TINTA MINDA

KAEDAH PENENTUAN AWAL BULAN HIJRI DI MALAYSIA

09/03/2024 02:42 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff

Menjelang bulan Ramadan saban tahun masyarakat Islam di negara ini mula memperkatakan tentang tarikh bermulanya puasa atau kaedah penentuan awal puasa dan hari raya, serta sering membandingkan dengan negara-negara Islam yang lain. Umum mengetahui bahawa tarikh bermulanya puasa akan diisytiharkan secara rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam 29 Syaaban setiap tahun setelah mendapat perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Walau bagaimanapun kebanyakan masyarakat tidak cakna berkaitan kaedah penentuan awal bulan hijri yang diguna pakai di Malaysia. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud “maka sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan (atau mengetahuinya maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu…”.

Nabi SAW juga bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar yang bermaksud "Janganlah kamu berpuasa sehingga melihat anak bulan (Ramadan) dan janganlah pula kamu berhenti berpuasa sehingga melihatnya anak bulan (Syawal). Sekiranya ia terlindung daripada kamu, maka hendaklah kamu menghitungnya." (Riwayat al-Bukhari: no.1906; Muslim: 1080).

Kaedah tentukan bulan hijrah

Melalui pentafsiran daripada dalil-dalil ini, maka terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan dalam penentuan permulaan bulan hijri. Antara kaedah tersebut adalah kaedah rukyah hakiki, kaedah hisab hakiki, kaedah hisab wujudul hilal dan kaedah rukyah dan hisab yang berpandukan kepada kriteria imkanur rukyah.

Kesemua kaedah ini mempunyai hujah, dalil, dan ijtihad yang tersendiri dan digunakan oleh sebahagian besar negara Islam dalam menentukan permulaan bulan hijri di negara masing-masing.

Perbezaan kaedah hasilkan permulaan berbeza tapi hanya sehari

Perbezaan kaedah yang digunakan antara negara-negara Islam ini akan menghasilkan permulaan hari yang berbeza. Namun perbezaan tersebut adalah dalam satu hari sahaja.

Merujuk kepada kaedah wujudul hilal dan kaedah rukyah dan hisab sebagai contoh tarikh melihat anak bulan Ramadan 1445H adalah sama iaitu pada 29 Syaaban 1445H bersamaan 10 Mac 2024. Waktu ijtimak adalah sama iaitu pada jam 5.00 petang.

Namun sekiranya dua kaedah tersebut diadaptasi, anak bulan pada petang tersebut akan memenuhi syarat bagi kaedah wujud hilal akan tetapi tidak memenuhi syarat bagi kaedah rukyah dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukyah. Oleh yang demikian, keputusan bermulanya 1 Ramadan 1445H akan berbeza.

Malaysia guna rukyah dan hisab

Di Malaysia kita menggunapakai kaedah Rukyah dan hisab berpandukan Kriteria Imkanur Rukyah bermula dari tahun 1995. Asas kepada kaedah rukyah dan hisab yang digunapakai negara Malaysia adalah berpandukan kepada pendapat-pendapat ulama’ muktabar.

Dari kitab Sharqawi, Juzuk 1 halaman 49 menyatakan yang bermaksud “Dan apabila hisab menunjukkan hilal ada di atas ufuk yang biasanya dapat dilihat kalau tidak ada penghalang seperti mendung, maka ini menunjukkan wajib berpuasa kerana ada sebab syar’i”.

Merujuk juga kitab al-Sharwani Ḥawāshi Tuhfah al-Muhtāj halaman 374 menyatakan yang bermaksud “Seharusnya apabila hisab qat’i telah menunjukkan wujudnya hilal setelah terbenam matahari sekira-kira boleh dilihat tetapi tidak kelihatan, maka yang demikian itu sudah memadai (menggunakan hisab)”.

Rukyah (melihat anak bulan) akan dilaksanakan pada hari ke 29 setiap bulan, sebagai contoh 29 Syaaban 1445H akan datang. Sekiranya hilal (anak bulan) tidak kelihatan maka data hisab digunakan dengan merujuk kepada kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui. Sekiranya kriteria tersebut dipenuhi maka esoknya menjadi 1 Ramadan dan sekiranya tidak dipenuhi maka esoknya digenapkan kepada 30 haribulan Syaaban.

Kaedah rukyah dan hisab ini telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya yang ke-88 yang diadakan pada 20 Oktober 1970. Mesyuarat MRR telah memutuskan bahawa “Anak bulan Ramadan dan Syawal kiranya tidak kelihatan pada halnya mengikut kiraan ahli-ahli falak anak bulan itu tetap ada dan boleh nampak, maka kiraan ahli-ahli falak boleh lah digunakan”.

Syarat minimum rukyah anak bulan dianggap dilihat

Kriteria imkanur rukyah adalah syarat minimum yang ditetapkan untuk memastikan bahawa anak bulan dianggap boleh dilihat semasa proses rukyah hilal dilaksanakan.

Syarat baru kriteria imkanur rukyah ini dibuat berpandukan kepada data-data anak bulan yang berjaya dicerap hampir dua puluh tahun hasil kajian yang telah dilaksanakan oleh Bahagian Penyelidikan JAKIM di lokasi Teluk Kemang Negeri Sembilan selain kajian-kajian data daripada negara luar yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kecil Analisis Cerapan Hilal yang dilantik oleh JAKIM.

Kriteria baru ini kemudiannya telah diputuskan secara bersama dalam Muzakarah Rukyah dan Takwim Islam Negara Anggota MABIMS pada tahun 2016 di Teluk Kemang Negeri Sembilan.

Penggunaan kriteria imkanur rukyah baru ini kemudiannya telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI kali ke-118 yang telah bersidang pada 16 – 17 Februari 2021 dan juga telah disembah maklum kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke 257 pada 24 – 25 November 2021.

Kriteria imkanur rukyah baru mula dilaksanakan penggunaanya bermula 1 Muharam 1443H.

Kriteria imkanur rukyah baru tersebut merujuk kepada “Ketika matahari terbenam ketinggian anak bulan ≤ 3 darjah dari ufuk dan jarak lengkung (sudut elongasi) bulan dan matahari ≤ 6.4 darjah.

Parameter jarak lengkung (sudut elongasi) diukur dari pusat Bulan ke pusat Matahari. Umur hilal tidak lagi menjadi salah satu syarat dalam kriteria imkanur rukyah yang baru. Dua lokasi paling timur (Tanjung Atiamu, Sabah) dan paling barat (Pulau Perak, Kedah) dijadikan titik rujukan dalam hitungan kriteria imkanur rukyah bagi negara Malaysia.

Kedua lokasi sempadan timur dan barat ini merupakan matlak bagi negara Malaysia. Matlak bermaksud kawasan yang berada pada jangka masa waktu terbit dan terbenam matahari serta bulan yang hampir sama, atau lebih mudah difahami, ia bermaksud negara yang berkongsi waktu siang dan malam mereka. Negara Malaysia adalah terletak dalam matlak Asia Tenggara.

Penentuan masuknya Ramadan dan Syawal dalam mazhab Syafie

Dalam mazhab Syafie penentuan masuknya bulan Ramadan atau bulan Syawal adalah berdasarkan anak bulan yang kelihatan di negara yang mempunyai matlak yang sama.

Diriwayatkan oleh Muslim, at-Tirmizi, Abu Daud, an-Nasai’e hadith yang telah diriwayatkan daripada Kuraib yang bermaksud : “Aku melihat anak bulan di Syam pada malam Jumaat, kemudian aku pulang ke Madinah, lalu ibn ‘Abbas bertanya kepadaku: ‘Bilakah kamu melihat anak bulan?’ Aku menjawab: ‘Kami melihat pada malam Jumaat’, ibn ‘Abbas bertanya lagi: ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’, Aku menjawab: ‘Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka juga berpuasa, Mu’awiyah turut berpuasa.’ Ibn ‘Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa sehingga kami sempurnakan 30 hari Ramadhan’, Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan anak bulan yang dilihat oleh Mu’awiyah dan puasanya?’ Ibn ‘Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya Rasulullah SAW menyuruh kami berbuat demikian.”

Imam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah telah menjelaskan perkara ini dengan berkata: “Dan apabila dilihat anak bulan di sesuatu negara, maka hukumnya adalah sama seperti negara yang berhampiran dengannya, sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah kerana kedua-duanya seolah-olah seperti satu negeri, bukannya (hukum yang berbeza) bagi negeri yang jauh seperti Hijaz dan ‘Iraq pada pendapat yang lebih tepat”.

Pihak Berkuasa Agama Negeri lapor pada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja

Bagi bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah, pihak yang bertanggungjawab untuk merukyah hilal dan melaporkan kenampakan anak bulan adalah jawatankuasa yang dilantik oleh pihak berkuasa agama negeri. Mereka ini diberi tanggungjawab untuk merukyah hilal di 29 lokasi cerapan hilal seluruh Malaysia.

Sekiranya anak bulan kelihatan, laporan akan dipanjangkan kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia (PPMBRR). Penyimpan Mohor kemudiannya akan mendapatkan perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda sebelum sebarang pengistiharan dapat dibuat.

Sebagai kesimpulan, penyelarasan penentuan awal bulan hijri terutama bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah yang diamalkan oleh negara kita adalah memenuhi hukum syarak, selari dengan ilmu sains, teknologi dan pengurusan bersistematik dalam sistem pentadbiran negara telah menjadikan keputusan dan rujukan dalam penentuan awal bulan kepada negara-negara lain.

Masyarakat adalah dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan maklumat yang betul dan tepat dari JAKIM atau pihak berkuasa agama negeri berkaitan dengan kaedah penentuan awal bulan hijri di Malaysia sebagai pihak yang diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja atas dasar penyatuan penyelarasan antara negeri-negeri.

--BERNAMA

Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)