PENA WANITA
07/10/2020 09:52 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Ngo Sheau Shi

Satu perspektif arus perdana mengenai teknologi Internet of Things (IoT) dan 5G selalunya bersifat terlalu optimistik dan memperlihatkan inovasi teknologi tersebut dapat memberi nilai tambahan dalam peningkatan produktiviti dan kualiti hidup.

Dalam pelan hala tuju kebangsaan Malaysia, penekanan juga diberi terhadap pembangunan ekosistem IoT sebagai sumber pertumbuhan baharu ekonomi negara yang dijangka akan menyumbang pendapatan negara kasar yang baharu sebanyak RM42.5 bilion menjelang tahun 2025.

Dengan kata lain, ekonomi data adalah ekosistem digital global dengan data dikumpul, disusun, dan ditukar oleh rangkaian teknologi untuk tujuan memperoleh nilai daripada maklumat yang terkumpul. Dalam formula ekonomi sedemikian, apa yang jarang dibincangkan ialah kos sosial dan politik dalam proses mewujudkan ekosistem industri IoT dan rangkaian 5G.

Pengawasan butiran peribadi terhadap rakyat jelata di kawasan awam merupakan sebahagian penting daripada infrastruktur IoT dan rangkaian 5G. Dengan kata yang lain, syarikat telekomunikasi/teknologi yang bersifat swasta dan bertujuan memaksimumkan keuntungan untuk syarikatnya akan memegang butiran peribadi setiap individu seperti lokasi keberadaan dan emosi mereka menerusi teknologi pengecaman wajah (facial recognition).

Adakah kita boleh mengharapkan syarikat swasta telekomunikasi/teknologi akan mengutamakan kepentingan awam seperti menjaga privasi dan keselamatan individu tetapi bukan kepentingan perniagaan mereka?

Satu perbandingan antara apa yang sedang berlaku dalam perkembangan infrastuktur internet dan pendominasian syarikat gergasi seperti Google dan Facebook telah memberi satu petunjuk untuk meramalkan apa yang akan berlaku sekiranya infrastuktur 5G dan industri IoT ini direalisasikan dan dikuasai oleh pihak swasta.

Perkembangan internet dan fungsinya

Perkembangan komunikasi digital dengan rangkaian internet berasaskan penyelidikan di universiti-universiti Amerika Syarikat dengan pembiayaan awam untuk kegunaan bidang ketenteraan selepas Perang Dunia Kedua. Sekiranya perkara ini bergantung kepada sektor swasta, internet mungkin tidak akan wujud langsung.

Pada 1960an, apabila ahli sains komputer Paul Baran membayangkan satu rangkaian yang tidak berpusat, syarikat AT&T (sebuah syarikat telekomunikasi korporat yang monopoli di AS) menolak idea tersebut secara langsung atas alasan bahawa ia tidak menguntungkan. IBM juga tidak berminat mengambil bahagian dalam membangunkan rangkaian tersebut pada awalnya.

Isunya bukan hanya subsidi awam tanpa pulangan atas pelaburan. Ia juga mengenai etos awam. Internet awal bukan bersifat komersial, ia adalah antikomersial dan berkhidmat untuk kepentingan awam.

Menjelang tahun 1960-an dan 70-an, golongan profesional komputer dan pelajar sengaja menanamkan satu budaya bukan hierarki dan terbuka ke atas isu bagaimana rangkaian teknologi boleh digunakan. Komputer dianggap sebagai pengarak satu sistem komunikasi yang bersifat egalitarianisme yang membolehkan kerjasama antara semua pihak, bukan semata-mata untuk mengaut keuntungan.

Steve Wozniak dari Apple pernah berkata bahawa semua ahli dalam kelab komputer pada tahun 1970-an "membayangkan komputer sebagai satu peralatan teknologi yang membawa manfaat kepada kemanusiaan dan keadilan sosial."

Internet telah direka sebagai "teknologi berbentuk terbuka" supaya para saintis dapat menyumbang dengan mudah dalam persekitaran yang tidak berhierarki.

Satu andaian bahawa budaya dan ekologi komersialisasi akan menjejas fungsi internet sebagai satu sfera awam yang bersifat terbuka dan demokratik.

Pada awal 1990-an, National Science Foundation Network (NSFNet), pelopor internet, menjelaskan bahawa kepenggunaan rangkaian hanya terhad kepada komunikasi yang bersifat bukan komersial.

E-mel bersifat komersial pertama hanya wujud pada April 1994. Hal ini mendapat bantahan yang begitu kuat daripada komuniti internet pada masa itu. Sentimennya ialah pengiklanan sudah begitu dominan dalam media massa tradisional yang mangamalkan sistem telekomunikasi korporat tertutup. Hal ini hanya akan menggalakkan perkembangan teknologi ke arah kepentingan korporat atau persendirian.

Pada 1998, pengasas Google, Larry Page dan Sergey Brin masih menolak idea bahawa enjin carian mereka perlu disokong oleh pengiklanan. "Kami menjangkakan bahawa enjin carian pengiklanan dibiayai akan sememangnya berat sebelah terhadap pengiklan dan jauh dari keperluan pengguna," mereka tegaskan.

