TINTA MINDA

Bahaya ‘Senyap’ Di Atas Jalan Raya

04/12/2025 04:32 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Che Shobry Shahid, Prof Madya Ts Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff

Kemalangan jalan raya terus menjadi salah satu isu keselamatan awam yang paling merunsingkan masyarakat dunia.

Walaupun negara-negara maju dan membangun telah melaburkan pelbagai usaha, tenaga dan kos untuk meningkatkan keselamatan trafik, angka korban dan kecederaan masih berada pada tahap yang membimbangkan.

Laporan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menujukkkan bahawa lebih daripada 1.25 juta orang terbunuh dan sekitar 50 juta individu mengalami kecederaan setiap tahun akibat kemalangan jalan raya.

Statistik yang menggerunkan ini bukan sekadar angka, tetapi realiti yang menuntut pemerhatian serius terhadap pelbagai faktor yang menyumbang kepada risiko kemalangan.

Meskipun faktor manusia seperti pemanduan melebihi had laju, kecuaian dan pelanggaran peraturan trafik sering menjadi tumpuan utama, aspek fizikal seperti keadaan turapan, geometri jalan dan persekitaran sekeliling juga sebenarnya memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya terhadap keselamatan pengguna jalan raya.

Pelbagai program penyelenggaraan, naik taraf jalan raya dan audit keselamatan telah dilakukan setiap tahun di negara kita.

Program-program seperti ini sebenarnya melibatkan peruntukan kewangan yang amat besar.

Kualiti Rekod Kemalangan

Penurunan kadar kemalangan tidak selalu dapat dikaitkan secara langsung dengan usaha-usaha tersebut kerana tingkah laku pengguna, kepelbagaian keadaan trafik dan cuaca turut mempengaruhi tahap keselamatan pengguna.

Selain itu, keberkesanan analisis keselamatan jalan raya sangat bergantung kepada kualiti rekod kemalangan.

Malangnya, kajian menunjukkan bahawa rekod ini kadangkala tidak lengkap atau tidak cukup tepat untuk menggambarkan keadaan sebenar, menyebabkan hubungan antara keadaan turapan jalan raya dan insiden kemalangan sukar ditentukan secara menyeluruh.

Salah satu aspek penting dalam memahami kaitan antara keadaan jalan dan keselamatan ialah hubungan antara tayar dan turapan.

Permukaan sentuhan kecil ini menentukan sesuatu yang lebih besar iaitu keupayaan kenderaan untuk membrek, memecut, mengemudi dan mengekalkan kestabilan.

Geseran yang terhasil daripada hubungan tayar dan permukaan jalan sangat kritikal dalam memastikan keselamatan pemanduan.

Namun, geseran ini tidak kekal kerana ia berubah mengikut kelajuan, jenis tayar, keadaan cuaca dan ciri fizikal turapan.

Rintangan Gelinciran

Permukaan jalan yang kelihatan licin dan selamat sebenarnya mungkin berada pada tahap rintangan gelinciran yang rendah, terutamanya pada hari panas apabila lapisan permukaan menjadi lebih halus.

Kajian turut melaporkan bahawa penurunan kecil sahaja dalam rintangan gelinciran boleh meningkatkan risiko kemalangan dengan ketara, khususnya pada permukaan jalan yang basah.

Seiring berlalunya masa dan peningkatan beban lalu lintas, permukaan turapan mengalami proses penggilapan yang mengurangkan rintangan gelinciran secara beransur-ansur.

Akhirnya, turapan ini akan mencapai satu tahap keseimbangan yang dipengaruhi oleh kekerapan penggunaan oleh kenderaan berat serta jenis agregat (batuan) yang digunakan dalam pembinaannya.

Turapan yang terlalu licin boleh mendorong pemandu memandu lebih laju, manakala turapan yang terlalu kasar atau rosak menyebabkan kenderaan sukar dikawal dan memerlukan perhatian lebih tinggi daripada pemandu.

Kedua-dua keadaan ini menyumbang kepada risiko kemalangan. Turapan yang rosak, berlubang atau tidak rata bukan sahaja meningkatkan risiko kehilangan kawalan, tetapi turut mengurangkan keberkesanan membrek dan meningkatkan jarak berhenti, terutamanya di kawasan yang berbukit atau berselekoh.

Indeks IRI

Indeks Kekasaran Antarabangsa (IRI) telah digunakan secara meluas untuk mengukur tahap kekasaran permukaan jalan.

Jalan yang memiliki bacaan IRI yang tinggi bukan sahaja memberi pengalaman pemanduan yang tidak selesa, malah mengundang bahaya kerana kenderaan lebih sukar dikawal pada kelajuan tinggi.

Kajian menunjukkan bahawa peningkatan IRI walaupun sedikit boleh membawa kepada peningkatan risiko kemalangan, terutamanya pada jalan lurus panjang yang sering mendorong pemanduan kelajuan tinggi.

Kekasaran berlebihan juga menyebabkan keletihan pemandu berlaku lebih cepat akibat getaran berterusan, sekali gus meningkatkan risiko kecuaian semasa memandu.

Dalam usaha memastikan keselamatan jalan raya berada pada tahap optimum, sistem penarafan keadaan turapan seperti Indeks Keadaan Turapan (PCI) memainkan peranan penting.

PCI menilai turapan berdasarkan jenis kerosakan, tahap keterukan dan taburan kerosakan, lalu memberikan gambaran yang objektif tentang kesihatan sesuatu rangkaian jalan raya.

Dengan menggunakan indeks ini, pihak berkuasa dapat merancang penyelenggaraan secara berstrategi, bukan hanya bertindak setelah kerosakan menjadi serius.

Penilaian Turapan

Negara-negara maju telah menetapkan piawaian minimum PCI bagi lebuh raya mereka untuk memastikan keselamatan sentiasa terjamin. Pendekatan seperti ini juga semakin mendapat perhatian di negara kita.

Apa yang lebih penting adalah penilaian turapan perlu dilakukan secara proaktif.

Tindakan penyelenggaraan yang hanya bermula apabila kerosakan menjadi teruk bukanlah kaedah terbaik untuk menjamin keselamatan.

Kajian lepas telah menunjukkan bahawa penyelenggaraan jalan yang dirancang lebih awal bukan sahaja membantu mengurangkan kadar kemalangan, malah menjimatkan kos dalam jangka panjang.

Turapan yang berada dalam keadaan baik mengurangkan risiko tergelincir, memendekkan jarak membrek dan memberikan kawalan lebih baik kepada pemandu.

Namun, keadaaan turapan yang terlalu baik juga perlu ditangani dengan berhati-hati kerana fenomena yang dikenali sebagai “smooth pavement paradox” menunjukkan bahawa turapan yang sempurna dan licin mendorong pemanduan lebih laju, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan berimpak tinggi.

Faktor Cuaca

Faktor cuaca turut memainkan peranan penting. Ramai mungkin tidak menyedari bahawa kebanyakan kemalangan di jalan basah berlaku dalam tempoh setengah jam pertama selepas hujan mula turun.

Ketika itu, minyak, debu dan kotoran di permukaan jalan bercampur dengan air akan menghasilkan lapisan permukaan jalan yang licin dan berbahaya.

Negara seperti New Zealand contohnya, menggunakan agregat jenis anti-lelasan dalam pembinaan jalan berkelajuan tinggi untuk memastikan rintangan gelinciran kekal stabil walaupun selepas melalui perubahan kitaran cuaca dan beban trafik yang berat.

Melihat kepada keseluruhan aspek ini, jelas bahawa penarafan keadaan turapan bukan sekadar proses teknikal atau pentadbiran.

Ia merupakan asas kepada strategi besar dalam menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

Penilaian yang teliti dan menyeluruh bukan sahaja membantu meramalkan kerosakan turapan tetapi juga membantu pihak berkuasa mengenal pasti lokasi berisiko tinggi dan mengambil tindakan penambahbaikan dengan lebih proaktif.

Keadaan turapan yang baik bukan sahaja memberi perjalanan lebih selesa tetapi yang lebih penting juga, ia menyelamatkan nyawa.

Keselamatan Jalan Raya

Keselamatan jalan raya tidak boleh dipandang dari satu sudut sahaja. Ia merupakan gabungan kompleks antara faktor manusia, kenderaan, keadaan cuaca, reka bentuk jalan dan yang tidak kurang pentingnya, keadaan permukaan turapan itu sendiri.

Menilai dan meramal keadaan turapan secara sistematik adalah satu keperluan penting dalam memastikan keselamatan rangkaian jalan raya negara berada pada tahap optimum.

Turapan yang berada dalam keadaan baik, diselenggara secara berkala dan dinilai secara proaktif mampu mengurangkan risiko kemalangan, menjimatkan kos ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

-- BERNAMA

Che Shobry Shahid ialah Pelajar Doktor Falsafah dan Prof Madya Ts Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff ialah Pensyarah Kanan, di Universiti Kebangsaan Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)