PENA WANITA

Bantuan Tunai, Subsidi Bersasar: Kesan Perbelanjaan Isi Rumah

09/01/2026 09:54 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Nur Jannah Bukhari

Kos sara hidup di Malaysia kekal menjadi isu utama yang mempengaruhi keputusan perbelanjaan isi rumah, terutamanya golongan B40 dan M40.

Dinamika perbelanjaan isi rumah bukan sahaja dipengaruhi oleh pendapatan, tetapi juga oleh bagaimana kos barangan asas dan perkhidmatan berubah setiap tahun serta bagaimana isi rumah menyesuaikan anggaran belanjawan mereka.

Data rasmi menunjukkan bahawa kadar inflasi Malaysia pada tahun 2025 berada pada kadar yang relatif terkawal tetapi tetap menunjukkan tekanan kos dalam kumpulan perbelanjaan tertentu.

Kadar inflasi

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar inflasi tahunan meningkat sekitar 1.5 peratus pada September 2025 dengan kenaikan harga terutama dalam barang perkhidmatan peribadi dan perumahan serta makanan minuman.

Ini menjadi faktor yang terus membebankan perbelanjaan isi rumah. Pada November 2025, inflasi tahunan berada di 1.4 peratus didorong oleh kos pendidikan dan perkhidmatan lain yang masih meningkat walaupun ada penurunan untuk beberapa kumpulan barangan asas.

Kesan terhadap perbelanjaan isi rumah

Dalam konteks ini, pengumuman bantuan tunai dan subsidi bersasar oleh kerajaan, khususnya di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu dilihat melalui lensa yang lebih meluas iaitu kesannya terhadap corak perbelanjaan isi rumah dan bukan sekadar jumlah bantuan.

Kerajaan telah meningkatkan peruntukan untuk bantuan tunai dan subsidi di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada kira-kira RM15 bilion pada Belanjawan 2026, daripada RM13 bilion sebelumnya, bertujuan memperkukuh jaringan keselamatan sosial di tengah tekanan kos hidup.

Salah satu langkah paling diperhatikan ialah pemberian RM100 secara sekali bayar (one-off) di bawah program SARA kepada kira-kira 22 juta rakyat Malaysia dewasa sebagai bantuan untuk perbelanjaan keperluan asas, dengan jumlah perbelanjaan sekitar RM2 bilion.

Bantuan ini dijangka disalurkan pada pertengahan Februari 2026, khususnya menjelang musim perayaan Ramadan dan Tahun Baru Cina.

Peningkatan kuasa beli marginal isi rumah jangka pendek

Kesan langsung bantuan tunai berdasarkan pola perbelanjaan adalah peningkatan kuasa beli marginal isi rumah dalam jangka pendek.

Dengan erti kata yang lain, isi rumah lebih mampu memenuhi perbelanjaan harian seperti barangan runcit, utiliti, dan pengangkutan tanpa perlu mengorbankan simpanan ataupun berhutang.

Ini penting dalam suasana kos hidup yang masih meningkat secara sederhana seperti dilihat melalui data inflasi terkini.

Namun begitu, bantuan sekali bayar seperti RM100 ini lebih bersifat penampan sementara daripada penyelesaian jangka panjang.

Inflasi tahunan yang berterusan untuk kategori seperti pendidikan, perumahan, dan perkhidmatan lain menunjukkan bahawa corak perbelanjaan isi rumah masih menghadapi tekanan utama di luar kendalian bantuan sementara.

Oleh yang demikian, bantuan fiskal perlu digabungkan dengan penambahbaikan struktur kos hidup serta literasi kewangan rakyat supaya bantuan tidak semata-mata “habis dibelanjakan” tanpa kesan pemulihan kewangan jangka panjang.

Subsidi bersasar petrol

Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan subsidi bersasar untuk petrol RON95, menetapkan harga subsidi sekitar RM1.99 seliter kepada rakyat Malaysia sebagai langkah menurunkan kos pengangkutan, yang secara tidak langsung memberi penjimatan kepada isi rumah.

Subsidi bersasar ini juga bertujuan memastikan bantuan lebih tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan sambil mengurangkan pembaziran fiskal.

Data dari pelaksanaan awal program Budi Madani RON95 menunjukkan penjimatan kerajaan lebih kurang RM800 juta hasil penyasaran subsidi, sebahagian daripadanya disalurkan melalui inisiatif seperti SARA dan STR.

Langkah ini memberi implikasi positif kepada isi rumah yang banyak bergantung kepada penggunaan petrol dalam kehidupan harian, dan hasilnya dapat dirasai dalam jangka sederhana jika kos pengangkutan terus dikurangkan.

Namun, bantuan tunai dan subsidi juga menghadapi cabaran pelaksanaan, termasuk kebolehcapaian bantuan di tempat-tempat tertentu dan sistem penyampaian yang perlu diselaraskan agar tidak menimbulkan kekeliruan atau gangguan kepada pengguna.

Bantuan beri kelegaan kepada rakyat

Kesimpulannya, bantuan tunai dan subsidi bersasar yang dilaksanakan kerajaan memberi kelegaan segera kepada isi rumah yang berdepan tekanan kos sara hidup.

Namun, dari sudut analisis perbelanjaan, keberkesanan jangka panjang dasar ini tidak boleh bergantung kepada bantuan sementara semata-mata.

Ia memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh merangkumi kawalan kos sara hidup, peningkatan pendapatan boleh guna dan pemerkasaan literasi kewangan rakyat.

Hanya melalui gabungan dasar fiskal yang berhemah dan keupayaan isi rumah mengurus perbelanjaan secara berhemat, kesejahteraan ekonomi rakyat dapat diperkukuh secara mampan.

-- BERNAMA

Nur Jannah Bukhari ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)