TINTA MINDA
10/11/2020 12:31 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Suruhanjaya Tenaga

Industri minyak dan gas adalah salah satu industri yang paling progresif di dunia, di mana gas asli merupakan sumber tenaga tunggal yang terbesar dalam menjana pembangunan negara.

Penggunaan gas asli di Malaysia bermula di Sarawak dengan bermulanya pembekalan gas melalui talian paip secara domestik dan komersial pada awal tahun 1960-an. Proses ini diikuti di Semenanjung Malaysia pada tahun 1980-an, di mana kajian Pelan Induk Gas (Gas Master Plan atau GMP) telah dilaksanakan, yang telah menetap dan melakar rangka kerja bagi pembangunan industri gas asli untuk negara. Salah satu daripada cadangan utama dalam GMP ini adalah pelaksanaan projek untuk menempatkan grid talian paip penghantaran gas bagi Semenanjung Malaysia, yang dikenali sebagai projek Penggunaan Gas Semenanjung, atau Peninsular Gas Utilisation (PGU). Hari ini, rangkaian talian paip penghantaran gas PGU yang sepanjang 2,623 kilometer mampu mengendalikan gas bertekanan tinggi dan ianya bersambung dengan rangkaian pengagihan dan pembekalan talian paip Sistem Pengagihan Gas Asli, ataupun Natural Gas Distribution System (NGDS) sepanjang 2,465 kilometer. Secara kolektifnya, rangkaian ini menjamin kebolehcapaian bekalan gas asli kepada pengguna di seluruh Semenanjung Malaysia.

Semenjak beberapa dekad yang lalu, Malaysia telah menikmati pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan dan gas asli memainkan peranan utama dalam pembekalan sumber yang bersih dan terjamin bagi penghasilan tenaga elektrik negara. Ia secara tidak langsung memacu pertumbuhan produk hasil sampingan daripada pemprosesan gas asli dan telah mencetuskan pembangunan industri petrokimia yang pada hari ini merupakan salah satu penyumbang utama bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Gas asli juga telah menjadi peneraju sumber tenaga utama negara secara konsisten semenjak tahun 1997. Di kemuncaknya pada tahun 2006, gas asli menyumbangkan hampir 53 peratus kepada bekalan utama tenaga di Malaysia. Tambahan pula, ketika dunia merubah arah menuju peralihan tenaga, gas asli akan terus menjadi sumber utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara. Memandangkan gas asli merupakan bahan bakar fosil yang terbersih, ciri-ciri semula jadi gas asli sebagai bahan bakar yang fleksibel dan terjamin menjadikan ia gabungan terbaik kepada bahan bakar boleh diperbaharui dalam memastikan komitmen negara untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon dapat dicapai.

Pasaran gas asli di Malaysia telah sejak sekian lama menerima subsidi untuk membantu peralihan daripada ekonomi negara berpendapatan rendah kepada ekonomi negara membangun. Ini telah menjana persekitaran yang membolehkan perniagaan dan industri tempatan untuk berkembang maju. Namun demikian, lanjutan pemberian subsidi ini akan menjurus kepada herotan harga dalam ekonomi sekiranya diteruskan, kerana ini tidak menunjukkan harga kos pengeluaran gas asli yang sebenar.

Kementerian yang bertanggungjawab dalam merencana ekonomi pasaran gas asli adalah Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi). Ia bertanggungjawab untuk merumuskan dasar pelan pembangunan jangka sederhana dan jangka panjang negara. Di bawah bidang Akta Bekalan Gas 1993, Suruhanjaya Tenaga (ST) merupakan agensi yang bertanggungjawab untuk mengatur dan mengawal selia sektor gas dari aspek ekonomi, keselamatan dan teknikal. Manakala bagi proses gas asli dari huluan ke hiliran dalam segi infrastruktur fizikal dan rantaian bekalan, proses tadbir urusnya dikendalikan oleh pelbagai entiti yang berbeza.

Tidak dinafikan proses liberalisasi pasaran gas asli ini adalah satu proses yang rumit. Namun demikian, kita sewajarnya perlu mengurangkan kebergantungan kepada subsidi, dan menggunakan kaedah baharu yang membolehkan harga gas asli ditentukan oleh pasaran melalui keseimbangan penawaran dan permintaan. Model ekonomi berteraskan subsidi yang telah membolehkan Malaysia berkembang dari ekonomi berpendapatan rendah kepada berpendapatan sederhana adalah tidak mencukupi bagi menangani cabaran untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, dan pada masa yang sama beralih menuju ekonomi rendah karbon yang lestari. Dalam meniti perjalanan ini, sektor tenaga perlu melalui transformasi untuk kekal mampan bagi jangka masa panjang.

Pembaharuan di dalam pasaran gas asli perlulah dilihat melalui konteks ini, yang akan juga mempertengahkan perkara berikut:

  • Memperkenalkan kecekapan dan fleksibiliti pasaran melalui penghapusan monopoli;

  • Memastikan jaminan bekalan gas dengan meningkatkan kepelbagaian pembekalan; dan

  • Memastikan akses yang mudah dan adil untuk pihak ketiga memasuki infrastruktur pasaran gas

Dengan mengambil kira keperluan menguruskan sumber semula jadi yang lebih efektif di masa hadapan, Kerajaan sedang berusaha untuk meliberalisasikan pasaran gas asli di Semenanjung Malaysia, di mana kuasa pasaran akan bertindak sebagai penentu harga gas asli. Langkah pertama dalam proses liberalisasi pasaran gas asli adalah pengenalan kepada rejim Akses Pihak Ketiga, ataupun Third Party Access (TPA). Seperti namanya, rejim TPA memberikan akses kepada mana-mana pihak ketiga untuk menggunakan infrastruktur pasaran gas bagi membekalkan gas kepada pihak pembeli.

Untuk melaksanakan TPA, Kerajaan pada tahun 2016 telah membuat pindaan terhadap Akta Bekalan Gas 1993. Rang Undang-Undang Bekalan Gas (Pindaan) 2016 yang telah diwartakan pada 9 September 2016 telah memperkenalkan objektif-objekti seperti berikut:

  • Untuk membolehkan pengirim pihak ketiga mendapatkan akses yang adil dan sama rata dalam rantaian nilai gas asli;

  • Untuk mempromosikan persaingan sihat dalam industri pembekalan gas asli; dan

  • Untuk membolehkan pengguna gas asli dapat manfaat dari harga yang kompetitif, perkhidmatan yang lebih baik serta peningkatan pembekalan yang lebih mampan dan terjamin.

Pindaan terhadap Akta Bekalan Gas 1993 telah membolehkan pemain baharu, terutamanya pihak pengirim untuk membekalkan gas asli kepada pembeli, dan bagi pihak pengimport untuk mendapatkan Gas Asli Cecair ataupun Liquefied Natural Gas (LNG) daripada pasaran antarabangsa untuk diimport masuk ke Malaysia, lantas mengukuhkan portfolio sumber bekalan mereka.

Dengan membenarkan akses kepada infrastruktur secara telus, adil dan tanpa diskriminasi, undang-undang baru ini membuka jalan kepada penerapan rejim TPA di Semenanjung Malaysia. Sebagai sebahagian daripada usaha rasionalisasi harga gas asli, rejim TPA ini adalah langkah penting pertama oleh pihak Kerajaan dalam membolehkan peralihan sistem daripada harga bersubsidi kepada harga berdasarkan pasaran, baik lebih tinggi ataupun lebih rendah.

Walau bagaimanapun, kesan dari perubahan struktur pasaran gas asli ini tidak akan dirasai dalam masa terdekat. Bagi kebanyakan negara lain yang telah berjaya melalui proses liberalisasi, perjalanan mereka adalah berbeza-beza dari segi tempoh pelaksanaan dan cabaran. Perjalanan Malaysia untuk mencapai tahap liberalisasi pasaran gas asli sepenuhnya mempunyai cabarannya yang tersendiri. Namun demikian, untuk melaksanakan transformasi sebesar ini, langkah yang dinamik perlu diambil bagi memastikan bekalan tenaga lebih lestari, pasaran yang merangsang persaingan sihat dan pilihan yang lebih baik kepada pengguna pada kadar harga yang lebih kompetitif. Rejim TPA ini akan menyumbang kepada asas jaminan bekalan tenaga yang lebih kukuh, dan pada masa yang sama memupuk keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan ekonomi.

-- BERNAMA

Artikel ini merupakan terbitan pertama daripada lima siri artikel kesedaran mengenai titian perjalanan Malaysia menuju liberalisasi pasaran gas asli oleh Suruhanjaya Tenaga (ST), badan kawal selia yang bertanggungjawab memastikan pembekalan tenaga elektrik dan gas berpaip kepada pengguna secara selamat, berdaya harap, terjamin dan pada harga yang berpatutan.

Inisiatif Liberalisasi Pasaran Gas Asli ini diterajui oleh Unit Perancang Ekonomi di bawah Jabatan Perdana Menteri, di mana Suruhanjaya Tenaga berperanan sebagai agensi kawal selia. Inisiatif ini turut disokong oleh PETRONAS, Gas Malaysia Berhad, dan Malaysian Gas Association (Persatuan Gas Malaysia).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan