KETAMADUNAN

PBMBP: PENGAJARAN BERKUALITI KE ARAH KEMENJADIAN MURID

16/01/2023 09:27 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Muhammad Affan Ahamad

Pembelajaran Bahasa Melayu Berasaskan Projek (PBMBP) merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah perkara #108 iaitu pemartabatan pendidikan Bahasa Melayu. Perkara ini merupakan usaha murni KPM bertujuan melahirkan murid yang memiliki keterampilan berbahasa Melayu selari dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Rasional pelaksanaan PBMBP

Pelaksanaan PBMBP bertujuan mewujudkan persekitaran yang konstruktif dalam Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21). Bukan itu sahaja, pemindahan ilmu pengetahuan murid dalam persekitaran sosial melalui pelbagai gaya pembelajaran juga berlaku serta pelaksanaan unsur Teknologi Maklumat Komunikasi (TMK) dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat diterapkan oleh guru. Oleh yang demikian, guru yang bertindak sebagai penggerak PAK-21 amat mementingkan aspek kemenjadian murid yang menepati aspirasi seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025).

Antara manfaat pelaksanaan PBMBP adalah membantu guru untuk melaksanakan penambahbaikan amalan pembelajaran dan pemudahcaraan. Perkara ini memberi peluang kepada guru mempelbagaikan pedagogi yang berkesan untuk menambah baik amalan PdP melalui pembelajaran berasaskan projek. Menerusi PBMBP, pihak guru dapat meningkatkan kreativiti PdP mereka seiring dengan perubahan pendidikan semasa. Sebagai guru yang cakna terhadap perubahan pendidikan, seharusnya menyedari kepentingan penguasaan literasi TMK yang menjadi perkara utama dalam Dasar Pendidikan Digital.

Teras keempat dalam Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia iaitu membangunkan bakat digital yang tangkas dan cekap dalam kalangan guru, bertujuan memastikan mereka dapat menguasai sepenuhnya peralatan dan teknologi digital bagi urusan pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, penguasaan TMK ini dapat diterjemahkan melalui PdP yang dilaksanakan oleh guru pada masa kini untuk memanfaatkan penggunaan TMK dalam PBMBP yang dijalankan. Impaknya, penghasilan Bahan Bantu Belajar (BBB) dan penyebarannya dapat dilaksanakan secara meluas sebagai bahan sokongan pembelajaran murid mahupun rujukan kepada para guru lain melalui media sosial seperti di YouTube, Facebook mahupun TikTok.

PBMBP mampu kembangkan idea dan bakat murid

Selain itu, PBMBP juga mampu mengembangkan idea dan bakat murid. Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dapat dijelmakan melalui PBMBP. Berdasarkan projek yang dihasilkan oleh murid, penjanaan idea mereka melalui KBAT dapat dibentuk secara kolaboratif dan koperatif dalam kumpulan masing-masing. Secara tidak langsung, aktiviti sumbang saran turut berlaku semasa proses berfikir yang dapat diterjemahkan melalui penggunaan peta I-Think mahupun peta minda.

Oleh itu, kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif dalam kalangan murid dapat dibentuk bermula daripada aras pengetahuan, pemahaman, pengaplikasian, penganalisisan, penilaian hinggalah ke aras penciptaan (Anderson, 2001). Kesannya, tugasan projek mampu mendorong para murid melaksanakan pembelajaran yang bermakna yang meliputi aspek kehidupan harian mereka. Impaknya, penyelesaian tugasan ini dapat menyediakan ruang murid untuk meningkatkan daya berfikir bagi menyelesaikan dan menghadapi cabaran kehidupan dunia yang realistik.


Aktiviti PBMBP dapat diterjemahkan dalam pelbagai aktiviti seni bahasa seperti mendeklamasikan sajak, mencipta lirik lagu, nyanyian dan lakonan

Pemantauan oleh guru

Seterusnya, keseronokan dalam pembelajaran merupakan perkara penting dalam menarik minat murid untuk belajar. Guru yang bertindak sebagai fasilitator seharusnya menyediakan peluang dan pelbagai aktiviti yang menarik sepanjang PBMBP dilaksanakan. Misalnya, dalam PBMBP yang berkaitan “Petani Muda” turut diajar kepada murid-murid untuk menghasilkan cecair organik penghalau serangga serta pembuatan baja kompos yang menerapkan Elemen Merentasi Kurikulum (EMK) dan penggabungjalinan beberapa subjek lain seperti Sains mahupun Reka Bentuk Teknologi (RBT). Semasa aktiviti dalam PBMBP yang dilaksanakan, guru perlu memantau perkembangan projek murid dari semasa ke semasa supaya projek yang dilaksanakan menepati masa yang ditetapkan.

Dalam situasi ini, guru juga dapat melaksanakan intervensi secara berperingkat dengan menerapkan pelbagai aktiviti secara berkumpulan. Semasa aktiviti-aktiviti tersebut dilaksanakan, kemahiran bahasa seperti kemahiran mendengar dan bertutur, membaca serta menulis sememangnya menjadi perantaraan dalam penyampaian ilmu kepada murid-murid. Oleh itu, sewaktu Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dilaksanakan oleh guru, kemahiran bahasa dalam kalangan murid dapat dipraktikkan secara bimbingan melalui rakan sekumpulan mahupun daripada guru sendiri. PBMBP yang dilaksanakan oleh murid bukan sekadar melihat produk akhir yang dihasilkan. Namun begitu, penguasaan kemahiran bahasalah yang menjadi perkara utama untuk diitaksir oleh guru. Pada akhirnya, PBMBP ini dapat memberikan keseronokan kepada murid dan merangsang motivasi mereka untuk belajar.


Guru bertindak sebagai fasilitator memberi bimbingan kepada murid

Tingkat kemahiran penggunaan Bahasa Melayu

Pelaksanaan PBMBP dapat memperkukuh kemahiran bahasa sewaktu PdP dilaksanakan. Antaranya, murid dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti nyanyian, mencipta lirik lagu, deklamasi sajak dan juga lakonan. Secara tidak langsung, penyampaian ilmu seni bahasa tersebut dapat diterapkan bersama elemen didik hibur dalam aktiviti yang dilaksanakan ini. Perkara ini dapat memupuk murid untuk menyerlahkan bakat, minat dan potensi murid untuk dikembangkan dan dibangunkan melalui aktiviti sedemikian. Galakan dan peneguhan secara intrinsik mahupun ekstrinsik seharusnya diberikan oleh guru agar murid berasa yakin, berani dan tidak berasa malu untuk tampil mempersembahkannya kepada orang lain.

Sehubungan itu, murid dapat menampilkan ilmu seni bahasa melalui pelaksanaan kemahiran berbahasa dengan betul yang berpandukan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 yang menjadi panduan kepada guru. Oleh itu, guru perlu memberikan kebebasan kepada murid untuk berfikir dan mengekspresi idea mereka secara kreatif untuk diterjemahkan dalam pelbagai gaya persembahannya. Impaknya, kesantunan berbahasa Melayu dalam kalangan murid dapat dilihat melalui kemahiran-kemahiran bahasa tersebut.

Penglibatan aktif dalam kalangan murid menjadi teras utama dalam PAK-21 yang menepati Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPMg2) bagi standard yang keempat iaitu murid sebagai pelajar aktif. Guru sebagai fasilitator, perlu bertindak merancang pembelajaran berpusatkan murid yang menggalakkan elemen sosial positif dalam kalangan ahli kumpulan tersebut. Setiap murid haruslah berperanan sebagai ahli kumpulan yang aktif menyumbang idea, bertanggungjawab menyelesaikan tugasan diamanahkan guru serta memupuk nilai-nilai murni seperti kerjasama, menghormati kekurangan dan kelebihan ahli kumpulan, berdisiplin dan kesungguhan. Oleh itu, setiap tugasan yang dilaksanakan murid haruslah mengikut garis panduan pelaksanaannya agar tidak tersasar daripada matlamatnya. Justeru, perancangan dan pelaksanaan PBMBP semestinya dirancang oleh guru dengan teliti agar hasil projek yang dilaksanakan benar-benar bermanfaat kepada murid.

PBD, kayu ukur kejayaan agenda negara

Isu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) turut menjadi perdebatan antara warga pendidik sejak kebelakangan ini. Situasi ini, menjadi perkara yang perlu diperhalusi oleh pihak yang terlibat kerana menjadi kayu ukur terhadap kejayaan agenda negara. Melalui PBMBP, guru seharusnya mengambil peluang sebaiknya untuk melaksanakan PBD. Perkara ini juga memberi kepelbagaian instrumen pentaksiran yang diguna pakai oleh guru untuk melihat tahap penguasaan murid dalam kemahiran bahasa yang dipelajarinya. Oleh itu, guru perlu mengambil kira kepelbagaian aras perkembangan murid untuk melaksanakan pentaksiran secara menyeluruh dari aspek kognitif, psikomotor dan afektif. Pentaksiran ini dilakukan secara formatif kerana setiap aspek tersebut dapat dilihat semasa aktiviti PBMBP dijalankan. Melalui bimbingan rakan sebaya dalam kumpulan murid, penguasaan murid dalam pembelajaran pada hari tersebut dapat ditaksir oleh guru. Murid yang lemah akan dibimbing oleh rakan sekumpulannya yang lebih mahir, pemberian tugasan yang lebih mudah dan penggunaan Bahan Bantu Belajar (BBB) yang sesuai diberikan kepada mereka. Maka, proses scaffolding (perancah) dalam kalangan murid turut berlaku agar murid yang lemah dapat menyelesaikan tugasan mereka sendiri.

Kesimpulannya, pelaksanaan PBMBP ini sememangnya menjadi PdPc yang amat penting kepada guru untuk dilaksanakan secara sistematik iaitu di peringkat sebelum, semasa dan selepas untuk memberi pengalaman bermakna kepada murid. Pada masa yang sama, penerokaan ilmu baharu dalam kalangan murid dapat diaplikasikan dalam kehidupan mereka agar mampu melahirkan insan yang seimbang dan holistik daripada aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Sehubungan itu, guru hendaklah menerima kekurangan dan kelebihan yang dimiliki oleh murid dan memanfaatkan setiap potensi yang dimiliki agar dapat mengembangkan bakat dan kreativiti mengikut keupayaan tersendiri. Oleh itu, pihak sekolah perlu menjadikan PBMBP sebagai batu loncatan ke arah kecemerlangan murid daripada pelbagai aspek tersebut. Jadikan PBMBP sebagai pembudayaan ilmu yang perlu dinormalisasikan sebagai pedagogi yang kreatif, kritis dan inovatif dalam kalangan guru Bahasa Melayu pada masa kini. Pastinya, kemenjadian murid yang menjadi tunjang dalam agenda Transformasi Sekolah (TS25) dapat direalisasikan dari awal bermula daripada PdPc yang kreatif melalui PBMBP.

-- BERNAMA

Muhammad Affan Ahamad ialah Guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Sungai Jejawi, Teluk Intan, Perak. Beliau juga Jurulatih Utama Pembelajaran Bahasa Melayu Berasaskan Projek (PBMBP) dan Jurulatih Utama Semarak KBAT dan PAK-21.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)