Oleh Dr Abu Hafiz Salleh Hudin
Pemerkasaan Instrumen Kewangan Negara untuk Pembangunan Malaysia Madani Dalam Islam, terdapat beberapa kaedah pengumpulan harta awam untuk digunakan bagi kepentingan yang ditetapkan oleh syara’.
Antaranya adalah zakat yang berfungsi dengan diambil sejumlah harta seseorang muslim yang layak dan diagihkan kepada kumpulan yang berhak seperti ditetapkan dalam Qur’an & Sunnah.
Sepanjang zaman, semenjak pemerintahan Nabi SAW, zakat telah berkembang luas sama ada melalui kaedah pengumpulan atau pengagihannya.
Melalui khazanah kesarjanaan fiqh Islam yang luas, zakat telah lebih banyak dapat dimanfaatkan kepada pecahan dalam 8 asnaf iaitu fakir, miskin, amil, muallaf, al-Riqab, al-Gharimin, fi sabilillah dan Ibn Sabil.
Kewajipan membayar zakat adalah sangat penting didalam Islam kerana ia salah satu rukun Islam dan Khalifah Islam pertama, Saidina Abu Bakar al-Siddiq memutuskan untuk memerangi kumpulan yang mahu berhenti membayar zakat selepas kewafatan Nabi SAW di tahun ke-11 hijrah.
Fungsi zakat yang utama selain membersihkan harta kumpulan masyarakat Muslim yang dikategorikan kaya, ia telah terbukti membantu kumpulan Muslim lain yang memerlukan bantuan untuk keluar dari daerah kemiskinan atau bebanan kewangan.
Namun, penggunaan dana zakat adalah terhad kerana penerima manfaat zakat telah ditetapkan oleh nas Qur’an dan Sunnah walaupun terdapat peluasan ruang penerima manfaat itu melalui ijitihad semasa para sarjana moden Islam.
Oleh yang demikian, dalam mendepani keperluan pembangunan dan pentadbiran negara, terdapat beberapa instrumen kewangan, selain zakat dibincangkan para sarjana Muslim semenjak kurun ke-8 hijrah, iaitu antaranya adalah percukaian yang membawa maksud bayaran yang dikenakan oleh kerajaan terhadap individu, syarikat atau barang-barang untuk perbelanjaan negara.
Hukum Percukaian dalam Islam
Secara ilmiah, hukum percukaian dalam Islam telah menjadi perdebatan antara sarjana Muslim sama ada ia dilarang untuk dikutip atau diharuskan untuk kerajaan memungutnya.
Antara nama besar sarjana silam dan kontemporari yang melarangnya adalah Ibn Muflih, al-Hijawi, Ibn Hajar al-Haithami dan Mulla ‘Ali al-Qari, serta termasuk beberapa fatwa negara seperti Arab Saudi dan Brunei.
Namun, bagi sejumlah sarjana Muslim lain menyatakan bahawa kerajaan boleh melaksanakan dasar percukaian selagi ia bertujuan memenuhi kemaslahatan awam serta menyokong fungsi asas pentadbiran negara.
Mereka adalah seperti Ibn Hazm al-Andalusi, Ibn Taimiyyah, al-Syatibi dan Ibn Khaldun dikalangan ulama’ silam.
Sarjana kontemporari yang menilai keharusan pelaksanaan dasar percukaian dalam negara Islam adalah seperti Mahmud Syaltut, Muhammad al-Ghazali, Abu alA’la al-Maududi, Yusuf al-Qaradhawi dan Ahmad al-Raysuni.
Penilaian yang dibuat bukan sekadar kepada kefahaman mereka terhadap dalil, tetapi realiti semasa pentadbiran sesebuah negara.
Istinbat (proses penetapan hukum syara’) yang dilakukan mereka adalah dengan memahami firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 41 dan al-Kahfi ayat 94.
Wujudnya indikasi dan isyarat kewajipan mengeluarkan harta bagi kepentingan awam selain instrumen zakat dalam kedua ayat tersebut.
Dalam waktu yang sama, terdapat sebuah riwayat yang disandarkan kepada Nabi SAW berkenaan wujudnya hak lain dalam harta seseorang selain zakat, seperti yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi.
Sungguhpun riwayat ini dinilai dhaif, ia disokong dengan mafhum kenyataan sama dengan sanad yang sahih dari ramai kalangan sahabat dan tabi’in seperti Umar alKhattab, Ali bin Abi Thalib, ‘Aisyah, al-Hasan al-Basri dan Ibrahim al-Nakhaie.
Kerana itu, al-Syatibi menyimpulkan: “Jika seseorang pemimpin yang ditaati oleh rakyatnya berhajat untuk menambah bilangan tentera untuk menjaga perbatasan negara serta memelihara kestabilan kuasa yang semakin luas kepada tanah jajahan yang lain, sedangkan sumber perbendaharaan negara dalam Bait al-Mal tidak mencukupi, serta keperluan tentera semakin meningkat dan perbelanjaan tidak mencukupi, maka pemimpin - dengan syarat beliau seorang yang adil - boleh mengenakan cukai kepada rakyat yang kaya bagi memenuhi keperluan tersebut”.
Sambung al-Syatibi lagi: “Isu ini perlu dibahaskan dan maslahah dalam isu ini adalah jelas. Jika pemimpin zaman kini tidak menggunakan sistem seperti ini (iaitu sistem percukaian), maka kuasa pemimpin akan tergugat, maka negara Islam akan terdedah kepada penguasaan kuasa kafir (musuh).
Fungsi Percukaian
Dengan syarat kuasa yang dimiliki oleh pemimpin itu digunakan secara adil”. Fungsi percukaian adalah meliputi keperluan dan pembangunan negara secara komprehensif, berbanding kebenaran menggunakan dana zakat yang lebih terhad, walau keduanya punyai kesamaan fungsi dan objektif.
Adalah satu tanggungjawab dan kewajipan bersama bagi seluruh warganegara melunaskan pembayaran cukai kerana ia juga mampu menghasilkan kebaikan dan pahala serta pembangunan yang dinikmati semua.
Dalam waktu yang sama, komitmen Kerajaan Madani melalui pengulangan ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam menitikberatkan tatakelola kewangan negara sangat dialu-alukan.
Pelunasan tanggungjawab pembayaran cukai oleh warga Malaysia yang diwajibkan akan dengan mudah berlaku tatkala cukai yang dibawa dapat dilihat dan dirasai.
Maka, keseimbangan tanggungjawab rakyat dalam membayar cukai dan tanggungjawab Kerajaan dalam menggunakan duit percukaian rakyat dengan berhemah tanpa boros dan ketirisan sangat diperlukan agar keharmonian, kerjasama dan pembangunan negara dapat dicapai.
Kemuncaknya, adalah dimohonkan agar Malaysia memenuhi ciri negara yang digambarkan dalam surah Saba’ ayat 15: “...(negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun”.
-- BERNAMA
Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Qur’an & Sunnah AbdulHamid AbuSulayman Kulliyyah Ilmu Wahyu & Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)