Malangnya, gelombang internet pada akhir tahun 1990-an memperlihatkan Internet telah berubah dari perkhidmatan awam ke sektor swasta. Selepas kemelesetan ekonomi pada tahun 1987, Internet diilhamkan seolah-olah menjadi penyelesaian kepada masalah pertumbuhan kapitalisme yang sentiasa perlu menjana “ekonomi baharu”.

Dasar pembangunan ruang siber dilihat sebagai satu hab baharu untuk komersialisasi telah memberi peluang kepada ahli ekonomi untuk menerokai pasaran baharu supaya dapat menyelamatkan keadaan ekonomi yang meleset.

Internet telah diswastakan secara rasmi pada tahun 1994-95 apabila NSFNet menyerahkan internet kepada sektor swasta. Selepas itu kuasa pasaran adalah penentu utama dalam sejarah perkembangan internet yang memberi impak kepada hampir semua aspek kehidupan manusia.

Maklumat peribadi

Dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), semua maklumat peribadi termasuk pemikiran dan emosi manusia boleh terus berubah menjadi komoditi yang dijual sebagai data kepada pelanggan pengiklanan.

Pertama, pengekstrakan maklumat peribadi (secara sukarela atau secara tidak diketahui) menerusi platform digital seperti enjin carian Google dan media sosial Facebook boleh dijadikan sebagai bahan mentah percuma yang boleh dieksplotasikan oleh pihak pengiklan menerusi pengubahsuaian tingkah laku pengguna menerusi iklan sasaran. Ramalan dan penjualan akan dilihat sebagai satu normal baharu.

Kedua, dalam proses membangun teknologi kecerdasan buatan (AI), kaedah pengubahsuaian tingkah laku ini adalah satu projek berpaksikan keuntungan dan pasaran.

Tujuannya adalah membuat ramalan yang terbaik dengan bantuan jumlah data raya yang maksimum supaya memperkasakan model/mesin ramalan mereka yang pada akhirnya menjadi lebih bernilai ketika ramalan mesin tersebut menghampiri kepastian.

Sergey Brin, salah seorang pengasas syarikat Google, pernah berkata bahawa kecerdasan buatan (AI) Google akan membawa manusia ke satu tahap baharu ---“semasa anda berfikir tentang sesuatu dan telefon bimbit anda boleh berbisik jawapannya ke telinga anda”.

Apa itu pengawasan kapitalisme?

Menurut Shoshana Zuboff (2019), “pengawasan kapitalisme” merujuk kepada satu instrument baru yang menegaskan dominasi teknologi ke atas masyarakat dan seterusnya mencabar kedaulatan hak peribadi dan privasi manusia.

Dalam masyarakat berteknologi digital dan rangkaian, golongan yang memiliki data tingkah laku individu adalah sama dengan tuan tanah pada masyarakat pertanian. Data peribadi dan privasi individu yang dikumpul oleh syarikat telekomunikasi/teknologi swasta bukan sahaja digunakan untuk meningkatkan perkhidmatan yang disediakan, pemilikan data tersebut juga akan digunakan untuk menjadi bahan mentah untuk melatih model/algoritma syarikat teknologi tersebut.

Hal ini memperlihatkan satu masyarakat bersifat “pengawasan kapitalisme” telah wujud dan “kaedah pengeluaran” dalam konteks ini menyerupai “kaedah pengubahsuaian tingkah laku“. Pemprosesan data individu manusia oleh mesin akan memperkukuhkan order sosial yang berasaskan kepentingan kelas kapitalis untuk menjana keuntungan lebihan bagi bisnes mereka.

Adalah terbukti mereka yang dapat menguasai kaedah pengeluaran akan membentuk satu kelas dominan dari segi politik dan ekonomi.

Adakah perkembangan pesat teknologi baharu seperti IoT dan infrastuktur 5G akan membawa kebaikan kepada semua lapisan masyarakat?

Adakah “kedaulatan manusia” daripada segi kehidupan moden manusia sejak 200 tahun kebelakangan ini akan diambil alih oleh mesin yang mengganti hubungan sesama manusia?

Adakah konsentrasi pemilikan data oleh syarikat teknologi yang menguasai pengetahuan dan kemahiran kecerdasan buatan (AI) akan melebarkan jurang pendapatan antara yang kaya dengan yang miskin?

Adakah negara kita bersedia untuk menghadapi satu masyarakat bersifat pengawasan kapitalisme dengan kebanyakan teknologi terkini dimilik syarikat teknologi gergasi dari luar negara?

Kesemua persoalan di atas perlu dijawab sebelum kita mengikuti jejak majoriti secara membuta tuli. Wacana positif dan optimistik yang diulangi terutamanya oleh negara-negara yang mempunyai kepentingan tersendiri dalam perkembangan teknologi yang terkini harus dinilai secara kritis dan berhati-hati.

-- BERNAMA

Dr Ngo Sheau Shi ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan