NOTA KAMPUS

KECERDASAN BUATAN DAN NILAI INTEGRITI WARGA UNIVERSITI

28/03/2023 08:07 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Saleha Sabran

Bijak pandai menyatakan kualiti dalam berkata-kata tidak dapat dinilai daripada banyaknya kamu berbicara sebaliknya berapa orang yang memahami apa yang kamu bicarakan. Mungkin ini merupakan cetusan idea dalam menghasilkan kecerdasan buatan, kepintaran buatan atau dalam istilah Bahasa Inggerisnya Artificial Intelligence (AI). Jika kita melakukan carian di Internet, program AI merupakan kecerdasan dimiliki dan ditunjukkan satu sistem yang mempunyai atur cara atau mesin jentera yang mampu melakukan tugas dan fungsi mirip seperti dalam pemikiran manusia.

Mari kita imbas kembali, sewaktu kecil acap kali kita menonton telemovie mengenai ejen perisik menggunakan pelbagai alat kecil dan unik. Kadangkala tidak terfikir mengenai idea dan hasil ciptaan hebat profesor dan pengkaji pada zaman itu. Usai dewasa, kita melihat program AI ini lebih maju berbanding masa dahulu. Ilmu Allah sangat luas hingga diilhamkan kepada orang bijak pandai agar menghasilkan alat-alat sedemikian rupa.

Konsep AI

Tahukah anda Program AI meliputi sistem pakar, maksudnya semua data mengenai pengetahuan pakar di dunia ada di dalamnya, seperti robotik dan sistem sensor computer vision iaitu mengintrepetasi gambar atau objek melalui komputer atau mudahnya mesin pengecaman sama ada menggunakan wajah, mata mahupun jari. Program AI juga merupakan sistem yang boleh diberikan arahan, melatih atau mengajar, contohnya mesin pesanan makanan di kedai serbaneka (Self Service Ordering) atau mesin pembayaran kiosk restoran.

Pendekatan Program AI yang diguna pakai dirancang dengan baik agar dapat memudahkan tugas rutin atau penyampaian maklumat dengan lebih berkesan. Ini termasuklah pembangunan sumber manusia yang lebih kompeten bagi menghadapi cabaran yang lebih kompleks.

Penggunaan Program AI juga boleh dilihat sebagai ancaman sekiranya kemampuan menyimpan data yang tidak terbatas, memiliki ketepatan dan kecekapan dalam sistem kerjanya apabila program AI dapat digunakan pada bila-bila masa tanpa rasa penat mahupun bosan sebagai contoh telefon bimbit. Hanya dengan satu klik atau arahan semua dapat dilaksanakan dengan pantas.

Keberkesanan AI dengan nilai integriti warga universiti

Pendekatan Program AI bagi warga universiti lebih sinonim jika digunakan dalam meningkatkan pengurusan integriti dan profesionalisme dalam kalangan pekerja, termasuk juga pendidik. Bagi warga universiti, integriti merupakan satu nilai murni atau kualiti unggul yang harus wujud dalam diri setiap individu atau sesebuah organisasi.

Seseorang yang berintegriti melambangkan beliau insan jujur dan amanah dalam pekerjaannya. Oleh yang demikian, jika warga universiti dapat mencipta inovasi atau pembaharuan yang menitikberatkan integriti ia merupakan elemen penting juga suatu nilai tambah dalam memastikan perkhidmatan yang diberíkan sentiasa berada pada tahap yang cemerlang dan hasil kerja yang sangat sistematik.

Cadangan penggunaan AI dalam warga universiti

Perkembangan teknologi, AI, Robotic Process Automation, IoT dan sebagainya bukan sahaja mempunyai potensi untuk menambah baik cara kita bekerja, tetapi juga telah mengubah cara rakyat berhubung dan berinteraksi dengan pihak universiti dan pihak penggubal dasar secara amnya. Ini menjadikan rakyat atau pelanggan lebih berpengetahuan dan mempunyai harapan yang lebih tinggi terhadap perkhidmatan awam.

Justeru warga universiti sewajarnya menggunakan Program AI bersama-sama dengan pertimbangan manusia. Program AI boleh menjadi alat yang berkuasa untuk menganalisis data dan mengenal pasti corak tingkah laku, tetapi ia tidak sempurna. Demi memastikan ketepatan dan keadilan, adalah penting untuk menggunakan Program AI bersama-sama dengan pertimbangan dan pengawasan manusia.

Adalah menjadi tanggungjawab warga universiti memastikan kandungan maklumat yang diberikan tepat, perlu ada pemantauan dan atasi berat sebelah secara berterusan. Biasanya dalam data yang digunakan untuk melatih sistem AI boleh membawa kepada penilaian integriti yang tidak tepat atau tidak adil.

Oleh itu, adalah penting untuk terus memantau dan menangani berat sebelah dalam data yang digunakan bagi melatih sistem AI serta melaksanakan perlindungan pencegahan diskriminasi. Sistem perkhidmatan yang diberikan perlu ada penambahbaikan berterusan. Proses ini adalah sangat baik demi memastikan pematuhan undang-undang dan piawaian etika yang terpakai.

Lantas, universiti hendaklah memastikan bahawa mana-mana sistem AI yang digunakan untuk menyelia integriti mematuhi undang-undang dan piawaian etika yang berkenaan.

Ini termasuklah memastikan hak dan privasi warga universiti dilindungi. Seiring peningkatan teknologi semasa, warga kerja termasuk juga pendidik perlu dipupuk dengan budaya integriti dan tingkah laku beretika.

Keberkesanan AI dalam menyelia integriti di universiti akhirnya bergantung pada cara ia digunakan dan disepadukan dengan alat dan proses lain untuk menggalakkan budaya integriti dan tingkah laku beretika. Oleh itu, universiti harus mengutamakan pemupukan budaya integriti dan tingkah laku beretika sebagai komponen utama pendekatan mereka untuk menggunakan AI.

Sistem atau perkhidmatan yang disediakan perlu menyediakan tahap ketelusan dan akauntabiliti. Universiti harus telus tentang penggunaan AI mereka dalam menyelia integriti dan harus menyediakan maklumat yang jelas dan boleh diakses tentang cara AI digunakan dan apakah tahap perlindungan yang disediakan untuk melindungi hak-hak dan privasi warga universiti. Selain itu, universiti harus bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat oleh sistem AI dan harus bersedia untuk menjelaskan dan mewajarkan keputusan tersebut apabila perlu.

Penggunaan teknologi terkini dan keberkesanan perkongsian maklumat memainkan peranan amat penting kepada universiti agar penyampaian perkhidmatan dapat diberikan dengan berkualiti kepada pelanggan dan pemegang taruh. Sebagai contoh penggunaan Program AI di universiti adalah rakaman video yang sistematik dan berkesan menggunakan dron, mesin pengimbas berteknologi Artificial Intelligence (AI) telah digunakan dalam kebanyakan sistem kehadiran di universiti. Sistem bacaan nama graduan di dalam sesebuah Istiadat Konvokesyen juga telah mengguna pakai scanner, ada juga penambahbaikan mengguna pakai Radio Frequency Identification Device (RFID) di dalam pengurusan Istiadat Konvokesyen. Selain itu, teknologi itu juga digunakan sebagai rekod inventori jubah-jubah tersebut. Bagaimanapun, universiti tidak dapat memenuhi keperluan-keperluan tersebut kerana dihimpit oleh hambatan kewangan meskipun dipercayai ia boleh meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.

Ppegawai universiti perlu melaksanakan sistem tadbir urus terbaik, mengamalkan budaya kerja berkualiti dan memantapkan nilai integriti bagi menentukan penjawat awam menjunjung dan menegakkan prinsip integriti serta akauntabiliti ke arah mencapai sistem penyampaian awam yang lebih cemerlang selaras dengan perkembangan teknologi AI.

--BERNAMA

Saleha Sabran ialah pegawai U-Media, Pembantu Tadbir, Bahagian Hal Ehwal Akademik, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)