PENA WANITA
16/11/2020 09:53 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen

Oleh: Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen

Pada Jumaat lalu, kerajaan Malaysia melalui Menteri Kewangan Negara, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat. Belanjawan ini telah dirangka berdasarkan tiga matlamat utama iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelansungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi.

Di bawah matlamat kedua Belanjawan 2021, iaitu Kelangsungan Perniagaan, kerajaan memfokuskan bantuan bertujuan untuk memacu pelaburan, memperkukuh sektor tumpuan dan mudah akses perniagaan. Bantuan ini diyakini dapat memulihkan kelembapan dalam industri maritim yang tidak terkecuali berdepan cabaran ekoran daripada pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Perniagaan maratim dan rantaian bekalan

Cabaran seperti kelangsungan perniagaan disebabkan oleh masalah kewangan dan penamatan kontrak pekerja telah menyebabkan perniagaan maritim dan rantaian bekalan terganggu. Hal ini sekali gus menjejaskan pembangunan ekonomi negara kerana 90 peratus daripada keseluruhan aktiviti perdagangan negara adalah melalui pengangkutan laut. Skim Pembangunan Nasional bernilai RM1.4 bilion oleh Bank Pembangunan Malaysia yang diperkenalkan melalui Belanjawan 2021 dijangka mampu menyokong pelaksanaan pembangunan rantaian bekalan domestik.

Malaysia telah dinobatkan sebagai sebuah negara maritim berdasarkan kedudukannya yang strategik di laluan perdagangan dan pengangkutan antarabangsa. Industri maritim adalah nadi kepada pertumbuhan ekonomi negara. Skim Pembangunan Maritim dan Logistik yang akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023 dengan dana RM3.7 bilion dijangka dapat membangunkan pelabuhan dan infrastruktur maritim.

Kerajaan berperanan sebagai pemudah cara dalam menyediakan akses dana pelaburan termasuk menambah baik persekitaran perniagaan. Kemudahan ini bakal memanfaatkan syarikat perkapalan dan logistik yang sebelum ini mencatat pertumbuhan pada kadar yang perlahan. Ini sekali gus dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat.

Selain itu, had nilai jualan bagi aktiviti tambah nilai dan aktiviti tambahan yang dijalankan di Zon Perindustrian Bebas dan Gudang Pengilangan Berlesen dinaikkan daripada 10 peratus kepada 40 peratus daripada nilai jualan tahunan. Peningkatan had jualan ini dilihat sebagai peluang untuk membangunkan kembali sektor pergudangan untuk menjadi kompetitif dan relevan di peringkat nasional dan global.

Sumber manusia

Tengku Datuk Seri Zafrul juga mengumumkan pelanjutan kadar cukai pendapatan istimewa pada kadar rata 15 peratus untuk tempoh lima tahun. Pelanjutan ini bakal diberikan kepada individu bukan warganegara yang memegang jawatan utama bagi pelaburan baharu strategik oleh syarikat yang memindahkan operasi ke Malaysia. Usaha ini dilihat bakal menjadi daya tarikan pelabur asing bagi merancakkan kembali aktiviti perniagaan berasaskan maritim di Malaysia.

Selain unsur teknologi, kestabilan industri maritim adalah berkait rapat dengan pemerkasaan sumber manusia. Melalui Belanjawan 2021, sejumlah RM300 juta disediakan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi menyediakan pinjaman kepada pelatih program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), di institusi latihan kemahiran awam dan swasta.

TVET mengetengahkan gabungan pengetahuan serta kemahiran vokasional dan teknikal bersesuaian dengan keperluan industri pada masa akan datang. Tambahan, bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan belia dalam mengikuti program berteraskan TVET ini, kerajaan juga akan memperkenalkan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Plus dengan elaun bulanan peserta dinaikkan daripada RM625 kepada RM1,000.

SLDN adalah program latihan berorientasikan industri yang menggabungkan latihan di tempat kerja dan pembelajaran di institusi yang mensasarkan belia lepasan sekolah atau pekerja kurang mahir yang sedia ada. SLDN dilihat mampu melahirkan pekerja tempatan yang berkemahiran tinggi dan ini sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja mahir asing.

Kebolehpasaran graduan

Latihan dan pembangunan kerjaya amat penting dalam kebolehpasaran graduan dan juga peningkatan tahap kecekapan dan produktiviti terutamanya pekerja diperingkat pertengahan dan profesional. Akur dengan keperluan ini, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM150 juta bagi program KPT-PACE dengan graduan baharu ditawarkan baucar RM3,000 setiap orang untuk mengambil kursus sijil profesional.

Kerajaan juga mengagihkan dana sebanyak RM100 juta untuk program HRDF melalui latihan secara usahasama dengan majikan sektor swasta. Hal ini secara tidak langsung mencerminkan bahawa kerajaan memandang serius akan pembangunan modal insan holistik selaras dengan matlamat untuk menempatkan Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang berwibawa di mata dunia.

Dapat disimpulkan bahawa kerajaan telah mengambil langkah proaktif dalam memastikan kemampanan industri maritim melalui peruntukan yang diluluskan dalam Belanjawan 2021. Diharapkan agar penggiat industri maritim yang menerima manfaat daripada peruntukan ini dapat memainkan peranan yang lebih aktif dalam melonjakkan pembangunan industri maritim di Malaysia.

-- BERNAMA

Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan