TINTA MINDA

VAKSIN: PERANAN MAJIKAN DAN PEKERJA PASTIKAN TEMPAT KERJA SELAMAT

15/10/2021 08:45 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani dan Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 30 September 2021 telah mengeluarkan kenyataan yang mewajibkan semua pegawai perkhidmatan awam persekutuan untuk mengambil vaksin. Ramai yang menyokong tindakan ini, namun, ada juga dalam kalangan anggota masyarakat mempersoalkan tindakan yang dilihat sebagai ekstrim dan tidak popular bagi sesebuah kerajaan.

Rantaian jangkitan boleh diputuskan sekiranya semua individu mendapatkan vaksin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mencegah jangkitan COVID-19. Pengurangan kadar jangkitan juga berupaya mengurangkan potensi virus terus bermutasi dan menghasilkan varian baharu yang lebih ganas.

Individu yang tidak mengambil vaksin bukan saja berisiko mendapat jangkitan yang teruk, malah mereka juga boleh menyebarkannya kepada orang lain kerana tiada antibodi dalam badan dan sel imun yang dilatih untuk melawan virus COVID-19. Virus dapat membiak dengan banyak dalam kalangan mereka yang tidak mendapat vaksin dan seterusnya mencemarkan udara dan persekitaran.

Keadaan ini menyebabkan rakan-rakan sekerja yang tidak boleh divaksin kerana masalah kesihatan berisiko mendapat jangkitan serta komplikasi yang teruk. Lebih bahaya sekiranya skop pekerjaan individu tersebut melibatkan interaksi bersemuka dengan orang awam.

Pekerja yang tidak mengambil vaksin juga berisiko untuk dipulaukan atau disisihkan oleh rakan-rakan sekerja. Mereka dianggap sebagai satu ancaman dan boleh memudaratkan orang lain. Keadaan ini sudah tentu mengganggu emosi pekerja dan menjejaskan prestasi kerja.

Justifikasi mewajibkan pengambilan vaksin

Mewajibkan vaksinasi adalah antara kaedah bagi memastikan tempat kerja selamat daripada penyebaran wabak. Ketetapan ini selari dengan harapan kerajaan ke arah pembukaan penuh sektor awam sesuai dengan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN). Ia bertujuan memberikan keyakinan dan jaminan serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Daripada data sedia ada, tempat kerja menyumbang kepada banyak kes COVID-19 di negara kita. Adalah munasabah sekiranya majikan termasuk JPA mengenakan syarat hanya individu lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke premis kerajaan dan menghalang mereka yang belum menerima vaksin daripada memasuki premis. Ini adalah langkah-langkah yang diambil bagi membendung penyebaran wabak COVID-19 di tempat kerja dan seterusnya menjangkiti komuniti.

Tindakan kakitangan awam dalam perkhidmatan persekutuan yang enggan mengambil vaksin juga boleh memberikan kesan negatif kepada perkhidmatan dan juga imej sebagai penjawat awam. Memetik Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Peraturan 3A; adalah menjadi “Kewajipan bagi tiap individu mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan dan mana-mana pegawai yang melanggarnya boleh dikenakan tindakan tatatertib.” Memandangkan tempoh yang diberikan kepada pegawai-pegawai untuk mendapat vaksin adalah cukup, mewajibkan kakitangan yang layak serta cukup syarat untuk mengambil vaksin adalah bertepatan pada masanya.

Vaksin dalam kalangan pekerja swasta

Seperti sektor perkhidmatan awam, majikan di sektor swasta juga bertanggungjawab untuk memastikan persekitaran tempat kerja adalah selamat. Mewajipkan pekerja dan orang awam yang ingin masuk ke premis untuk berurusan telah lengkap divaksinasi. Cara ini adalah untuk menjamin keselamatan tempat kerja serta memastikan kesihatan semua yang terlibat dalam menjalankan tugas serta mendapatkan perkhidmatan.

Sementara itu, bagi pekerja yang enggan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) kerana menyebabkan suasana tempat kerja yang tidak selamat. Akta ini bertujuan memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja terjamin daripada sebarang risiko keselamatan dan kesihatan akibat aktiviti kerja yang dijalankan.

Menurut Seksyen 15 dan 16 akta yang sama, majikan mempunyai kuasa membuat dasar keselamatan dan kesihatan bagi memastikan keselamatan di tempat kerja. Selain itu, mengikut seksyen itu majikan juga mempunyai hak untuk melindungi pekerja yang sudah menerima vaksin dengan memastikan tempat kerja selamat untuk semua. Akta itu juga memperuntukkan kuasa seorang pegawai keselamatan dan kesihatan yang dilantik untuk memastikan keselamatan di tempat kerja.

Sesi kaunseling tingkat kesedaran pengambilan vaksin

Bagi menjayakan program imunisasi kebangsaan dan pada masa sama memastikan tempat kerja serta persekitarannya selamat, kami mencadangkan sesi kaunseling diberikan kepada individu yang belum mengambil vaksin. Semua panel kaunseling yang dianggotai oleh doktor perubatan, pakar agama dan juga pentadbiran institusi atau organisasi boleh memainkan peranan untuk mengenalpasti punca seterusnya memberikan penjelasan kepada mereka. Kaunseling atau perbincangan hati ke hati sebegini mampu merungkai persoalan atau kemusykilan yang menghalang seseorang daripada mengambil vaksin.

Kesan mewajibkan pengambilan vaksin

Antara kesan daripada ketetapan JPA bagi mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan pegawai perkhidmatan persekutuan adalah untuk mengelak penularan di tempat kerja. Selain itu, ketidakhadiran pekerja akibat jangkitan COVID-19 dan arahan kuarantin dapat dikurangkan dengan ketetapan baharu ini. Arahan ini juga dijangka dapat meningkat produktiviti dan kualiti perkhidmatan seterusnya meningkatkan perhubungan antara majikan dengan sektor-sektor lain yang berkepentingan. Adalah menjadi kewajipan bagi kita semua untuk sentiasa meningkatkan imej organisasi kita di samping mendukung agenda kebangsaan dalam melawan pandemik COVID-19.

--BERNAMA

Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed merupakan Pakar Mikrobiologi Klinikal di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)