningkatkan beban kewangan yang ditanggung oleh mahasiswa.
Bagi pelajar dari kumpulan B40 dan M40, situasi ini menuntut penyesuaian gaya hidup dan pengurusan kewangan yang lebih berhemah. Ada yang terpaksa berjimat untuk makanan, berkongsi peralatan asas, atau mengambil kerja sambilan. Ini bukan soal manja atau tidak berdikari, tetapi cabaran nyata yang perlu diurus dengan bijaksana. Dalam konteks ini, SST bukanlah punca kelemahan, sebaliknya menjadi pencetus kepada perlunya gerakan memperkasa mahasiswa secara lebih sistematik dan menyeluruh.
Universiti dan Yayasan, Pemangkin Daya Tahan Mahasiswa
Institusi pengajian tinggi bukan sahaja berperanan sebagai pusat kecemerlangan akademik, tetapi juga sebagai pelindung sosial (social safety net) kepada pelajar. Penubuhan yayasan universiti menjadi tonggak penting dalam menyokong mahasiswa ketika berdepan tekanan kewangan. Antara inisiatif utama yang telah dan boleh diperluas termasuklah:
1. Dana kecemasan dan bantuan sara hidup: Menyediakan bantuan kewangan segera bagi pelajar yang terkesan akibat kos hidup meningkat.
2. Program makanan percuma dan 'food bank' kampus: Menjamin keperluan asas pelajar agar tiada yang berlapar.
3. Skim bantuan peranti dan data internet: Untuk memastikan kesaksamaan akses pembelajaran digital.
4. Program keusahawanan mikro: Mendorong pelajar menjana pendapatan secara sah dan terkawal tanpa menjejaskan pembelajaran akademik.
5. Latihan literasi kewangan: Mendidik pelajar tentang pengurusan kewangan peribadi, bajet dan simpanan.
Langkah ini bukan sekadar memberi bantuan sementara, tetapi membina keupayaan jangka panjang mahasiswa agar lebih berdaya tahan dalam ekonomi pasca-SST.
Universiti Sebagai Ekosistem Pengupayaan
Dalam konteks SST, universiti juga boleh memainkan peranan dengan menstruktur semula sokongan kepada pelajar seperti mengoptimumkan kemudahan kampus sebagai platform menjana pendapatan pelajar. Contohnya dengan mewujudkan bazar pelajar, sistem e-dagang dalaman atau peluang 'freelance' kampus. Selain itu, universiti boleh menggalakkan budaya inovasi dan penyelesaian kendiri, yang mana pelajar bukan hanya menerima bantuan, tetapi menjadi agen kepada penyelesaian melalui inovasi, teknologi dan perniagaan sosial. Ini sejajar dengan aspirasi pendidikan tinggi Malaysia untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga resilience dan responsif terhadap cabaran ekonomi global.
Kerjasama Pintar Pihak Berkepentingan
Isu ini tidak boleh digalas oleh universiti dan yayasan semata-mata. Ia memerlukan kolaborasi strategik pelbagai pihak. Sektor swasta dan korporat boleh menaja biasiswa, menawarkan latihan industri berbayar, atau menyumbang kepada dana kebajikan pelajar. Alumni universiti boleh kembali menyumbang dalam bentuk pembiayaan, bimbingan atau jaringan kerjaya. Agensi kerajaan, zakat dan NGO pula boleh memperluaskan skim bantuan bersasar kepada pelajar yang memenuhi syarat.
Sementara itu, masyarakat awam boleh memainkan peranan sebagai penyokong pendidikan menerusi endowmen dan zakat atau kempen kesedaran. Kolaborasi ini bukan sahaja membantu pelajar hari ini, tetapi membina generasi pemimpin masa depan yang lebih bersedia dan matang dalam mendepani realiti ekonomi.
Daripada Simpati Kepada 'Empowerment'
Cabaran akibat SST bukan sesuatu yang harus ditangisi. Ia adalah medan latihan kehidupan yang boleh membina mahasiswa yang lebih kuat, berdikari dan bertanggungjawab. Namun, proses ini mesti dipimpin dan disokong oleh ekosistem yang prihatin dan progresif. Pendidikan tinggi harus kekal inklusif. Tiada pelajar yang patut keciciran hanya kerana kesempitan hidup. Dalam semangat Malaysia Madani, setiap individu, institusi dan organisasi mempunyai peranan dalam membangun insan, bukan sekadar menyampaikan ilmu.
Ke Arah Mahasiswa Madani, Ekonomi Sejahtera
SST adalah sebahagian daripada mekanisme pembangunan negara. Namun, impaknya perlu ditangani dengan bijaksana, adil dan inklusif. Universiti, yayasan, alumni, sektor swasta dan masyarakat perlu berganding bahu menjadikan cabaran ini sebagai peluang memperkukuh mahasiswa, bukan bersifat melemahkan. Mahasiswa yang berdaya tahan adalah pelaburan jangka panjang negara. Kita tidak hanya menyokong mereka untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk berjaya dalam kehidupan, dan di situlah titik keberhasilan sebenar pendidikan tinggi negara.
-- BERNAMA
Profesor Elmy Johana Mohamad ialah Profesor Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).