KETAMADUNAN

Pembelajaran Kreatif Tarik Minat Kanak-Kanak Dalami Bahasa Arab

18/07/2025 11:24 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Nurulisyazila Othaman dan Nurulisyazida Othaman

Bahasa Arab merupakan bahasa al-Quran. Penguasaan bahasa Arab sejak kecil dapat membantu kanak-kanak memahami ajaran agama Islam dengan lebih mendalam serta membina asas kukuh untuk pembelajaran pada masa hadapan. Namun, bahasa Arab kadangkala dianggap sukar dan membosankan oleh kanak-kanak. Ini menyebabkan mereka kurang berminat untuk mempelajarinya. Maka, usaha untuk menarik minat mereka perlu dirancang secara kreatif, sesuai dengan keperluan dan dunia kanak-kanak.

Pembelajaran yang Menyeronokkan

Kanak-kanak belajar dengan cara yang berbeza daripada orang dewasa. Mereka lebih suka belajar sambil bermain atau aktiviti yang melibatkan pergerakan, warna, bunyi dan sentuhan. Mereka juga lebih tertarik dengan sesuatu yang menyeronokkan dan tidak terlalu memaksa. Oleh itu, pembelajaran bahasa Arab perlu dirancang agar sesuai dengan dunia imaginasi dan keseronokan mereka.

Antara kaedah pembelajaran yang sangat berkesan ialah melalui nyanyian. Lagu-lagu mudah dan terkini dengan lirik bahasa Arab yang berulang dapat membantu kanak-kanak menghafaz perkataan tanpa mereka sedari. Melodi yang ceria, gerakan tangan serta gaya yang menggambarkan huruf atau perkataan seiring dengan nyanyian menjadikan pembelajaran lebih menarik dan menyeronokkan. Lagu seperti nama hari, warna, kata kerja, nombor dan ungkapan harian dalam bahasa Arab amat sesuai untuk pendedahan awal bahasa ini kepada kanak-kanak.

Permainan bahasa yang mengandungi elemen bahasa Arab seperti eksplorasi bahasa Arab, teka silang kata, teka teki, permainan suai padan dan roda putar mampu mengekalkan perhatian kanak-kanak. Aktiviti ini bukan sahaja membantu mereka mengenal perkataan, malah membina persaingan sihat dan semangat belajar secara berkumpulan. Suasana pembelajaran yang santai tetapi berfokus boleh meningkatkan minat serta keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Dalam era digital, penggunaan aplikasi pembelajaran, video animasi dan permainan interaktif dalam talian berasaskan bahasa Arab adalah sangat membantu. Kanak-kanak kini amat terdedah dan lebih tertarik kepada aplikasi dalam gadget mereka. Maka, guru dan ibu bapa perlu lebih bijak dan memanfaatkan minat mereka seiring kemajuan teknologi dengan memperkenalkan bahasa Arab melalui medium yang lebih mereka gemari. Para pendidik boleh membina kuiz interaktif melalui platform digital sedia ada seperti Wordwall, Kahoot, Quizizz, Zep Quiz, Blooket sebagai pengisian yang lebih berfaedah ketika anak-anak menggunakan gadget masing-masing. Selain itu, penggunaan aplikasi Duolingo atau YouTube Kids versi Arab juga terbukti sebagai alat bantu belajar yang menyeronokkan.

Kanak-kanak sememangnya mudah tertarik kepada cerita dan watak kartun. Penggunaan cerita dalam bahasa Arab walaupun ringkas, boleh menarik perhatian mereka dan memperkenalkan kosa kata baharu dalam konteks yang mudah difahami. Watak kartun seperti Omar & Hana versi bahasa Arab, atau kisah nabi dalam bentuk animasi boleh dijadikan bahan bantu untuk sesi pembelajaran yang lebih berkesan.

Dorongan Emosi

Dorongan emosi amat penting dalam memberi motivasi kepada kanak-kanak. Setiap pencapaian, walaupun kecil, perlu dihargai dengan pujian, pelekat bintang, sijil kecil atau hadiah simbolik. Pendekatan berbentuk kad ganjaran dan cop penghargaan juga boleh memupuk minat kanak-kanak. Mereka akan berasa bangga dan terdorong untuk terus mencuba apabila usaha mereka dihargai. Kendatipun kaedah ini mungkin dianggap biasa bagi sesetengah pihak, namun ia sebenarnya mampu membina dan meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak untuk menggunakan bahasa Arab.

Guru dan ibu bapa perlu berganding bahu dalam usaha menarik minat anak-anak terhadap bahasa Arab. Ibu bapa boleh menggunakan ungkapan harian asas seperti salaam, shukran, tafaddhal dalam interaksi harian biasa di rumah. Guru-guru juga boleh membekalkan senarai ucapan harian berbentuk digital dan dikongsi dalam kumpulan aplikasi Whatsapp kelas atau google classroom sebagai rujukan ibu bapa. Guru perlu sentiasa kreatif dan memberi ruang kepada murid untuk meneroka tanpa rasa takut salah. Kolaborasi antara ibu bapa dan guru juga memainkan peranan besar dalam membentuk sikap positif murid terhadap bahasa ini.

Pendekatan Kreatif Pihak Sekolah

Pujian juga harus diberikan kepada beberapa buah sekolah yang telah berjaya menggunakan pendekatan kreatif seperti menganjurkan ‘Hari Bahasa Arab’, teater bahasa Arab dan kem bahasa Arab yang berunsurkan permainan bahasa. Selain itu juga, slot Pembaca Berita Cilik Bahasa Arab, pertandingan bahasa seperti Kalam Arabiy dan Kalam Jamaie boleh mengisi aktiviti pentas bakat di sekolah sebagai salah satu alternatif pembudayaan bahasa Arab. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran bahasa, tetapi juga menjadikan murid lebih bersemangat untuk seronok menerokai dan menguasai bahasa Arab. Penglibatan aktif dan sokongan ibu bapa dalam program seperti ini juga terbukti memberi impak positif dan meningkatkan keberkesanan pembelajaran.

Menarik minat kanak-kanak dalam mendalami bahasa Arab memerlukan pendekatan yang kreatif, konsisten dan sesuai dengan jiwa mereka. Gabungan elemen lagu, permainan, teknologi dan sokongan emosi ternyata mampu menjadikan pembelajaran bahasa Arab sebagai aktiviti yang menyeronokkan, bukan menakutkan atau membosankan. Para guru dan ibu bapa perlu menyedari betapa pentingnya peranan mereka dalam menyemai minat kanak-kanak terhadap bahasa al-Quran. Sebenarnya jika disemai dengan betul, cinta kepada bahasa Arab akan tumbuh mekar dalam hati anak-anak sedari awal usia mereka.

-- BERNAMA

Nurulisyazila Othaman ialah Guru Bahasa Arab, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Nurulisyazida Othaman ialah Guru Bahasa Arab, SK Sri Tangkak.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)