Oleh Dr Miharaini Md Ghani
Dalam era moden yang didominasi oleh komunikasi digital dan media sosial, mesej pengorbanan yang dibawa oleh Aidiladha membuka ruang untuk kita merenung semula bentuk pengorbanan yang lebih halus iaitu pengorbanan jiwa, ego, keangkuhan serta sifat-sifat negatif yang tersembunyi dalam diri.
Hari Raya Aidiladha membawa makna yang jauh lebih mendalam kepada konsep pengorbanan yang tidak hanya terbatas kepada aspek fizikal, tetapi turut merangkumi dimensi rohani dan emosi manusia.
Pengorbanan dalam konteks ini bukan lagi tentang harta benda atau haiwan korban, tetapi pengorbanan sifat keangkuhan, rasa ingin menang dalam setiap perbualan, serta keengganan untuk merendah diri dan mendengar pandangan orang lain.
Hal ini demikian kerana, pengorbanan itu menuntut kekuatan jiwa yang tinggi untuk menahan diri daripada reaksi spontan yang didorong oleh emosi dan keinginan untuk sentiasa betul. Maka, Aidiladha seharusnya menjadi titik muhasabah untuk setiap individu.
Ego dan Adab Bersama
Dalam membina hubungan sosial yang sihat, pengorbanan ego adalah langkah awal ke arah pemupukan adab, empati dan kefahaman bersama. Nilai-nilai ini dilihat semakin terhakis dalam era komunikasi serba pantas ini.
Seperti mana Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup mengorbankan anaknya, Nabi Ismail a.s., demi mematuhi perintah Allah SWT, kita juga dituntut untuk mengorbankan sesuatu yang tidak kurang sukar iaitu ego dan sifat negatif yang sering menjadi penghalang kepada hubungan sesama manusia.
Dalam bidang komunikasi, ego sering menjadi benteng kepada penyampaian mesej yang jujur, telus dan berkesan.
Sebagai contoh, individu yang terlibat dalam dunia penyiaran, kewartawanan, atau media sosial kadangkala terperangkap dalam keinginan untuk menonjolkan imej peribadi berbanding menyampaikan maklumat yang sahih dan seimbang.
Hal ini demikian kerana, keghairahan untuk meraih perhatian, menjadi tular, atau mengejar angka tontonan telah membuka ruang kepada penyebaran berita palsu, eksploitasi emosi khalayak, serta pembentukan naratif yang sensasi demi populariti semata-mata.
Dalam konteks ini, Aidiladha tampil sebagai peringatan untuk kembali kepada asas akhlak dan etika dalam menyampaikan maklumat iaitu jujur, adil, dan berhemah bagi mengelakkan kerosakkan interaksi sosial dalam ruang digital.
Lebih daripada itu, komunikasi seharusnya difahami bukan hanya sebagai proses pemindahan maklumat, tetapi sebagai perhubungan jiwa yang tulus antara manusia sebagai suatu jalinan emosi, empati dan nilai kemanusiaan.
Pengorbanan ego dalam ruang digital ini, jika dilakukan secara sedar dan berterusan, mampu mengubah wajah komunikasi dalam masyarakat menjadi lebih sihat dan bermakna.
Pengorbanan Melalui Seni Mendengar
Salah satu bentuk pengorbanan yang sering dipandang remeh dalam era digital ialah kesediaan untuk mendengar.
Dalam bidang komunikasi, mendengar bukan sekadar tindakan pasif, tetapi suatu bentuk interaksi aktif yang memerlukan empati, kerendahan hati, dan kesediaan untuk memahami perspektif orang lain.
Dalam dunia media dan komunikasi hari ini, tidak kira bidang kewartawanan, perhubungan awam, pengurusan krisis, mahupun wacana akademik, keupayaan mendengar dengan ikhlas menjadi komponen penting dalam mewujudkan komunikasi yang berkesan dan bermakna.
Sikap membuka ruang kepada perbezaan pandangan, bukan sahaja memartabatkan nilai murni dalam komunikasi, tetapi turut menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih harmoni, adil dan beradab.
Muhasabah Ketika Berkomunikasi
Hari Raya Aidiladha bukan sekadar perayaan keagamaan, tetapi juga sebuah peluang bermakna untuk bermuhasabah terhadap peranan kita dalam menyampaikan maklumat, membentuk persepsi, dan mempengaruhi tindakan masyarakat.
Seharusnya kita bertanya seperti: "Adakah medium komunikasi yang kita kendalikan digunakan untuk menyebarkan kasih sayang, toleransi dan nilai-nilai positif? Atau adakah kita, secara sedar atau tidak, menyumbang kepada polarisasi, penyebaran kebencian dan kekeliruan maklumat? "
Pengorbanan sebenar dalam dunia komunikasi dan media digital hari ini bermula dengan pemurnian niat dan pembentukan etika komunikasi yang berasaskan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.
Lebih daripada itu, pengorbanan dalam kepimpinan komunikasi turut menyumbang kepada pembinaan masyarakat madani iaitu masyarakat yang menjunjung tinggi nilai kesantunan, kebenaran dan kesejahteraan bersama.
Hari ini, kepimpinan yang diasaskan atas nilai pengorbanan mampu menjadi panduan moral yang penting untuk memastikan komunikasi kekal sebagai jambatan penyatuan individu termasuklah kebersamaan masyarakat seantero dunia, bukan alat pemecah belah.
Apabila kita menjadikan Aidiladha sebagai ruang untuk menyucikan niat dan memperbetul hala tuju, kita bukan sahaja menjadi Muslim dan manusia yang lebih ikhlas, tetapi juga komunikator yang bertanggungjawab, beretika, dan berjiwa besar.
Maka, sambutlah Aidiladha bukan hanya dengan menyembelih haiwan korban, tetapi juga dengan "menyembelih" sifat sombong dan takabbur dalam diri agar komunikasi kita menjadi lebih tulus, dan media kita lebih membina untuk seluruh masyarakat.
-- BERNAMA
Dr. Miharaini Md Ghani ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia