Sering dibicarakan di media massa iaitu cabaran dan isu kekurangan bakat dalam bidang kritikal Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Bidang ini merupakan bidang merentas sektor dan memerlukan pendekatan kolaboratif melalui sinergi dari pelbagai pihak.
Penyertaan murid dan bakat baharu dalam STEM diharapkan dapat menjamin proses pembangunan negara dalam bidang-bidang strategik dan baharu seperti pendigitalan, robotik dan kecerdasan buatan/artificial intelligence (AI).
Justeru, pelaksanaan berstrategi merentas agensi dan kementerian perlu digerakkan segera bagi meningkatkan bilangan murid, mutu pendidikan STEM serta menyeimbangkan penawaran dan permintaan dalam sektor berkaitan.
Pendekatan ini penting bagi memperkukuh daya saing negara dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Tonggak utama STEM adalah mata pelajaran asas Sains itu sendiri yang terdiri dari mata pelajaran Kimia, Fizik dan Biologi. Namun, teknologi dan kejuruteraan banyak bertunjangkan mata pelajaran Matematik dan Matematik Tambahan.
Penguasaan dan Pencapaian Matematik
Guru dan ibu bapa sering kali menyuarakan kebimbangan mengenai penguasaan dan pencapaian Matematik dalam kalangan murid di peringkat menengah rendah lagi.
Tentunya ini menjadi satu cabaran hebat bagi guru-guru untuk memastikan murid cukup bersedia untuk memilih aliran STEM semasa memasuki peringkat menengah atas.
Mengimbas semula keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023, mata pelajaran Matematik terus merekodkan keputusan yang paling lemah berbanding dengan keseluruhan 95 mata pelajaran yang ditawarkan.
Peratusan pelajar gagal Matematik ke-2 tertinggi selepas Matematik Tambahan, yang mana 23.2% calon telah mendapat keputusan gagal dan majoriti calon (52.1%) telah mendapat keputusan yang lemah, dengan mencapai gred D, E dan G.
Fakta ini membimbangkan dan dikhuatiri jika berterusan, negara akan mengalami ketandusan bakat belia yang berpotensi dalam bidang STEM yang semakin diperlukan oleh negara khususnya, dan peringkat global amnya.
Usaha proaktif perlu dimulakan untuk mengatasi penurunan pencapaian Matematik dan Matematik Tambahan yang berterusan.
Majoriti program akademik dalam bidang STEM di peringkat pra-universiti dan universiti menetapkan syarat lulus atau kepujian bagi Matematik Tambahan.
Lazimnya mata pelajaran ini diambil oleh murid Tingkatan Empat dan Lima dari aliran STEM A (Sains Tulen) dan sebahagian dari aliran STEM B.
Perkara yang agak membimbangkan adalah sekolah harian biasa dan sekolah luar bandar kebiasaannya hanya mempunyai satu hingga dua kelas aliran STEM A sahaja.
Stigma yang mengatakan Matematik Tambahan itu sukar, menambahkan lagi kegusaran murid-murid yang akhirnya membuat keputusan terburu-buru menggugurkan mata pelajaran ini.
Kesannya, ia akan menyekat peluang murid untuk menyambung pengajian dalam bidang STEM seterusnya menghalang peluang pekerjaan dalam pelbagai rentas bidang yang luas pada masa akan datang.
Pupuk Minat Pelajar Dalam STEM
Usahlah kita berlengah, tunggu dan lihat sahaja isu ini berterusan. Usaha proaktif perlu digembleng dari pelbagai pihak.
Mengambil contoh, penggunaan teknologi telah lama diterapkan dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP), terutama apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan pembelajaran abad ke-21 (PAK21) yang bermula pada tahun 2014 mengutamakan pembelajaran berpusatkan murid.
Inisiatif ini adalah untuk mempersiapkan murid dengan kemahiran penting bagi menghadapi cabaran dunia moden.
Dengan perkembangan teknologi di peringkat global yang berubah begitu pantas, serta terbitnya teknologi AI, KPM telah melancarkan Dasar Pendigitalan Negara pada 2023 yang mengutamakan pembangunan murid fasih digital untuk memenuhi keperluan era digital semasa dan akan datang.
Ayuh kita sambut hasrat ini untuk membantu meningkatkan pemahaman murid dalam Matematik dan Matematik Tambahan khususnya.
Banyak perisian percuma atau berbayar yang boleh dicapai dan digunakan di dalam kelas, antaranya aplikasi Geogebra, Desmos, Python dan Khan Academy.
Usaha-usaha untuk meningkatkan kemahiran (upskill) dan mempelajari kemahiran baharu (reskill) kepada guru-guru adalah amat disarankan sebagai latihan dan bengkel secara hands-on mengenai penggunaan aplikasi-aplikasi digital serta teknologi terkini yang bersesuaian dengan mata pelajaran yang diajar.
Pensyarah universiti contohnya, yang mempunyai kelebihan dari segi kepakaran isi kandungan, tenaga kerja dan infrastruktur digital, boleh bersama-sama turun padang untuk memindahkan ilmu dan teknologi kepada komuniti sekolah yang berdekatan dengan universiti.
Merit perkhidmatan masyarakat dan Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) yang diilhamkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) boleh dilaksanakan bersama-sama.
Kemahiran Digital
Kemahiran digital ini tidak boleh terhad hanya kepada guru-guru dan murid-murid di sekolah di bandar-bandar utama dan sekolah kluster, tetapi ia perlu diperluas ke sekolah-sekolah luar bandar yang majoritinya adalah murid-murid yang mempunyai latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.
Di mana lagi saluran yang boleh diterapkan agar murid-murid ini mempunyai kemahiran digital, jika tidak di sekolah.
Murid berada hampir 196 hari (54% dalam setahun) di sekolah, tentunya banyak peluang pembangunan kemahiran digital boleh diterapkan.
Tambahan pula, dengan kemudahan pelantar pembelajaran dalam talian yang tersedia di sekolah-sekolah iaitu Digital Educational Learning Initiative Malaysia atau lebih dikenali dengan DELIMa, merupakan satu kelebihan kepada murid mengakses aktiviti pembelajaran pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Satu wacana ilmiah dari Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Persatuan STEM Malaysia/National STEM Association (NSA) yang diadakan awal tahun ini ada mengupas keperluan bakat STEM bagi menjadikan Malaysia sebagai negara yang berdaya saing dan progresif.
Ia boleh dimulakan dengan kaedah pembelajaran STEM yang lebih dinamik menggunakan teknologi terkini agar lebih ramai bakat tempatan dapat meneroka pelbagai peluang dalam bidang STEM pada masa hadapan.
Diharapkan agar peluang penggunaan teknologi dan pendekatan digital dalam PdP Matematik dan Matematik Tambahan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru dan murid.
Melalui penerokaan ini, murid bukan sahaja dapat meningkatkan pemahaman mereka terhadap konsep matematik yang kompleks, tetapi juga melihat kaitan langsung mata pelajaran ini dengan dunia sebenar melalui teknologi-teknologi terkini.
Dengan pendedahan awal yang bersifat interaktif, kreatif dan inovatif, diharap lebih ramai murid akan menanamkan rasa minat dan perasaan ingin tahu dalam bidang STEM dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara dalam bidang-bidang teknologi masa hadapan yang berasaskan digital.
-- BERNAMA
Prof. Madya Dr. Hamizah Mohd Safuan merupakan Panel Bidang Matematik, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi , Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)