TINTA MINDA

AL-QURAN PERLU DIAMAL, BUKAN SEKADAR DIBACA DAN DIHAFAL

05/04/2024 09:25 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Muzaffar Syah Mallow

Tanggal 17 Ramadan setiap tahun, umat Islam diserata dunia akan menyambut satu peristiwa besar dan penting dalam sejarah kewujudan dan penyebaran agama Islam itu sendiri iaitu peristiwa turunnya kitab suci al-Quran.

Peristiwa berkenaan yang juga lebih dikenali oleh umat Islam sebagai “Nuzul al – Quran” merupakan peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW yang diturunkan secara berperingkat-peringkat sehingga ianya menjadi lengkap sebagaimana al-Quran seperti yang kita kenali pada masa kini.

Nuzul bermakna turun

Perkataan “Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Peristiwa Nuzul al–Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke – 41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira’ berhampiran dengan kota suci Makkah.

Kitab suci al–Quran merupakan satu kitab panduan hidup untuk manusia dan rujukan utama umat Islam diserata dunia di samping Sunnah Rasulullah SAW. Sukar untuk bayangan keadaan umat Islam dan seluruh kehidupan manusia itu sendiri tanpa adanya kitab suci al–Quran ini.

Al-Quran ialah mukjizat terbesar

Kitab suci al–Quran adalah kitab mukjizat yang menunjukkan hidayah, membawa rahmat, menjadi nasihat dan penawar kepada penyakit rohani dan jasmani khususnya kepada umat Islam yang beriman.

Allah SWT berfirman “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al–Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang beriman” Surah Yunus: Ayat 57.

Allah SWT juga berfirman: “Dan Kami turunkan dengan beransur – ansur daripada al–Quran ayat suci yang menjadi penawar serta rahmat bagi orang yang beriman kepada-Nya dan (sebaliknya) al–Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua” Surah al– Isra’: Ayat 82.

Al-Quran diamalkan bukan sekadar dibaca

Kitab suci al–Quran telah menjadi kitab teragung sepanjang zaman. Generasi sahabat yang bersama Rasulullah SAW sering digelarkan sebagai “generasi al – Qur’an yang unik”.

Keunikannya adalah kerana mereka mengamalkan segala apa yang ada dalam kitab suci al – Qur’an dan bukan hanya sekadar membaca dan menghafalnya.

Bagi umat Islam yang benar–benar menghayati kitab suci terbabit, al–Quran Kalamullah bukan sekadar pusaka peninggalan Rasulullah SAW semata–mata.

Mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW yang diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun ini, diamanahkan supaya umat manusia dapat mengenalinya, mempelajarinya, menghayati, mendalami dan seterusnya mengamalkan segala yang terkandung di dalamnya.

Melalui kitab suci al–Quran, kita dapat mempelajari sejarah silam kehidupan manusia di masa lampau dan ianya menjadi panduan dan bimbingan kepada kehidupan kita semua pada masa kini.

Kitab suci al–Quran juga mendedahkan kita semua mengenai pelbagai aspek kehidupan seperti pendidikan, hubungan kekeluargaan, hubungan dalam masyarakat, sains, politik, agama, undang–undang atau hukum, politik, pentadbiran, ekonomi, pengurusan harta, kesihatan, perubatan, tatatertib (akhlak) dan lain–lain.

Oleh yang demikian, kita harus mengubah tanggapan bahawa kitab suci al– Quran diturunkan hanya untuk dibaca dan dihafal.

Penurunan kitab suci al–Quran kepada Nabi Muhammad SAW bukan semata – mata bertujuan untuk dibaca dan dihafal malah ia juga bertujuan supaya umat Islam dapat mengenalinya, mempelajarinya, memahaminya dan mendalami segala panduan dan perintah yang termaktub didalamnya serta mengamalkannya.

Fahami kandungan al-Quran

Dengan terdapatnya pelbagai aspek atau perkara yang dibawa melalui kitab suci al–Quran ini, ia sekaligus menjadikan kitab suci al–Quran sebagai sebuah kitab yang unik serta membawa pelbagai jenis manfaat bukan sahaja terhadap umat Islam malah kepada semua umat manusia diserata dunia.

Adalah penting untuk diketahui, segala bentuk panduan, bimbingan dan manfaat yang dibawa melalui kitab suci al–Quran ini hanya dapat diperolehi dan dihayati sekiranya kita dapat memahami segala isi kandungan yang dibawa di dalam kitab suci al–Quran serta mengamalkan segala perkara yang telah dinyatakan di dalam kitab suci terbabit dalam kehidupan seharian kita.

Segala bentuk panduan, bimbingan dan manfaat yang dibawa melalui kitab suci al–Quran tidak dapat dinikmati oleh kita semua sekiranya kita hanya memberi tumpuan sepenuhnya pada aspek bacaan dan hafalan kitab suci terbabit semata – mata.

Adalah penting bagi umat Islam menghargai kurniaan terbesar yang telah diberikan oleh Allah SWT ini dengan mengenalinya, mempelajarinya, memahaminya dan mendalami kitab suci berkenaan secara terperinci serta mengamalkannya dan bukan hanya sekadar membaca dan menghafalnya sahaja.

Untuk mengenali, mempelajari, memahami dan mendalami kitab suci al–Quran adalah penting untuk kita faham mengenai segala maksud, makna atau intipati dan serta tafsiran yang ingin disampaikan melaluinya.

Perkara ini adalah penting kerana kitab al–Quran itu sendiri telah diturunkan dalam Bahasa Arab manakala umat Islam dan manusia secara keseluruhan itu sendiri adalah terdiri daripada pelbagai bangsa yang mempunyai bahasa mereka sendiri.

Tidak semua manusia dapat memahami bahasa Arab dengan fasih serta dengan sempurna.

Adalah mustahil untuk umat Islam ataupun mana – mana umat manusia yang tidak terdiri daripada bangsa Arab untuk memahami dengan sempurna segala maksud dan makna yang terdapat di dalam kitab suci al–Quran itu tanpa mempelajari bahasa Arab ataupun mendapatkan bantuan daripada mereka yang betul–betul pakar dalam bidang tafsir dan ilmu berkaitan dengan al–Quran.

Walaupun apa–apa kesukaran yang dialami, segala usaha untuk mengenali, mempelajari, memahami dan mendalami apa yang telah dinyatakan di dalam kitab suci al–Qur’an haruslah dilakukan oleh semua umat Islam serta bagi mana – mana umat manusia yang ingin mendapatkan panduan, bimbingan serta manfaat daripadanya.

--BERNAMA

Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya Fakulti Syariah & Undang– Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)