Oleh Senator Dr Zulkifli Hasan
Pendahuluan
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 telah melabuhkan tirainya. Lebih 2.1 juta pengunjung memeriahkan PBAKL dan ini merupakan satu pencapaian yang sangat memberangsangkan.
Lebih menggembirakan ialah sebahagian besar pengunjung PBAKL adalah terdiri dari anak muda. Perkembangan ini memberikan gambaran positif dan harapan baharu kepada Malaysia untuk membina masa depan yang lebih gemilang.
Secara umumnya, Malaysia telah berjaya menunjukkan peningkatan kesedaran awam mengenai budaya membaca. Kuala Lumpur pernah dinobatkan sebagai Kota Buku Dunia ke-20 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2020.
Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia telah melaksanakan Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia bagi menilai tahap membaca rakyat Malaysia.
Sebelum ini, pada 2005 rakyat Malaysia mencatatkan hanya membaca dua buah buku setahun.
Kajian terkini menunjukkan peningkatan ketara di mana rakyat Malaysia membaca sekurang-kurangnya 24 naskhah bacaan dengan peruntukan masa membaca selama sembilan jam 22 minit seminggu serta pembelian bahan bacaan antara satu hingga lima naskah setahun.
Kadar minat membaca rakyat Malaysia juga semakin baik iaitu berada pada tahap 88.6 peratus.
Dari aspek penerbitan, Yayasan Pembangunan Buku Negara menjangkakan sebanyak 35,000 judul penerbitan buku dalam tempoh setahun akan dapat diterbitkan menjelang 2030.
Ini adalah penting kerana salah satu kriteria penting negara maju adalah jumlah penerbitan buku-buku baru mencapai 1% daripada nisbah penduduk. Malaysia seharusnya cuba mencapai sasaran penerbitan ini selari dengan aspirasi Madani itu sendiri.
Sementara menyaksikan perkembangan yang baik ini, data menunjukkan penerbitan buku-buku agama masih tidak mencapai tahap yang membanggakan.
Statistik Perpustakaan Negara menunjukkan, daripada sejumlah 181 ribu buah buku yang diterbitkan sepanjang 2013-2022, hanya 2380 buah buku diterbitkan dalam bidang agama, mewakili kira-kira 1.31% daripada jumlah penerbitan berbanding buku dalam bidang-bidang lain seperti sains sosial, bahasa dan kesusasteraan. Usaha perlu dipergiatkan bagi merancakkan lagi penghasilan karya buku agama.
Trend Buku Agama
Malaysia, sebagai negara yang mendaulatkan dan memartabatkan agama Islam sentiasa berusaha menjaga kesucian Islam dan memartabatkannya dalam pelbagai bidang, termasuklah penghasilan buku agama.
Penerbitan buku agama ini merangkumi pelbagai bidang seperti Al-Quran dan Hadis, Akidah dan Tasawuf, Dakwah, Sejarah dan Tamadun Islam, Perundangan Islam, Siyasah Syari’iyyah, Fiqh, Usuluddin, Falsafah dan Pemikiran Islam dan lain-lain.
Penghasilan dan penerbitan buku agama ini diterajui sektor kerajaan dan agensinya seperti DBP, JAKIM dan universiti awam. Sektor swasta juga menampakkan minat dan kecenderungan menerbitkan buku agama seiring dengan permintaan dan keperluan masyarakat yang meningkat dari masa ke semasa.
Walaupun secara umumnya, buku agama masih tidak dapat menandingi bilangan buku dalam bidang lain, sememangnya tidak dapat dinafikan ia semakin mendapat sambutan masyarakat.
PBAKL 2025 misalnya menunjukkan bahawa terdapat buku agama sentiasa mendapat permintaan tinggi dan mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Saya sendiri telah diberikan penghormatan meluncurkan tujuh karya kategori buku agama, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan tiga buah buku terbitan Alim Rabbani Sendirian Berhad dalam pelbagai judul dan tema. Agensi di bawah Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga menghasilkan 22 judul baharu bertemakan keagamaan.
Ekosistem Buku Agama
Budaya ilmu bukan sekadar membaca, tetapi ia menuntut keseluruhan ekosistem itu sendiri.
Keseluruhan ekosistem yang kondusif bakal menyemarakkan dan menyuburkan perkembangan buku agama di Malaysia khususnya penerbitan, penyelidikan dan kajian, percetakan, penulis, penterjemah, penyunting, pewasit, penilai, penyemak, pembaca pruf, pentashih, pentahkik, perundangan, hak cipta, pengelola pesta buku, pendana, kedai buku, perpustakaan dan yang juga sangat penting ialah pembaca khususnya pemimpin utama negara yang suka membaca dan cintakan ilmu.
Baru-baru ini, Dewan Bahasa dan Pustaka melancarkan inisiatif Hab Penerbitan Buku Agama, yang bertujuan menjadi penggerak kepada para cendekiawan bidang agama agar dapat menghasilkan karya yang bermutu dan memenuhi keperluan masyarakat.
Sementara itu, jalinan kerjasama agensi agama seperti JAKIM dengan institusi pengajian tinggi, jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta dapat memperkasakan penerbitan buku agama dari segi kualiti, berimpak tinggi dan membentuk pemikiran masyarakat.
Sokongan pihak kerajaan sememangnya amat diperlukan bagi merancakkan lagi sektor buku agama.
Pengumuman YAB Perdana Menteri mengenai Baucar Buku Madani diperluaskan kepada lebih 400,000 guru dan dalam masa sama, pemberian Baucar Buku Madani kepada pelajar universiti masih diteruskan merupakan satu rahmat bukan sahaja kepada pembaca tetapi penggiat buku termasuk buku agama.
Inisiatif ini merupakan manifestasi kesungguhan kerajaan di bawah pimpinan YAB PMX bagi menggalakkan lagi industri perbukuan, kegiatan intelektual dan budaya ilmu dalam kalangan rakyat.
Faktor kepimpinan yang mesra budaya ilmu juga menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor buku agama.
Malaysia bertuah kerana punya Perdana Menteri yang sukakan buku dan sering berkongsi tentang idea, buku dan bahan bacaan penting dalam ucapan-ucapan beliau.
YAB PM bukan sahaja menguasai teks karya agung dan buku-buku klasik, tetapi juga karya kontemporari pelbagai bidang yang dapat membentuk fikrah dan pemikiran.
Semasa dalam sesi program Telaah anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di PBAKL, beliau telah mengulas dan mengupas empat buah buku pilihan dan tiga daripadanya boleh dikategorikan buku agama iaitu Kemiskinan Melayu dan Jalan Kepulihannya (Za’ba), Islam dan Sejarah Kebudayaan Melayu (Syed Muhammad Naquib al-Attas) dan Islam dan Melayu (Siddiq Fadzil).
Kesemua buku pilihan ditulis dalam Bahasa Melayu, bukan bahasa Inggeris atau Bahasa Arab dan juga adalah karya ilmuwan tersohor Malaysia, bukan negara luar. Pemilihan judul juga sangat menarik dengan tema Islam, budaya dan sejarah termasuk isu ekonomi orang Melayu.
Sudah pasti ada mesej tersendiri dan bermakna mengapa empat judul dan empat tokoh hebat Melayu ini dipilih. Tiga buah buku pilihan kecuali Jejak-jejak di Pantai Zaman (Ungku Abdul Aziz) pula boleh dikategorikan sebagai buku agama.
Mungkin antara mesej penting yang cuba disampaikan oleh YAB PMX selari dengan semangat Malaysia Madani ialah ketamadunan hanya dapat dicapai menerusi pembudayaan ilmu dalam masyarakat.
Sejarah membuktikan orang Melayu hebat dengan ketinggian tamadunnya setelah menerima Islam kerana Islam itu sendiri mengutamakan ilmu.
Kegiatan penghasilan karya dalam bidang agama perlu dipergiatkan lagi. Inisiatif sebagai pengiktirafan kepada penulis, penerbit dan pembaca perlu diwujudkan. Penghasilan karya dalam bidang agama perlu dirangka dengan teliti supaya tidak berlaku lambakan karya kurang berkualiti dalam pasaran, dan dalam masa yang sama terdapat kelompangan perbincangan atau penyelidikan isu-isu agama, sedangkan ia sangat diperlukan oleh masyarakat.
Penilaian manuskrip buku agama juga perlu dibuat dengan teliti dan telus. Penyebaran ajaran yang menyimpang mahupun cenderung kepada ekstremisme atas nama buku agama perlulah dielakkan dan dibanteras dengan kerangka dan penguatkuasaan yang berkesan dan menyeluruh.
Memperbanyakkan Buku Agama Tema Madani
Penghasilan buku agama terbukti mempunyai potensi membentuk pemikiran dan amalan masyarakat.
Kandungan buku agama memerlukan transformasi. Ia hendaklah bersifat menyeluruh, menangani realiti, menjawab isu semasa dan menjadi rujukan yang berautoriti dan sahih.
Buku agama juga perlu mendamaikan dan bukan menjadi alat pemecah belah masyarakat. Ia seharusnya dapat membentuk daya berfikir masyarakat dan berminda progresif serta berkemajuan.
Dalam konteks Malaysia, buku agama dengan siri khas bertemakan Madani perlu diperbanyakkan.
Saya sendiri telah mengusahakan projek kecil menghimpunkan buku dan karya yang disebut dan dirujuk oleh YAB PMX dalam ucapan, syarahan, forum, dialog termasuk semasa mesyuarat.
Buku ini saya namakan 'Iqra Madani' yang menyenaraikan buku-buku penting dengan ringkasan yang menjadi rujukan YAB Perdana Menteri.
Secara peribadi, jika ingin memahami pemikiran dan pandangan alam (worldview) YAB PMX dan juga bagi maksud pembinaan daya intelektual, bacalah dan hayatilah buku-buku yang disenaraikan dalam buku Iqra Madani ini.
Kesimpulan
Malaysia telah menunjukkan peningkatan kesedaran membaca yang baik termasuk dalam kalangan anak muda. Pada masa yang sama, masyarakat Malaysia juga menunjukkan minat untuk mendalami ilmu agama.
Fenomena ini sekaligus mempengaruhi permintaan tinggi terhadap buku agama di pasaran.
Perkembangan ini adalah sangat positif dan bagi memastikan sektor buku agama ini dapat memberi kefahaman Islam yang sebenar, wasatiy dan membentuk minda yang progresif, ia memerlukan perancangan yang menyeluruh dan strategik.
Data menunjukkan bahawa penerbitan buku agama masih belum memuaskan berbanding penghasilan buku dalam bidang yang lain.
Oleh itu, keseluruhan ekosistem sektor buku agama perlu diperkukuhkan. Kerjasama antara kerajaan, agensi, sektor swasta dan gerakan masyarakat sivil juga hendaklah dipertingkatkan.
Insentif dan inisiatif bagi merangsang penghasilan karya agama mesti dipergiatkan. Masyarakat perlu dihidangkan dengan karya dan bahan bacaan agama yang membentuk fikrah dan merangsang pemikiran yang progresif, berkemajuan dan terkehadapan.
-- BERNAMA
YB Senator Dr. Zulkifli Hasan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).