Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan berita tragedi pembunuhan tragis di kalangan ahli keluarga yang melibatkan suami, isteri, ibu, ayah dan anak-anak.
Isu tekanan hidup, permasalahan jiwa, gangguan emosi ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dalam setiap peringkat usia, latar belakang, status dan pendidikan.
Fenomena ini bukan baharu, ia merupakan konflik sosial dan sangat menggusarkan rakyat Malaysia kerana ia melibatkan tekanan perasaan dan permasalahan mental akibat stress, permasalahan kewangan, krisis rumah tangga, kemelut kehidupan yang memberi kesan kepada gangguan emosi, pemikiran, hati dan jiwa manusia.
Isu ini harus ditangani segera sebelum ia menjadi barah dan krisis di dalam masyarakat.
Isu kritikal yang membelenggu, tangani sebelum membarah
Hakikat yang menyedihkan, kejadian pembunuhan ahli keluarga yang menyayat hati dan semakin membimbangkan orang awam.
Sekurang-kurangnya enam kes berlaku dalam tempoh Januari hingga ke hari ini.
Melihat kepada insiden kes pembunuhan dan bunuh diri yang mendukacitakan serta merenggut emosi seluruh rakyat Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bertindak tegas dengan memperkasakan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bagi membantu individu yang menghadapi tekanan perasaan.
Usaha ini sangat signifikan kerana ia bukan sahaja membendung permasalahan institusi kekeluargaan tetapi juga mengurangkan isu keganasan rumahtangga secara holistik. Bak kata pepatah Melayu; mencegah lebih baik dari mengubati.
Sejak Oktober 2021 hingga Disember 2025, sejumlah 156,033 kes klien disantuni dan berjaya diselesaikan melalui PSSS dengan kebanyakan kes melibatkan masalah tekanan perasaan.
Sudah terang lagi bersuluh, betapa institusi kekeluargaan diuji dengan pelbagai cabaran, masalah kehidupan, tekanan kerja, menguruskan keluarga dan lain-lain.
Oleh yang demikian, masyarakat Malaysia perlu bersikap cakna dan prihatin serta sama-sama membantu melaporkan sekiranya ada di antara ahli keluarga, sahabat, rakan taulan dan rakan tetangga yang mengalami sindrom tekanan perasaan atau permasalahan mental sebelum terlambat.
Keluarga terdekat harus peka jika terdapat sindrom tekanan seperti gangguan emosi, kemurungan, keresahan yang dihadapi oleh ahli keluarga.
Masalah tekanan boleh dielakkan sekiranya sokongan sosial dan komunikasi dua hala yang terjalin di antara ahli keluarga berterusan dan efektif.
Urus Konflik Keluarga Dengan Baik
Umumnya, di abad ke-21, kita menghadapi pelbagai ujian dan permasalahan kehidupan dengan menggalas tanggungjawab menyara keluarga, masalah kehilangan pekerjaan, peningkatan kos sara hidup, stress di tempat kerja, ketidakmampuan menyara keluarga dengan adanya komitmen besar serta bebanan hutang dan masalah kewangan yang sememangnya menjerut sebahagian pemikiran masyarakat.
Harus diingat, usah membiarkan ahli keluarga kita dibelenggu masalah mental kerana ia ibarat bom jangka dan pembunuh senyap jika tidak dibantu segera atau diselia dengan baik, lantas memberi impak besar lagi membahayakan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, (MMA) Dr Thirunavukarasu Rajoo menggambarkan laporan mengenai tragedi yang menimpa keluarga sebagai peringatan jelas berkenaan trend bunuh diri dan tekanan psikologi yang membimbangkan, terutama kepada individu yang bekerja dan berdepan dengan tekanan sosio-ekonomi yang berat.
Usah menormalisasikan sikap individualistik.
Realitinya, pentingnya ahli keluarga dan masyarakat melihat konflik ini secara serius dengan memastikan persekitaran selamat iaitu dengan bertindak segera bagi menangani dan menghentikan sama sekali kes pembunuhan dan trend bunuh diri.
