KOLUMNIS BERNAMA
16/10/2020 08:40 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Semalam Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) menghantar enam sukarelawan perubatan ke Semporna, Sabah.

Tim sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) medikal itu adalah “reinforcement” kepada petugas perubatan yang kini berhempas-pulas ‘berperang’ dengan COVID-19 di Sabah.

Mereka turut membawa 1,000 kit ujian RTK Antigen dengan bantuan peralatan perlindungan diri (PPE). Kesemua bantuan perubatan itu menggunakan dana hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Difahamkan NGO medikal lain seperti Mercy Malaysia dan Bulan Sabit Merah Malaysia juga sudah menggembelingkan sukarelawan perubatan untuk membantu petugas barisan hadapan berdepan dengan pandemik global itu.

Umum tahu, Sabah adalah negeri yang terjejas teruk dengan angka jangkitan mencecah tiga digit setiap hari sejak dua minggu lalu selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (Sabah) Sabah pada 26 Sept lepas.

PRN Sabah pula dikatakan antara faktor penyumbang kepada berlakunya gelombang ketiga COVID-19 di negara kita.

Itu apa yang dilakukan kelompok NGO yang memahami keluh kesah dan kebimbangan rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) turut dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula kelmarin hingga 27 Okt depan.

SENTIMEN RAKYAT GAGAL DIFAHAMI?

Malangnya, penulis merasakan sentimen rakyat ini gagal atau sengaja tidak difahami sebilangan politikus di negara ini yang terus mencetuskan kemelut politik.

Hari ini, ketika negara masih berdepan dengan COVID-19 dan ratusan ribuan rakyat yang terjejas dengan pandemik membunuh 176 nyawa di Malaysia itu, politikus di negara kita masih bermain wayang politik.

Mereka mencanangkan ini semua untuk rakyat. Persoalannya, benarkah ini semua untuk rakyat atau rakyat hanya sekadar dikaburkan mata dan ‘dibodohkan’ dengan janji-janji politik yang majoritinya jarang ditunaikan politikus ketika berkuasa.

Seriusnya apa yang berlaku ini hinggakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini terpaksa mengulangi titah baginda pada Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada Mei lepas, supaya ahli-ahli Parlimen mempamerkan kematangan dalam politik dan memahami keluh kesah rakyat

Al-Sultan Abdullah hari ini menasihati semua rakyat, khususnya ahli politik untuk bermuhasabah agar negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik tidak menentu.

Ingatan Seri Paduka Baginda itu tidak lain tidak bukan kerana negara masih lagi berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman pandemik COVID-19.

Penulis meyakini Yang di-Pertuan Agong mempunyai kebijaksanaan untuk menentukan apa yang terbaik untuk rakyat kerana kedudukan Seri Paduka Baginda yang terletak di atas politik kepartian dalam Sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan.

Setakat 16 Okt, seramai 18,758 dijangkiti COVID-19 dengan 629 kes terbaharu dilaporkan. Daripada jumlah itu, seramai 12,259 kes sembuh dan didiscaj dengan 176 kes maut dilaporkan.

BUKAN MASANYA UNTUK BEREBUT KUASA

Artikel ini bukan bertujuan membela atau menghentam mana-mana pihak. Catatan kerdil ini adalah untuk memahami realitik politik dan politikus di negara ini sebalik pandemik COVID-19.

Jika diikutkan penganalisis politik, rata-rata daripada mereka termasuk Dr Syed Agil Alsagoff dalam laporan media hari ini, menegaskan sekarang bukan masa terbaik untuk berebut kuasa.

Rakyat biasa, khususnya mereka yang terjejas akibat COVID-19, mungkin bersetuju dengan pandangan ini tetapi bagi politikus, realiti politik untuk berkuasa itu sebenarnya lebih penting.

Persoalan sama ada Belanjawan 2021 akan dibentangkan tidak lama lagi, bukanlah agenda penting kerana bagi sebilangan politikus, matlamat berkuasa atau memerintah itu lebih utama.

Pun begitu, kita harus menerima dan mengakui bahawa perlembagaan negara membenarkan pertukaran kuasa berlaku mengikut peruntukan undang-undang. Hakikatnya, politikus mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Apa yang menariknya, pandemik COVID-19 sebenarnya membawa hikmahnya tersendiri dengan menunjukkan sikap sebenar politikus tentang apa yang mereka katakan berbanding apa yang mereka lakukan.

Seharusnya rakyat marhaen (pengundi) boleh menilai politikus yang mereka anggap sebagai pemimpin. Di sinilah, kita sebagai rakyat biasa boleh menilai wajah sebenar sang politikus.

Adakah kelompok politikus ini cakap serupa bikin atau sekadar bermain wayang politik untuk berkuasa? Kawan menjadi lawan, lawan menjadi kawan dan soal prinsip boleh diketepikan mengikut keadaan?

Realiti politik di negara ini juga mengajar kita tentang betapa murahnya kesetiaan politik yang boleh berubah-ubah mengikut kepentingan.

Ini apa yang penulis saksikan di Sabah apabila rata-rata pengundi di sana menyatakan rasa mual mereka kepada politikus yang “melompat” untuk berkuasa sehingga mengenepikan kepentingan rakyat.

Mujurlah, senario politikus lompat-melompat tidak berlaku selepas PRN Sabah dek situasi Negeri di Bawah Bayu itu yang terjejas akibat COVID-19.

WAJARKAH LAKSANA GENCATAN POLITIK, PINDA PERLEMBAGAAN?

Penulis memuji sikap parti politik yang memutuskan untuk tidak bertanding pada PRK Batu Sapi kerana tidak mahu menyusahkan rakyat dan mendahulukan usaha menangani COVID-19 di Sabah.

Penulis bukanlah pendokong politik partisan, malah penulis merasa sangsi dengan kelompok politikus yang selalunya kelihatan gah mencanangkan kononnya mereka bekerja demi rakyat.

Kelazimannya, lampu jalan atau jalan berlubang hanya dibaiki atau diturap apabila berlaku atau mendekati tempoh pilihan raya umum atau pilihan raya kecil.

Memang benar ini adalah masalah perbandaran, namun kita tidak dapat menolak yang ia ada kaitan dengan kelemahan politikus yang mewakili kawasan untuk bersikap cakna dan berkesan.

Tanggapan umum, politikus hanya tahu menabur janji dan seringkali mungkir ketika berkuasa. Hakikatnya, bukan semua politikus begini.

Lebih malang lagi bagi politikus adalah mereka menjadi apa yang dulunya mereka menentang dan sanggup melakukan apa saja untuk berkuasa. Lebih merosakkan lagi apabila mereka yang menyokong politikus seumpama ini terus bersikap pejam mata.

Kebenaran tetap perlu dinyatakan walaupun pahit dan alangkah baiknya, jika semua politikus boleh melakukan gencatan politik buat seketika ketika negara masih bergelumang dengan badai pandemik COVID-19.

Ataupun mungkinkah sudah tiba masanya, perlembagaan negara dipinda supaya tiada pertukaran kerajaan dalam situasi darurat bencana sebegini.

Penulis percaya pada resam mengikut biar berakal, menegur biar pintar. Ini apa yang cuba penulis sampaikan sekalipun kebenaran itu adalah pahit dan politikus, jika benar-benar bekerja untuk rakyat, haruslah bersikap bijaksana dan berlapang dada.

Ataupun setidak-tidaknya politikus membuktikan dengan tindakan dan melakukan sesuatu yang membantu keadaan sepertimana dilakukan kelompok NGO dan bukannya mengusutkan lagi keadaan. -- BERNAMA

Syed Azwan Syed Ali adalah wartawan kanan BERNAMA dengan pengkhususan dalam liputan di zon konflik dan bencana. Beliau juga menulis tentang isu-isu antarabangsa dan semasa rakyat.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan