PENA WANITA

PRINSIP ALARA DALAM PERLINDUNGAN SINARAN

19/04/2021 08:55 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Siti Amira Othman

Melaksanakan Prinsip ALARA (As Low As Reasonably Achievable) adalah penting ketika sedang melakukan aktiviti melibatkan bahan beradioaktif. IAEA (International Atomic Energy Agency) mendefinisikan ALARA sebagai prinsip yang mendasari pengoptimuman perlindungan radiasi yang mana pendedahan radiasi harus dikekalkan pada paras serendah munasabah dicapai dengan mengambil kira faktor-faktor seperti ekonomi dan sosial.

Sinaran Radioaktif

Umumnya, bahan radioaktif memancarkan sinaran disebabkan oleh nukleus atom yang tidak stabil melalui proses pereputan. Jenis sinaran radioaktif termasuklah sinar alfa (α), sinar beta (β) dan sinar gama (γ). Setiap sinaran radioaktif mempunyai ciri-ciri yang tersendiri.

Sinar alfa terdiri daripada dua proton dan dua neutron dan dikenali sebagai helium (He). Sinar alfa bercas positif, sinar beta bercas negatif dan sinar gama bercas neutral. Manakala dari segi kuasa penembusan, sinar gama mempunyai kuasa penembusan yang tinggi diikuti sinar beta dan sinar alfa.

Sinar gama diaplikasikan dalam proses pengubahsuaian bahan, industri makanan, bidang perubatan untuk rawatan barah dan banyak lagi. Sebagai contoh dalam industri makanan, penggunaan sinar mengion seperti sinar gama dapat meningkatkan keselamatan makanan dengan memanjangkan jangka hayat makanan selain mengurangkan atau menghalang pertumbuhan mikroorganisma.

Kesannya makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran sampai kepada pengguna dalam keadaan baik. Penyinaran makanan dilakukan dalam tempoh tertentu dengan dos yang dikawal tanpa menjejaskan kualiti dan nutrisi makanan itu sendiri. Prosedur ini dimulakan dengan menggerakkan produk makanan melalui laluan tali sawat ke arah bilik penyinaran.

Bilik penyinaran dilengkapi dengan perisai sinaran bagi mengurangkan dedahan ke persekitaran. Sumber sinaran akan diletakkan di ruang bawah tanah di dalam air apabila ia tidak digunakan. Operator akan mengawal keseluruhan proses daripada bilik kawalan sehinggalah proses tamat. Produk makanan akan dilabelkan dengan simbol Radura selepas ianya disinarkan.

Prinsip ALARA

Justeru dalam konteks ini, bagaimana prinsip ALARA digunakan? Pertama adalah penggunaan perisai. Perisai digunakan untuk menghalang sinaran mengion menghala secara terus kepada pengguna. Biasanya, perisai yang digunakan diperbuat daripada plumbum kerana mempunyai ketumpatan yang tinggi.

Apabila sinaran melanggar perisai akan berlaku sama ada sinaran dipantul, diserap atau diserakkan. Semakin tinggi tenaga sesuatu sinaran, semakin tebal perisai yang digunakan. Aplikasi perisai ini boleh dilihat di dalam bilik yang menempatkan bahan radioaktif atau alat yang menggunakan sumber radioaktif. Dinding bilik tersebut diperisaikan dengan plumbum mengikut spesifikasi yang diluluskan.

Kedua adalah jarak. Jarak di sini bermaksud jarak daripada sumber sinaran radioaktif. Semakin jauh jarak daripada sumber, semakin kurang dedahan yang diterima. Ini boleh dikaitkan dengan hukum kuasa dua songsang yang boleh dihuraikan dengan I/d2 yang mana I adalah keamatan dan d adalah jarak. Keamatan dos yang dipancarkan oleh sesuatu sinaran adalah berbeza-beza berdasarkan jarak yang dilalui.

Aplikasi ini dapat dilihat dalam mengukur keamatan sinaran dalam sesebuah bilik. Keamatan sinaran yang paling hampir dengan sumber adalah paling tinggi dari kawasan yang jauh daripada sumber sinaran. Ia juga boleh diukur dengan menggunakan meter tinjau bagi memantau tahap sinaran di dalam bilik yang mana terdapat sumber sinaran atau sumber sinaran lain.

Ketiga adalah masa. Semakin lama tempoh dedahan terhadap sumber bahan radioaktif, semakin tinggi dos yang diterima. Bagi faktor ini, pekerja yang terlibat dengan sinaran mengion boleh digilirkan tugasnya bagi mengurangkan kadar dedahan dos. Tempoh dedahan yang lama boleh memberikan kesan stokastik dan deterministik terhadap badan manusia.

Ketiga-tiga faktor ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam mengaplikasikan ALARA dalam perkara-perkara berkaitan sinaran mengion. Selain itu, sikap kerjasama dan bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kesihatan ketika mengendalikan sinaran mengion juga perlu dititikberatkan.

-- BERNAMA

Dr Siti Amira Othman merupakan pensyarah Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)