Individu yang berdepan dengan masalalah tekanan mental perlu mendapatkan bantuan profesional segera dengan berjumpa psikoterapi, kaunselor serta mendapatkan nasihat agar dapat membantu meringankan bebanan masalah serta emosi pemikiran yang dilalui.
Betapa, berat mata memandang berat lagi bahu memikul; perumpamaan ini jelas dengan permasalahan mental yang dihadapi.
Mereka memerlukan telinga dan bahu untuk menangis bukan sahaja isu permasalahan yang ditanggung dapat dikurangkan tetapi juga menjaga kesihatan mental daripada merosot. Jadilah pendengar yang setia dan mempunyai sifat empati.
Usaha Kerajaan Bendung Kemiskinan
Pada dasarnya, terdapat segelintir keluarga yang sama sekali tidak mampu membeli keperluan asas seperti makanan, membayar duit sewa rumah apa lagi membeli rumah sendiri, memberi pendidikan yang mencukupi kepada anak-anak dan membiayai perubatan bagi ahli keluarga yang sakit.
Lebih memilukan, akibat kesukaran meminjam wang dari bank, ada yang hilang pedoman dan sanggup meminjam dari Ah Long.
Individu ini akan mengalami tekanan hidup. Ini sangat menjentik hati kita apabila mendengarkan sebahagian keluh-kesah dan penderitaan rakyat Malaysia di era inflasi dan arus kemodenan.
Melihatkan permasalahan kewangan yang semakin runcing dihadapi oleh sebahagian masyarakat, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil peduli dan telah bertindak membantu golongan yang berpendapatan rendah dan miskin bagi meringankan bebanan kewangan.
Menyedari kos hidup semakin meningkat, kerajaan telah bertindak meningkatkan gaji pekerja sektor kerajaan di seluruh Malaysia.
Ini memberi kekuatan emosi dan sinar harapan kepada masyarakat agar menjalani kehidupan dengan baik.
Langkah kerajaan menangani kemiskinan melalui pendekatan bersasar berteraskan data eKasih, dengan peruntukan RM15 bilion pada 2026 untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan semua warga Malaysia melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Bantuan ini merangkumi kredit barangan asas, bantuan tunai bulanan JKM, serta pemerkasaan pendidikan (KWAPM) bagi memastikan pelajar miskin tidak tercicir.
Fokus kerajaan ialah untuk membantu golongan B40 dan miskin yang memerlukan bantuan subsidi bersasar yang berterusan.
Peranan Masyarakat dan Media Tanpa Prejudis
Masyarakat perlu bersikap rasional dan elakkan daripada berfikiran prejudis dan kurangkan stigma bila berhadapan dengan individu yang menghadapi kesihatan mental.
Mereka perlu dibantu dan bukan dihakimi.
Justeru itu, warga yang mengalami tekanan perlu ada jaringan dukungan sosial serta hubungan keluarga yang kuat bagi mengelakkan tindakan buruk atau kejadian yang tidak diingini.
Adalah digalakkan seluruh isi rumah, pekerja sektor kerajaan dan swasta peka dan menjalani saringan kesihatan mental.
Ini bagi memastikan pendekatan awal dapat dikesan, mengenal pasti akar permasalahan dengan cepat.
Seterusnya individu tersebut boleh dirujuk kepada pakar perubatan psikologi, psikiatri atau institusi mental dan kaunselor yang bertauliah.
Langkah pengawalan ini membantu melahirkan masyarakat yang berfikiran normal, sejahtera akalnya, waras akan tingkah lakunya serta mengurangkan jenayah pembunuhan dan kes bunuh diri.
Laporan atau liputan media perlu beretika bagi mengelakkan sensasi dan mengurangkan risiko peniruan (copy-cat crime) oleh khalayak ramai.
Pengamal media seharusnya bersikap rasional, profesional dan menghormati hak peribadi mangsa dengan tidak melaporkan butiran secara terperinci (in detail) mengenai kes bunuh diri atau keganasan di dalam keluarga akibat tekanan mental.
Ini bagi menjaga perasaan keluarga dan lingkungan sosial serta masyarakat yang terkesan dengan tragedi pembunuhan tersebut.
