TINTA MINDA

CORETAN BUAT ‘DR’ TACHDIJAN

12/10/2020 12:56 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah


Saya baca warkah Dr Tachdijan kepada YAB Perdana Menteri, ‘Cukuplah abah, anak-anak derita’ dengan cukup teliti.

Meskipun ia bukan ditujukan kepada saya, namun sebagai Ketua Pengarah Kesihatan, saya perlu faham apa yang ‘anggota KKM’ ini cuba sampaikan, tidak kiralah apa pangkat, gred atau profesion mereka.

Saya terfikir juga, apabila dikatakan Dr adalah seorang ‘pakar KKM’, secara terus ia lebih menarik perhatian semua pihak untuk membacanya.

Seorang Dr Pakar di KKM, pastinya beretika dan mempunyai kredibiliti. Itu yang saya harapkan daripada pakar KKM.
Saya harus akui Dr, saya merasa kesal. Dalam warkah tersebut, jelas Dr telah mendedahkan identiti seorang pesakit kepada umum dengan merujuk kepada seorang individu ternama di Sabah yang dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Untuk makluman Dr, ini adalah menyalahi tataetika seorang doktor Perubatan.

Kerahsiaan pesakit adalah menjadi keutamaan bagi profession Perubatan, dan KKM sentiasa menekankan perkara ini.

Saya harapkan ini bukanlah satu kebiasaan yang Dr amalkan, kerana KKM sememangnya bergantung kepada Pegawai Perubatan Pakar untuk mendidik Pegawai Perubatan dan Pegawai Perubatan Siswazah.

Dr juga agak arif dengan selok belok di HQE, namun kemungkinan perlu menyemak kembali protokol pengendalian Patient Under Investigation (PUI) yang disahkan COVID-19 ke hospital COVID-19.

Kes yang sememangnya telah disahkan status jangkitan sebagai positif COVID-19 dan didapati stabil, akan dimasukkan terus ke wad COVID-19. Protokol yang sama digunakan untuk semua kes, tanpa mengira status kes dalam masyarakat. Kemungkinan ada berlaku situasi di mana kes perlu menunggu katil dikosongkan di wad COVID-19. Ini mungkin berlaku dari semasa ke semasa.

Sememangnya jumlah kes COVID-19 semakin menaik, terutama di negeri Sabah.

Data-data kes harian saya sendiri yang bentangkan setiap hari di pelbagai platform termasuk di mesyuarat harian bersama YAB Perdana Menteri dan juga Sidang Media COVID-19 sekitar pukul 6 petang.

Kini kedua-duanya dijalankan secara video conferencing. Saya juga telah menerangkan tindakan-tindakan yang dilakukan Kerajaan bagi memastikan terdapatnya kapasiti ujian di makmal-makmal, peningkatan jumlah katil bagi kes-kes COVID-19 agar ianya mencukupi, pembelian peralatan dan pengagihan alat bantuan pernafasan (ventilator), dan sebagainya.

Lihat sahaja infografik yang saya muatnaik. Amat mudah untuk difahami.

Pada awalnya, petugas di Kota Kinabalu digerakkan untuk membantu hospital di daerah timur Sabah serta pusat-pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 berisiko rendah.

Kemudian, KKM gerakkan pula petugas kesihatan daripada seluruh negeri ke negeri Sabah. Mereka turut ditempatkan di hospital-hospital di Kota Kinabalu bagi menggantikan lompong keperluan petugas di Kota Kinabalu.

Sememangnya, tidak dinafikan ia lebih mencabar apabila petugas Kesihatan juga dijangkiti COVID-19 sama ada daripada komuniti, tempat kerja, rakan setugas atau semasa pengendalian kes COVID-19.

Mereka perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan, dan kontak rapat perlu dikuarantinkan.

Namun begitu, pujian harus diberi kepada pihak Pengurusan HQE dan juga JKN Sabah.

Pelan mobilisasi diteruskan, perkhidmatan berjalan dan situasi dijangka bertambah baik. Petugas Kesihatan terus cekal bertugas sementara lebih ramai pasukan bantuan Perubatan tiba.

Pandangan Dr mengenai stok Personal Protective Equipment (PPE) adalah bernas. Perancangan awal perlu dibuat dan stok perlu dipantau rapat.

KKM terus memastikan adalah mencukupi di semua hospital seluruh Malaysia, termasuk di HQE. Juga saya lampirkan untuk tatapan, status stok PPE untuk negeri Sabah.

Kelulusan pusat telah diterima pada 2 Oktober 2020 bagi permohonan perolehan secara darurat untuk PPE bagi negeri Sabah. Semuanya telah dirancang baik oleh agensi pusat, KKM dan juga Jabatan Kesihatan Negeri Sabah. Sistem database pusat yang kita bangunkan semasa gelombang 1 dan 2 COVID-19 telah mengajar kita untuk lebih bersedia.

Saya bersyukur kerana KKM tidak sendirian dalam usaha ini. Malahan mustahil bagi KKM bergerak sendiri menangani COVID-19.

Agensi-agensi pusat yang lain telah bergerak seiring dengan KKM, terlalu banyak pihak jika hendak saya sebut satu persatu. Begitu juga Kerajaan-kerajaan Negeri sehingga ke peringkat daerah.

Pihak swasta, badan bukan Kerajaan (NGO), badan-badan pertubuhan dan semua lapisan masyarakat.

Semua pihak bersatu hati melandaikan keluk semasa gelombang kedua.

Pendekatan yang diambil adalah the “whole of Government, the whole of society approach”. Sering ditanya oleh negara luar mengenai perkara ini.

Saya bangga; “we use whole of Government, the whole of society approach”. Namun kita boleh buat lebih baik lagi.

Saya seru semua pihak, janganlah kita terus menunding jari salah menyalahi.

Marilah kita fokuskan tenaga dan usaha kita dalam menentang musuh kita yang sama iaitu COVID-19, sambil kita berdoa dan bertawakkal kepada Ilahi.

--BERNAMA

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ialah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)