TINTA MINDA

Potensi Filem Sebagai Kuasa Lunak Dalam Diplomasi Antarabangsa

25/07/2022 09:18 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Mohamad Ika Danial Abdullah

Potensi filem-filem epik adaptasi sejarah di Malaysia dari lensa diplomasi budaya dari kacamata penulis mempunyai kekuatan tersendiri. Sebagai rakyat Malaysia, umum semua mengetahui bahawa kekayaan budaya, sejarah dan tradisi adalah kekuatan negara tercinta ini. Atas dasar tersebut, ‘diplomasi budaya’ telah dijadikan sebagai satu daripada bidang tumpuan dalam Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia pada 7 Disember 2021 yang lalu.

Menyentuh berkenaan arena seni persembahan, sememangnya Malaysia tidak kurang hebatnya dalam menghasilkan filem adaptasi sejarah yang berkualiti tinggi sejak lebih setengah abad yang lalu. Malahan, terdapat juga filem-filem tempatan yang telah menerima pengiktirafan antarabangsa kerana keunikan mereka. Antaranya filem klasik Hang Tuah telah menerima Anugerah Skor Muzik Terbaik dalam Festival Filem Asia ketiga, manakala filem Puteri Gunung Ledang pula telah menduduki tangga ke-49 sebagai Filem Asing Terbaik dalam Anugerah Akademi 2004.

Filem adaptasi sejarah bukan sesuatu yang baharu

Sekitar 1940-an hingga 1960-an, kebanyakan filem tempatan yang dihasilkan adalah berdasarkan sejarah, hikayat, dan kisah rakyat seperti filem Hang Tuah, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Tun Fatimah, Hang Jebat, Sarjan Hassan, Bukit Kepong dan banyak lagi. Lebih ironi lagi apabila filem-filem tersebut telah dihasilkan pada era kolonial dan awal kemerdekaan. Maka tidak hairanlah mengapa generasi terdahulu mempunyai nilai sentimental, kepercayaan, dan kekaguman yang amat tinggi terhadap sejarah dan tradisi mereka. Sehingga ke hari ini, filem-filem layar perak ini masih ditayangkan di kaca televisyen buat tontotan masyarakat.

Perkembangan ini tidak terhenti di situ sahaja. Biarpun genre dan konsep filem tempatan paska kemerdekaan dan paska moden lebih berfokuskan kepada isu masyarakat semasa, filem-filem yang diadaptasi daripada sejarah masih juga dihasilkan seperti filem Embun, Leftenan Adnan, Puteri Gunung Ledang, Hikayat Merong Mahawangsa, 1957: Hati Malaya dan Tanda Putera.

Baru-baru ini, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan juga bukan sahaja unik kerana dibarisi pelakon-pelakon terkenal tanah air, tetapi juga amat berjaya dalam mempersembahkan keindahan pelbagai budaya Melayu, seperti silat, pakaian tradisional dan penggunaan rantaian kata-kata hikmat yang begitu menusuk ke jiwa setiap penonton. Pelbagai lapisan masyarakat telah memberikan ulasan mengenai filem tersebut sama ada daripada golongan pemimpin negara, akademia, agamawan, profesional mahupun masyarakat umum.

Ramai yang memberi respon yang amat positif terhadap filem tersebut tetapi tidak kurang juga yang mengkritiknya. Respon yang bervariasi telah memberikan lebih banyak daya tarikan kepada masyarakat untuk menonton filem tersebut. Dengan kejayaan luar biasa filem tersebut, ‘fenomena Mat Kilau’ sudah cukup memadai untuk membuktikan bahawa majoriti masyarakat Malaysia masih menghargai dan menghayati sejarah serta budaya tanah air. Hal ini sekaligus menepis stigma dan prejudis bahawa nilai cinta akan sejarah dan budaya telah semakin luntur dalam kalangan masyarakat negara kita. Perkara yang perlu diberikan perhatian pada masa sekarang adalah bagaimana untuk memperbaharui alat dan kaedah untuk meningkatkan kecintaan terhadap sejarah dan budaya negara sesuai dengan peredaran masa.

Kuasa teknologi dalam diplomasi budaya

Seiring dengan usia kemodenan, prakarsa memupuk rasa cinta terhadap sejarah dan budaya juga perlulah lebih segar dan tidak terbatas kepada metode tradisional serta konservatif sahaja. Perkembangan teknologi hari ini seharusnya dimanfaatkan secara maksimum untuk menyokong Dasar Luar Malaysia dalam mempromosikan warisan budaya dan sejarah pertiwi secara meluas ke dunia luar. Kita tidak boleh sekali-kali memperkecilkan 'kuasa penularan’ dalam konteks semasa kerana ia juga mempunyai sudut positifnya yang tersendiri. Dengan lebih ramai pengguna media sosial memberikan pelbagai ulasan dan sokongan mereka untuk filem tempatan kita, mereka juga boleh menjangkau komuniti serantau dan antarabangsa yang lain untuk mengenali sejarah Malaysia.

