TINTA MINDA

MAT KILAU: KEBANGKITAN PAHLAWAN - MEMBAKAR SEMANGAT PATRIOTISME

01/07/2022 09:07 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof Emeritus Dato Dr Wan Hashim Wan Teh

Pada 23 Jun 2022, buat pertama kalinya filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ ditayangkan kepada khalayak terpilih, termasuk wartawan dengan harapan mendapat publisiti meluas untuk mengajak penonton kembali ke pawagam. Apatah lagi, penerbitnya iaitu Studio Kembara Sdn Bhd yang berpusat di Bandar Baru Bangi merupakan pendatang baharu dalam dunia perfileman tanah air.

Lebih setahun lalu, ketika bersembang-sembang sambil menghirup secawan teh tarik dan menikmati roti bakar di sebuah kafe di Bandar Baru Bangi bersama seorang kenalan penulis iaitu Zainal Johan dari Melaka, beliau ada menyatakan turut terlibat secara tidak langsung dengan pengolahan semula skrip ‘Mat Kilau:Kebangkitan Pahlawan’. Ketika itu, saya tertanya-tanya, apakah alasan penerbit memilih tokoh Mat Kilau yang merupakan seorang daripada puluhan pejuang tanah air menentang penjajah Inggeris bermula awal abad ke-19 sehingga kemuncaknya pada Mac 1946, iaitu kebangkitan besar-besaran orang Melayu menentang Malayan Union.

Pertanyaan kedua, adakah filem biografik epik sejarah seperti ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ ini mampu mengajak penonton ke pawagam? Bukankah trend penonton sekarang lebih meminati cerita jenaka seperti ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’, ‘Man Laksa’ atau ‘Zombi Kampung Pisang’, atau filem-filem lasak saperti ‘Evolusi KL Drift’ dan filem seram Islamik saperti ‘Munafik’, ‘Dukun’, dan sebagainya? Saya menganggap ia suatu keberanian bagi dua bersaudara Shaharuddin Dali dan abangnya Abdul Rahman Dali. Paling mengejutkan, mereka berasal dari Perak dan bukannya Pahang iaitu negeri kelahiran tokoh Melayu yang diangkat dalam filem ini.

Kepentingan ROI, keutamaan CSR

Jika saya sebagai penerbit sebuah filem, tentulah perkiraan dan harapan utama ialah untuk meraih keuntungan atau return of investment (ROI), atau sekurang-kurangnya sekadar pulangan modal minima supaya boleh terus kekal menghasilkan filem. Dalam masa yang sama dapat menyemarakkan niat atau tujuan mulia untuk terus menghasilkan filem-filem sejarah dan patriotik yang ketika ini berada di pinggiran.

Dengan usaha sedemikian, genre filem seperti ini dapat kembali ke arus perdana, berupaya memupuk semangat patriotisme dan cintakan tanah air dalam kalangan generasi muda. Selain itu, ia juga dapat merangsang kembali industri filem tanah air yang dilihat seperti berada dalam keadaan ‘hidup segan, mati tak mahu’.

Pelaburan sebanyak RM8 juta bukanlah suatu jumlah yang mudah untuk memperoleh pulangan. Namun, saya percaya pastinya ada penerbit yang mendapat keuntungan daripada perniagaan lain kemudian membuat pelaburan dalam pembikinan filem patriotik seperti ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka untuk disumbangkan kepada negara dan bangsa.

Filem luar biasa, bermutu tinggi

Setelah terpaku pada kerusi empuk di dewan tayangan Golden Screen Cinema (GSC) Starling Mall di Petaling Jaya selama hampir dua jam, saya terpaksa mengakui bahawa filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ terbitan sulung Studio Kembara dengan kerjasama Skop Productions Sdn Bhd, ini luar biasa baiknya dan bermutu tinggi. Ia sebuah filem biografik epik sejarah yang berjaya melepaskan diri jauh daripada format filem-filem Melayu lama seperti di Studio Jalan Ampas, Cathay Keris, dan Studio Merdeka.

Pastinya, ia disebabkan oleh gabungan beberapa faktor seperti cerita asal, skrip dengan lakon layarnya yang mantap. Lebih penting daripada itu adalah olahan cerita asal serta garapan pengarahan yang kemas dan bijak oleh pengarah muda Syamsul Yusof yang terkenal dengan penghasilan filem-filem lasak menggunakan teknik penyuntingan 'fast editing'.

Saya dimaklumkan bahawa filem ini telah melalui olahan semula sebanyak dua kali, sebelum terhasilnya versi ketiga untuk tayangan kepada umum. Selama hampir dua jam menonton membuatkan kita sentiasa berada dalam keadaan yang cemas, serta tidak dapat meneka apa akan berlaku seterusnya.

Gandingan pelakon berbakat

Tidak kurang pentingnya adalah pemilihan pelakon untuk watak utama iaitu Dato Mohamed Hadi Putera Halim atau nama pentasnya Ady Putra sebagai ‘Mat Kilau’ yang berjaya menjiwai watak pahlawan Melayu itu dengan cemerlang. Gandingan pelakon-pelakon veteran handalan seperti Dato Abdul Rahim Mohd Razali (Rahim Razali) sebagai Mufti Botok Haji Uthman, Wan Hanafi Su (Tok Gajah), Dato Jalaluddin Hassan (Dato Haji Muhammad), Shaharuddin Thamby (Dato Bahaman) dan Zakaria Ahmad (A.Galak) sebagai Pak Deris, menambah seri kepada filem yang telah menjalani proses penggambaran pada 1 April 2018.

Selain itu, barisan pelakon hebat seperti NurKusyairy Zakuan Osman (Beto Kusyairy) sebagai Wahid, Abdul Fattah Mohd Amin (Fattah Amin) sebagai Awang, Johan Ariff As’ari (Johan As’ari) sebagai Yassin, Khairulizam Abdul Rahman (Khir Rahman) sebagai Usop, Shahili Abdan (Namron) sebagai Haji Sulong Semantan, Ellie Suriaty Omar (Ellie Suriati) sebagai Salmah ibu kepada Yassin dan penampilan hebat pelakon Indonesia yang juga seorang artis seni bela diri Yayan Ruhian sebagai Toga. Beliau memegang watak antagonis iaitu pro penjajah Inggeris.

Memartabat seni silat Melayu

Satu lagi keistimewaan filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ ialah kejayaan menampilkan kehebatan dan keindahan seni silat Melayu dalam situasi menentang penjajahan Inggeris. Pada masa lalu ia amat jarang ditampilkan sedemikian. Akhirnya, sesuatu yang amat sukar dalam membuat filem sejarah adalah props, hiasan, dan busana. Namun ia dapat ditangani dengan cermat dan teliti oleh pengarah seni dan pasukannya.

Setakat 28 Jun 2022, filem ini telah berjaya membuat kutipan sebanyak RM16 juta selepas lima hari tayangan di pawagan seluruh Malaysia. Filem yang tertangguh tayangannya kerana COVID-19 mula mempamerkan poster rasminya pada 13 Mei lepas dan treler rasminya telah dipertontonkan pada 16 Jun lepas.

Semoga kejayaan penerbitan filem perjuangan dan patriotik saperti ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ ini akan merangsang kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) memberi keutamaan yang berbeza daripada filem-filem genre romantik, komedi dan seram.

Tinggi harapan saya agar filem genre biografik epik sejarah ini diterima baik oleh masyarakat Malaysia dan berjaya melebarkan sayapnya hingga ke peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA

Prof Emeritus Dato Dr Wan Hashim Wan Teh merupakan mantan Timbalan Pengerusi Finas, Pengerusi Balai Seni Lukis Negara, serta beberapa kali dilantik sebagapi juri Malam Anugerah Seri Angkasa (RTM) dan Festival Filem Malaysia antara 1980-90an.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)