TINTA MINDA

KUASAI BAHASA MANDARIN TINGKATKAN POTENSI INDIVIDU

17/10/2022 09:39 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Farhana Abd Hamid dan Muhamad Radi Ahmad

Malaysia terkenal sebagai negara majmuk yang berbilang bangsa dan memiliki pelbagai kaum serta etnik. Secara umumnya, kaum utama di Malaysia terdiri daripada Melayu, Cina dan India. Amat penting bagi rakyat Malaysia untuk mempelajari ketiga-tiga bahasa, iaitu bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil selain bahasa Inggeris bagi meningkatkan keharmonian dan perpaduan negara. Dalam artikel ini, penulis ingin menyentuh tentang kelebihan menguasai bahasa Mandarin yang digunakan secara meluas serta memiliki sekitar satu bilion penutur di seluruh dunia.

Kuasai bahasa, fahami budaya

Kaum Cina merupakan etnik kedua terbesar di Malaysia selepas kaum Melayu. Dengan mempelajari bahasa Mandarin, kita dapat memahami budaya bangsa Cina. Memahami budaya bangsa lain merupakan satu daripada langkah utama dalam usaha membentuk keharmonian antara pelbagai kaum serta pemangkin proses integrasi nasional. Untuk ke arah itu, pembelajaran bahasa merupakan asas kepada pemahaman yang dinyatakan. Misalnya, adakah kita tahu maksud di sebalik pemberian limau mandarin yang amat sinonim dengan Tahun Baru Cina? Limau mandarin merupakan simbolik kekayaan memandangkan sifat fizikalnya yang berwarna oren dan seakan keemasan. Oleh itu, masyarakat Cina mempercayai buah limau mampu memberikan tuah, kekayaan dan kemakmuran dalam kehidupan mereka.

Selain itu, sebagaimana kaum lain cuba mempelajari bahasa utama di Malaysia, iaitu bahasa Melayu serta memahami pantang larang kaum Melayu, begitulah juga sebaliknya. Mempelajari bahasa Mandarin membuka ruang agar kita mengetahui pantang larang dalam masyarakat Cina. Sebagai contoh, dalam aspek numerologi berdasarkan kepercayaan kaum Cina, angka empat amat berkait rapat dengan simbol malang. Hal ini kerana, dalam bahasa Mandarin, sebutan bagi angka ini seakan-akan sama dengan perkataan yang membawa maksud ‘mati.’ Oleh itu, masyarakat Cina secara amnya tidak akan memiliki angka empat dalam nombor telefon, nombor pendaftaran kenderaan, mahupun alamat rumah mereka. Pemberian hadiah jam pada hari lahir juga merupakan suatu pantang larang kerana sebutan jam dalam bahasa Cina membawa maksud penghujung kepada kehidupan.

Adakah anda tahu terdapat istilah dalam kehidupan seharian yang selalu digunakan oleh masyarakat kita sebenarnya diambil daripada bahasa Mandarin? Sebagai contoh, perkataan yang sering kita sebut sebagai ‘tapau’ berasal daripada perkataan Mandarin, iaitu dǎbāo bermaksud bungkus. Perkataan ini seringkali digunakan oleh masyarakat kita berbanding perkataan bungkus atau take away.

Memudahkan urusan perniagaan

Di samping itu, pastinya ramai yang sedar bahawa rata-rata masyarakat berbangsa Cina pandai berniaga. Pernyataan ini bukanlah menidakkan kebolehan masyarakat berbangsa lain dalam aspek perniagaan. Cuma jika dilihat senario di mana-mana tempat termasuklah di Malaysia, kaum Cina amat menonjol dalam aspek ini. Jika kita mampu berbahasa Mandarin, sudah pasti ia mampu memudahkan urusan jual beli seharian kita. Dalam masa yang sama, kita juga mudah untuk mempelajari cara dan selok-belok perniagaan dengan mereka serta dapat berhubung dengan pelanggan Cina dengan mudah.

Mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah mengatakan bahawa bahasa Mandarin bukan lagi bahasa sesuatu kaum sahaja. Ia merupakan bahasa satu negara yang maju serta memiliki kekuatan ekonomi. Sudah tentunya kita sedia maklum bahawa pusat ekonomi pada masa kini tertumpu di negara China. Terdapat banyak syarikat dari negara China melabur di Malaysia dan kebanyakan syarikat yang bertapak di tanah air ini pula dimiliki oleh orang Cina. Merujuk pada kebanyakan laman web carian kerja, kemahiran berbahasa Mandarin merupakan antara kriteria yang sangat dikehendaki dalam kebanyakan jawatan kosong. Dalam erti kata lain, kebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin merupakan salah satu bonus dan nilai tambah dalam aspek kerjaya serta diri individu sekiranya mampu menguasainya.

Tuntasnya, kebolehan berkomunikasi dalam bahasa lain secara tidak langsung dapat meningkatkan daya saing setiap individu dalam mendepani era globalisasi yang kian mencabar. Dalam masa yang sama, penguasaan bahasa Mandarin juga mampu memperkukuh hubungan dua hala antara negara Malaysia dan China yang terkenal sebagai satu daripada kuasa besar di dunia. Diharapkan agar ia mampu menjadi titik tolak dan pemangkin agar semua rakyat Malaysia mempelajari pelbagai bahasa yang ada di negara ini.

--BERNAMA

Farhana Abd Hamid dan Muhamad Radi Ahmad merupakan Guru Bahasa di Jabatan Bahasa Antarabangsa Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)