Sejarah bukan sahaja untuk diingati tetapi juga untuk dihayati dan dipelajari. Tanpa sejarah, sesebuah negara akan hilang landasan dalam mencari identiti dan hala tujunya. Negara-negara seperti Korea Selatan, Turkiye dan Indonesia merupakan antara contoh negara yang menyalurkan rasa cinta dan kebanggaan terhadap sejarah mereka melalui filem adaptasi sejarah yang telah dihasilkan setakat ini. Sebagai contohnya, Korea Selatan mempunyai berpuluh-puluh, bahkan mungkin ratusan filem dan drama sekitar zaman dinasti Goryeo, Joseon dan Perang Korea.

Begitu juga Turkiye telah berjaya mempromosikan sejarah Islam ke mata dunia melalui drama bersiri Payitaht: Abdulhamid yang diadaptasi dari zaman pemerintahan Khalifah Uthmaniah yang pernah tular di media sosial pada suatu masa.

Dalam pada itu, Indonesia pula lebih berminat untuk menceritakan kepada dunia kisah hidup tokoh nasionalisnya seperti filem Sultan Agung, Kartini, Soekarno, dan Habibie dan Ainun. Bukti-bukti ini telah menyumbang kepada bagaimana masyarakat antarabangsa memandang mereka sebagai negara yang mempunyai identiti kebangsaan dan budaya yang kukuh.

Diplomasi budaya sebagai kuasa lunak (soft power)

Menurut portal akhbar US News, Malaysia kini berada di kedudukan ke-36 dalam pengaruh budaya sekaligus menjadi negara ketiga terbaik di rantau Asia Tenggara selepas Singapura dan Thailand. Portal Brand Finance pula meletakkan Malaysia di tangga ke-39 dalam Indeks Kuasa Lunak Global bagi 2022. Kedua-dua data tersebut menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai kedudukan yang membanggakan dan berpotensi sebagai sebuah kuasa lunak di peringkat ASEAN dan antarabangsa. Aktiviti mempromosikan budaya dan sejarah sesebuah negara melalui filem dan muzik bukanlah semata-mata untuk tujuan keuntungan, hiburan dan populariti semata-mata. Sebaliknya hal ini dilihat berpotensi untuk menjadikan sejarah dan budaya sebagai satu daripada alat dalam arena diplomasi antarabangsa.

Saintis politik dari Amerika Syarikat, Joseph S Nye pernah menegaskan bahawa persoalan 'cerita siapa yang menang' adalah lebih penting daripada 'tentera siapa yang menang' dalam dinamik politik semasa. Sehubungan itu, diplomasi budaya membolehkan ‘kuasa lunak’ diwujudkan yang memberi kelebihan kepada sesebuah negara menggunakan pengaruhnya di peringkat serantau dan antarabangsa melalui pendekatan berunding berbanding ketenteraan. Selain itu, diplomasi budaya juga mampu meningkatkan hubungan dua hala antara negara melalui pelbagai cara.

Agenda diplomasi budaya harus bermula dari tanah air sendiri. Aspirasi untuk menjadikan budaya sebagai alat diplomasi dan kuasa lunak memerlukan sokongan dan kerjasama erat antara aktor diplomasi budaya dalam sesebuah negara, termasuk Kementerian Luar Negeri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Akademi Kebangsaan Kesenian, Budaya dan Warisan (ASWARA), institusi pengajian tinggi, akademi seni swasta dan artis secara amnya. Selain industri perfilemen, industri-industri lain juga berpotensi merancakkan agenda Diplomasi Budaya Malaysia.

Dari semasa ke semasa, Dasar Luar Malaysia dan Dasar Kebudayaan Negara perlu digerakkan bersama dalam memastikan usaha mempromosi budaya Malaysia dapat menjangkau komuniti antarabangsa yang lebih meluas.

Selain itu, sokongan material seperti peruntukan juga wajar diberikan kepada golongan anak seni dalam menghasilkan lebih banyak filem epik sejarah yang bermutu. Sementara itu, syarat dan peratus pengagihan keuntungan antara pihak produksi, kerajaan dan pawagam juga wajar disemak, diperhalusi dan diperbaiki bagi memberikan motivasi kepada produksi untuk beberkarya.

Kesimpulannya, setiap pihak dan individu mempunyai peranan penting yang berbeza untuk dimainkan sebagai duta budaya negara dalam mengukuhkan kuasa identiti Malaysia di mata dunia.

--BERNAMA

Mohamad Ika Danial Abdullah merupakan Penolong Pengarah di Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Kementerian Luar Negeri, Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)