TINTA MINDA

Bersediakah Sektor Minyak Dan Gas Hadapi 50 'Turnaround' Kritikal

26/02/2026 03:33 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Ts Dr Mohd Zubairy Shamsudin

Laporan Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) menerusi kerangka Industry Talent Framework baru-baru ini mengunjurkan satu gelombang penyenggaraan intensif yang bakal melanda landskap tenaga negara.

Menjelang tempoh kritikal antara tahun 2025 hingga 2027, dianggarkan sekitar 50 major turnarounds (TAR) dan penutupan loji yang dirancang bakal berlaku di seluruh negara.

Lonjakan aktiviti ini dijangka akan mencetuskan keperluan tenaga kerja yang tinggi, dengan anggaran seramai 25,000 pekerja mahir diperlukan semasa tempoh puncak bermula pertengahan 2026 sehingga suku pertama 2027.

Situasi ini melampaui statistik operasi lazim; ia merupakan satu ujian terhadap daya tahan ekosistem tenaga kerja negara memandangkan aktiviti TAR melibatkan implikasi kos yang besar, jendela masa yang kritikal, serta profil risiko keselamatan yang tinggi.

Sebarang kelewatan atau kegagalan teknikal dalam tempoh tersebut akan menjejaskan secara langsung produktiviti nasional.

Fasa kritikal ini bakal mencetuskan permintaan mendesak terhadap empat tunjang tenaga kerja teknikal utama iaitu Kimpalan, Perancahan (Scaffolding), Pembagasan dan Pengecatan (Blasting & Painting) serta Penyambungan Mekanikal (Mechanical Fitters).

Namun, di sebalik angka permintaan buruh ini, persoalan lebih besar yang perlu dijawab oleh pihak industri ialah tahap kesediaan sebenar modal insan kita.

Adakah kita sekadar mempunyai jumlah pekerja yang cukup tetapi kurang kompeten, atau kita benar-benar bersedia dengan tenaga kerja mahir yang mampu bekerja di bawah tekanan tinggi?

Kemahiran Lebih Daripada Teknikal

Menghadapi lonjakan aktiviti penyenggaraan ini menuntut lebih daripada sekadar kecekapan teknikal dan aset fizikal semata-mata.

Realitinya, pekerja teknikal masa kini bukan sahaja memerlukan kemahiran 'keras' untuk membaiki paip atau mengimpal besi.

Mereka juga menuntut penguasaan aspek 'lembut' demi memastikan kerja yang selamat, berkualiti dan mencapai objektif.

Integrasi ini menjadi semakin penting apabila kita melihat risiko kemalangan yang boleh berlaku akibat kesilapan komunikasi atau kegagalan membuat keputusan yang tepat di tapak kerja.

Untuk memahami dinamika ini dengan lebih mendalam, kita wajar merujuk kerangka yang dipelopori Rhona Flin, seorang pakar psikologi keselamatan industri.

Beliau mentakrifkan Kemahiran Bukan Teknikal atau Non-Technical Skills (NTS) sebagai gabungan elemen kognitif, sosial, dan peribadi yang melengkapkan kecekapan teknikal seseorang pekerja.

Dalam persekitaran berisiko tinggi seperti minyak dan gas, NTS merangkumi elemen penting seperti kesedaran situasi, pembuatan keputusan, dan komunikasi.

Ini bukan lagi sekadar kemahiran sampingan tetapi merupakan elemen kawalan yang paling kritikal.

Tanpa elemen ini, kemahiran teknikal yang tinggi boleh gagal apabila pekerja berhadapan dengan tekanan luar jangka atau situasi cemas yang tidak terkandung dalam manual prosedur.

Keperluan penerapan NTS menjadi semakin mendesak apabila kita menilai realiti kesiagaan teknikal negara secara jujur.

Walaupun institusi TVET seperti IKM, ILP dan Politeknik terus melahirkan graduan, masih wujud jurang ketara antara kurikulum akademik dengan teknologi sebenar di tapak loji petrokimia moden.

Pelatih sering kali didedahkan dengan peralatan asas yang mungkin tidak lagi relevan dengan piawaian industri terkini yang lebih kompleks.

Keselamatan Melangkaui Pematuhan

Merujuk kepada PETRONAS Activity Outlook 2025-2027, kerumitan aset kini menuntut kemahiran termaju seperti kimpalan aloi eksotik duplex dan super duplex yang jauh lebih sensitif berbanding keluli biasa.

Kimpalan bahan jenis ini memerlukan kawalan haba yang sangat presis dan teknik yang teliti. Risiko menjadi kritikal apabila tenaga kerja baharu memasuki industri dengan pengetahuan statik ke dalam persekitaran TAR yang dinamik.

Tanpa penguasaan NTS seperti 'kesedaran situasi' untuk mengakui kekurangan diri dan bertanya kepada penyelia, pekerja berisiko melakukan kesilapan besar semasa mengendalikan aset bernilai tinggi ini.

Seiring isu jurang teknikal, aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) turut menuntut perubahan drastik daripada pematuhan birokrasi kepada literasi risiko yang sebenar.

Statistik industri kerap menunjukkan pekerja baharu dengan tempoh khidmat kurang setahun mencatatkan kadar kemalangan tertinggi akibat kegagalan kognitif mengecam bahaya.

Kita perlu sedar bahawa pemilikan kad hijau CIDB atau pasport keselamatan OGSP hanyalah syarat minimum untuk memasuki tapak bina.

Ia tidak menjamin pekerja tersebut faham tentang risiko yang sedang mereka hadapi. Sebagai contoh, seorang penyambung mekanikal mungkin dibenarkan masuk ke loji.

Namun dia belum tentu memiliki kesedaran untuk mengesan tenaga tersimpan dalam sistem paip bertekanan tinggi atau risiko berada dalam laluan bahaya objek bergerak.

Begitu juga pekerja pembagasan dan pengecatan terdedah kepada bahan kimia meruap dan debu berbahaya.

Tanpa disiplin kesihatan pekerjaan dan pemahaman tentang kaedah kawalan risiko, mereka hanya bekerja berpandukan nasib semata-mata.

Situasi ini menjadi lebih rumit apabila ditinjau melalui aspek faktor manusia dan ergonomik. Pekerja perancah dan pengimpal sering terikat dengan postur janggal dan statik di ruang terkurung untuk tempoh yang lama.

Keadaan ini meningkatkan beban fizikal pada tubuh dan boleh menyebabkan kecederaan jangka panjang. Isu ini diburukkan lagi oleh faktor kelesuan mental semasa fasa TAR yang beroperasi 24 jam.

Syif panjang mencecah 12 jam mengakibatkan gangguan waktu tidur dan kelesuan mental terkumpul. Dalam keadaan lesu, kemampuan otak memproses maklumat akan merosot.

Ini meningkatkan risiko kesilapan berfikir terutamanya semasa mentafsir lukisan teknikal yang kompleks atau arahan kerja yang rumit.

Justeru, industri wajar beralih kepada pendekatan Safety-II dan Resilience Engineering.

Secara ringkasnya, Safety-II memberi tumpuan dari sekadar mengelakkan kecelakaan (apa yang salah) kepada memahami mengapa kerja seharian selalunya berjaya (apa yang betul).

Ia didukung oleh Resilience Engineering, iaitu keupayaan sistem untuk kekal stabil dan menyesuaikan fungsi operasi sebelum, semasa dan selepas berlaku gangguan.

Bakat Hibrid Penentu Kejayaan

Melalui perspektif ini, kita perlu mengiktiraf pekerja sebagai sumber penyelesaian yang mampu merapatkan jurang antara prosedur bertulis (Work-as-Imagined) dengan realiti sebenar di tapak (Work-as-Done), bukannya sekadar melihat merek.a sebagai punca masalah.

Dengan penguasaan NTS pekerja dibekalkan dengan keupayaan untuk melakukan penyesuaian selamat bagi mengatasi kekangan operasi yang dinamik, seperti kerosakan alat atau cuaca buruk yang tidak mampu diramal oleh prosedur statik.

Persediaan menghadapi 50 TAR menuntut pembentukan 'bakat hibrid' yang kompeten secara menyeluruh.

Kita memerlukan seorang pengimpal yang memiliki kesedaran situasi tinggi, seorang pembina perancah yang menguasai komunikasi jelas, serta seorang penyambung mekanikal yang cekap membuat keputusan di saat tekanan memuncak.

Gabungan kemahiran bukan teknikal (NTS) ini adalah teras sebenar Safety-II di mana pekerja diiktiraf sebagai aset yang menyelesaikan masalah apabila prosedur kerja gagal berfungsi seperti yang dirancang.

Hal ini kerana, walau sepesat mana arus teknologi berkembang, ia tetap digerakkan dan dicorakkan oleh manusia.

Sekiranya elemen insan ini gagal beradaptasi atau tidak mempunyai ruang untuk melakukan penambahbaikan, ketidakseimbangan sistemik pasti berlaku.

Akhirnya, jurang ini bukan sahaja mengundang risiko kemalangan, malah berpotensi mengakibatkan kerugian produktiviti dan impak operasi yang besar.

-- BERNAMA

Ts Dr Mohd Zubairy Shamsudin ialah Penolong Profesor Faktor Manusia dan Ergonomik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan Pahang.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)