TINTA MINDA

Kesopanan dan Kesusilaan Nadi Keharmonian Negara

02/08/2021 08:49 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Nizam Sahad dan Syaqiq al-Azdi

Kesopanan dan kesusilaan adalah Rukun Negara yang kelima. Bagi generasi yang lupa, elok kita mengingatkan kembali sejarah kepada Rukun Negara ini.

Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bersempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong keempat iaitu Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin.

Rukun Negara diperkenalkan rentetan asas perpaduan kaum yang dilihat rapuh dan goyah ketika berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 yang menyaksikan pergaduhan dan rusuhan kaum khususnya di Kuala Lumpur.

Antara sebab berlakunya peristiwa tersebut sebagaimana yang terpahat dalam sejarah ialah ‘perang mulut’ dan laungan-laungan yang membawa sentimen kaum dan agama yang telah mencetuskan ketegangan. Kita telah belajar dari sejarah hitam tersebut.

Kesopanan dan Kesusilaan

Namun demikian, peristiwa ini mungkin berulang jika segenap lapisan rakyat tidak menghayati prinsip kesopanan dan kesusilaan yang digariskan. Semua rakyat Malaysia, tidak kiralah yang memimpin dan yang dipimpin wajib mendokong prinsip ini bagi tujuan keamanan dan keharmonian negara.

Lebih-lebih lagi para pemimpin. Mereka seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik dalam bertutur kata dan berperi laku. Mereka hendaklah berhati-hati mengeluarkan perkataan secara lisan mahupun tulisan supaya tidak menganggu sentimen dan perasaan mana-mana kaum di Malaysia.

Adalah sesuatu yang merbahaya bagi negara untuk membiarkan pemimpin atau sesiapa sahaja saling mencela, saling menghina kerana akhirnya akan tercetus adalah kebencian dan api permusuhan yang boleh mencetuskan ketegangan.

Oleh sebab itu, prinsip kesopanan dan kesusilaan hendaklah diutamakan dan wajib dipertahankan. Sidang Parlimen juga diharapkan tidak menimbulkan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip kesopanan dan kesusilaan ini.

Tambahan pula, pemimpin bukan sahaja dipilih kerana pencapaian dan pengalaman, tetapi kerana keperibadian mereka. Pemimpin yang berperilaku sopan dan bertatasusila mampu bertindak mengikut situasi dan berupaya mengawal diri daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan.

Perilaku pemimpin juga memberi gambaran bagaimana imej sesebuah negara. Masyarakat luar akan melihat pemimpin sebagai wakil rakyat dan memandang tinggi pemimpin negara dalam menunjukkan nama baik negara di persada dunia.

Pendidikan agama dan moral

Negara Malaysia yang kaya dengan adat, budaya, nilai dan moral, seharusnya mampu melahirkan generasi yang berjiwa besar dalam berinteraksi sesama manusia. Aspek pendidikan agama dan moral yang telah pun diajar semenjak di bangku sekolah hinggalah ke alam universiti merupakan perkara yang sangat berguna untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Antara konsep yang dipelajari ialah konsep kepimpinan melalui teladan. Asas konsep ini meletakkan pemimpin sebagai individu yang bertanggungjawab mempamerkan ciri kepimpinan dan integriti yang diperakui rakyat. Pemimpin yang sopan dan memiliki tatasusila diharapkan dapat membina negara ke arah kemajuan. Malah, etika kepimpinan merupakan suatu kompas, pendorong pemimpin dalam membuat keputusan berjiwa rakyat.

Selain itu, kesopanan dalam memberikan pendapat dan menyuarakan idea serta gagasan boleh memberi keselesaan kepada para pemimpin untuk menilai suatu gagasan dengan cara yang positif. Kritikan yang membina boleh diguna pakai untuk penambah baikan sesuatu idea yang dibawa oleh pemimpin.

Kesopanan ini membolehkan suara rakyat didengari dan disampaikan pada peringkat Parlimen seterusnya dinilai mengikut lunas undang-undang. Sudah tentu ia memberi manfaat besar dalam membantu kebajikan pelbagai lapisan masyarakat.

Namun, ketiadaan nilai kesopanan dalam komunikasi boleh menyebabkan konflik antara pemimpin dan juga rakyat. Hal ini kerana, masing-masing melihat dan berpegang dengan sudut pandang dan cara penyelesaian berbeza ketika menyelesaikan sesuatu isu.

Kemajuan teknologi

Kemajuan teknologi misalnya, boleh membuka ruang sempadan interaksi antara masyarakat tanpa batasan. Peluang ini boleh digunakan untuk memupuk kesedaran akan kepentingan menggunakan perkataan yang sopan ketika berkomunikasi.

Platform media sosial boleh dijadikan penghubung antara pemimpin dan rakyat terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Penggunaan gaya bahasa dan pemilihan kata perlulah dipertimbangkan supaya tiada yang berkecil hati dengan kenyataan pemimpin.

Di peringkat rakyat atau netizen pula, masing-masing harus memainkan peranan bagi mempraktikkan nilai kesopanan dan kesusilaan ini. Masyarakat harus sedar akan kewujudan undang-undang bagi mengawal permusuhan sesama rakyat seperti Akta Hasutan 1948, yang menjadikan ucapan mempunyai kecenderungan menghasut sebagai suatu jenayah.

Pengamalan nilai kesopanan ini merupakan suatu ukuran kemajuan dan ketamadunan negara. Hal ini bertepatan dengan konsep tamadun oleh Syed Naquib Al-Attas, iaitu keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat.

Konsep tamadun ini berbeza dengan konsep tamadun Barat yang hanya menekankan aspek kemodenan fizikal, infrastruktur dan ekonomi sebagai kayu ukur ketamadunan masyarakat. Ketiadaan nilai kesopanan membuatkan rakyat hilang etika dan integriti seterusnya membentuk masyarakat yang tidak lagi peka akan kesejahteraan awam.

Kesimpulannya, nilai kesopanan dan kesusilaan merupakan asas kepada pembinaan negara yang harmoni serta masyarakat yang sejahtera. Nilai ini perlulah dipupuk dan diamalkan bagi menjadikan Malaysia negara maju mengikut acuan nilai dan budaya setempat. Ia sewajibnya bermula dari pemimpin.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Mohd Nizam Sahad dan Syaqiq al-Azdi dari Universiti Sains Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)