Elakkan mensensasi laporan, liputan media demi nilai komersial.
Sebaliknya, laporan seharusnya membangkitkan kesedaran dan mendidik masyarakat agar lebih prihatin dengan masalah tekanan mental atau depresi.
Laporan media seharusnya lebih bertanggungjawab dan berempati.
Tingkatkan Kesedaran Diri, Cegah Tekanan Mental Demi Komuniti Sejahtera
Permasalahan mental juga boleh berlaku akibat pengasingan atau perasaan kesepian tanpa dukungan, sokongan keluarga dan komuniti.
Kurangkan stigma, persepsi negatif dengan melabel individu tersebut sebagai “orang gila”, “mental tidak stabil”, “mengada-ngada”, “bahaya” dan “ganas”.
Usah mendiskriminasikan dan memprovokasi mereka yang menghadapi tekanan perasaan kerana ia akan mengundang, risiko, insiden dan perkara yang lebih buruk.
Mereka memerlukan bukan sahaja panduan tetapi juga sokongan masyarakat agar mereka dapat menjalani kehidupan normal.
Orang ramai boleh mengetahui tahap kesihatan mental dengan menjalani Ujian Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS) yang disediakan melalui laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia.
Masyarakat juga boleh melakukan saringan kesihatan mental atas talian dan memperoleh keputusan dengan segera melalui MyMinda di aplikasi MySejahtera.
Bijak Mengurus Stress
Individu seharusnya bijak mengurus tekanan emosi dengan baik. Belajar mengawal emosi secara baik, berfikir positif dan jangan biarkan emosi mengawal diri kerana ia akan mengundang tekanan mental kepada diri sendiri.
Tingkatkan komunikasi dengan berbicara dan berkongsi masalah tersebut dengan insan yang berfikiran positif, keluarga dan orang yang boleh dipercayai.
Dapatkan bantuan khidmat nasihat dari kaunselor. Cara ini boleh memotivasi diri dengan mengurangkan stress, krisis atau beban permasalahan yang dihadapi dapat ditangani dengan sebaiknya.
Selain itu, pastikan menjaga kesihatan mental dengan optimum.
Jalani kehidupan dengan gaya hidup sihat, mengamalkan pemakanan yang seimbang, rehat yang mencukupi, bersosial, berinteraksi dengan baik sebagai terapi jiwa agar diri tidak keseorangan.
Pendekatan agama juga penting dengan mempertingkatkan iman dan takwa agar jiwa kuat dan tidak kosong.
Menghadiri ceramah yang disampaikan serta mendekatkan diri dengan ALLAH SWT melalui doa dan zikir.
Ini dapat mengelakkan diri daripada berfikiran negatif, kusut dan putus asa sekiranya diri diuji dengan masalah.
Pengurusan masa dan kehidupan yang seimbang dapat mengelakkan tindakan yang menyimpang sekaligus mencorakkan emosi yang sejahtera dan mengurus tekanan atau masalah dengan pendekatan rasional serta jiwa yang tenang.
Sekiranya anda ingin mendapatkan bantuan untuk diri sendiri atau memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan khidmat sosial boleh menghubungi:
Tuntasnya, semua pihak iaitu kerajaan, kementerian yang terlibat, badan kebajikan dan masyarakat perlu berganding bahu menangani permasalah tekanan mental dengan ihsan dan efektif.
Usaha menstabilkan kesihatan mental, pendapatan yang seimbang menjamin kepuasan dan keselesaan hidup bagi menyara keluarga, keselamatan rumah serta memperkukuh jaminan sosial institusi kekeluargaan dan masyarakat.
Intervensi dan langkah yang baik perlu diteruskan bagi mengurangkan permasalahan mental dan menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia secara menyeluruh.
Hargai keluarga dan orang yang tersayang bagi melahirkan masyarakat yang sejahtera, hormat dan lebih yakin selaras dengan gagasan Malaysia MADANI.
- Kesejahteraan adalah keseimbangan antara minda, tubuh dan jiwa
-- BERNAMA
Norazlinda Mohammad ialah Pensyarah Kanan bidang Kewartawanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka