Rasionalisasi subsidi merupakan langkah penting yang diambil oleh Kerajaan Malaysia untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara serta memastikan kesejahteraan rakyat dapat dilindungi secara berterusan. Penyasaran semula subsidi bahan api seperti diesel dan RON95 memberi fokus kepada bantuan yang lebih tepat kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan, sekali gus mengurangkan ketirisan yang telah membebankan perbelanjaan negara sekian lama.
Sejak pelaksanaannya pada Julai 2024, rasionalisasi subsidi diesel telah menunjukkan hasil memberangsangkan. Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan bahawa langkah ini dijangka menjana penjimatan tahunan antara RM7.2 bilion hingga RM7.5 bilion, berbanding unjuran awal RM4 bilion. Penjimatan tersebut diperoleh hasil kawalan lebih ketat terhadap penggunaan oleh pihak tidak layak, dan membolehkan kerajaan menyalurkan dana kepada sektor penting seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan bahawa 85 peratus hingga 90 peratus rakyat tidak akan terjejas oleh pelaksanaan ini, kerana sistem penyasaran yang dilaksanakan memastikan kebajikan majoriti rakyat terus terpelihara.
Langkah ini bukan sekadar usaha pengurangan subsidi semata-mata, tetapi manifestasi komitmen kerajaan untuk mentadbir urus negara secara lebih cekap, telus dan berkesan. Dengan sumber yang disalurkan secara lebih bersasar, kerajaan dapat membina asas ekonomi yang lebih mampan serta mengurangkan kebergantungan kepada subsidi bersifat umum. Rasionalisasi subsidi adalah satu pendekatan berani yang perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang ke arah kemakmuran negara yang lebih seimbang dan inklusif.
Kesan Terhadap Inflasi dan Ekonomi
Pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang dijadualkan bermula pertengahan tahun 2025 dijangka memberi kesan langsung terhadap kadar inflasi negara. Memandangkan RON95 menyumbang sekitar 5.5 peratus kepada Indeks Harga Pengguna (IHP), sebarang pelarasan harga bahan api ini berpotensi menjejaskan kos sara hidup rakyat. Ia boleh meningkatkan tekanan terhadap kos pengangkutan dan rantaian bekalan, sekali gus mempengaruhi harga barangan harian. Mengikut unjuran, setiap kenaikan 10 sen harga RON95 dijangka menaikkan IHP sebanyak 0.27 mata peratusan.
Walau bagaimanapun, kerajaan menjangkakan kadar inflasi masih mampu dikawal. Bank Negara Malaysia mengunjurkan kadar inflasi bagi tahun 2025 kekal dalam lingkungan dua peratus hingga 3.5 peratus, mengambil kira pelaksanaan subsidi bersasar RON95 serta peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Bagi memastikan impak kepada rakyat berpendapatan rendah dapat diminimumkan, kerajaan merancang untuk memperkenalkan bantuan tunai tambahan bagi menampung peningkatan kos sara hidup. Langkah ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan tekanan inflasi ke atas isi rumah terjejas, malah menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan tiada golongan tercicir daripada perlindungan sosial.
Selain mengawal inflasi, rasionalisasi subsidi ini juga merupakan strategi penting dalam usaha memperkukuh kedudukan fiskal negara. Dengan pengurangan ketirisan dan perbelanjaan subsidi tidak bersasar, kerajaan dapat menyalurkan semula dana kepada sektor-sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur – yang memberi impak jangka panjang kepada kesejahteraan rakyat.
Penggunaan Dana Penjimatan Untuk Kesejahteraan Rakyat
Penjimatan hasil daripada rasionalisasi subsidi diesel dan RON95 membolehkan kerajaan menyalurkan semula dana kepada sektor-sektor penting yang memberi manfaat langsung kepada rakyat. Dalam Belanjawan 2025, Kementerian Pendidikan Malaysia menerima peruntukan tertinggi dalam sejarah iaitu RM64.1 bilion, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia diperuntukkan RM45.3 bilion. Ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem pendidikan serta mempertingkatkan mutu perkhidmatan kesihatan awam negara.
Pada masa sama, kerajaan turut merancang bantuan tunai tambahan kepada golongan berpendapatan rendah bagi mengurangkan beban pelarasan subsidi. Pendekatan ini bukan sahaja membantu menampung kos sara hidup, tetapi juga memastikan prinsip keadilan sosial terus dipelihara. Secara keseluruhan, langkah ini menzahirkan usaha kerajaan untuk menyalurkan semula hasil penjimatan kepada rakyat dalam bentuk perkhidmatan yang lebih baik dan sokongan kewangan yang bersasar.
Kesimpulannya, rasionalisasi subsidi merupakan langkah strategik kerajaan untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara tanpa mengabaikan kesejahteraan rakyat. Melalui penyasaran bantuan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, penjimatan yang diperoleh dapat disalurkan semula ke sektor-sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur. Ini termasuk usaha memperbaik prasarana sekolah, menaik taraf kemudahan institusi pengajian tinggi, serta mengukuhkan sistem kesihatan awam melalui perolehan peralatan moden dan peningkatan fasiliti sedia ada.
Dalam masa sama, kerajaan turut memberi keutamaan kepada golongan rentan menerusi bantuan tunai bersasar bagi meringankan beban kos sara hidup. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan fiskal, malah mencerminkan komitmen kerajaan terhadap keadilan sosial dan kemakmuran bersama. Secara keseluruhan, rasionalisasi subsidi adalah satu langkah ke hadapan dalam membina asas ekonomi yang mampan, progresif dan inklusif untuk masa depan negara.
-- BERNAMA
Prof Madya Dr Khairunesa Isa merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).