PENA WANITA
09/10/2020 11:51 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof Madya Dr Norfadilah Kamaruddin

Mengikut sejarah, manusia telah mula meneroka dan mencipta pelbagai pembaharuan dalam kehidupan mereka sejak ribuan tahun dahulu. Ini diperjelaskan apabila mereka telah melalui perubahan cara kehidupan dari zaman batu kepada zaman tembikar dengan mula menternak binatang dan bercucuk tanam kepada menjalankan perniagaan yang berkonsepkan sistem tukar barang. Bermula daripada pengalaman tersebut, tingkah laku serta amalan kehidupan manusia telah dipengaruhi oleh persekitaran alam semula jadi. Jelasnya manusia mula melihat dan mendengar segala apa yang terdapat pada persekitaran mereka dan hasil dari pengamatan tersebut telah membentuk sebuah corak serta pegangan yang menentukan sebuah budaya dalam kehidupan.

Nilai estetika

Aktiviti pengamatan yang telah berlaku sejak dahulu itu, telah mendekatkan diri para pengkarya seni khususnya dengan sebuah pandangan yang ikhlas dan abadi, yang lahir daripada penghayatan ciptaan yang Maha Esa terhadap persekitaran mereka. Kehalusan idea dan kerja tangan oleh pengkarya seni itu turut melahirkan nilai estetika yang luhur dan memberi makna serta pengalaman di sebalik sesuatu yang tersurat dan tersirat. Namun, bagi mencari nilai estetika sebenar sesuatu karya seni kreatif, sama ada seni visual, seni persembahan mahupun seni muzik, ia memerlukan penghayatan sama ada melalui penglihatan atau pendengaran dalam mencari makna kebenaran dalam karya seni tersebut.

Lazimnya aktiviti pengamatan nilai estetika terhadap hasil seni ini boleh dibahagi kepada tiga tahap. Tahap pertama ialah persepsi kepada kualiti bahan, tahap kedua pula ialah cara pengolahan bahan bagi mendapatkan rupa, bentuk serta corak yang menarik dan tahap ketiga ialah peranan keseluruhan reka bentuk dalam menimbulkan satu mood dan kesan. Dan apabila meneliti sesebuah karya seni kreatif pula, pengamatan nilai estetika akan berlaku melalui dua pengalaman iaitu pengalaman logik dan pengalaman estetik yang akan menggerakkan pancaindera individu tersebut.

Secara umumnya, perkataan estetika dalam bahasa Yunani ialah ‘aesthesis’ yang membawa maksud hal-hal yang dapat diserapkan oleh pancaindera atau lebih khusus lagi ialah ‘kepekaan’ persepsi pancaindera manusia (sense of perception) yang digunakan dalam kesemua cabang kesenian. Namun estetika membawa banyak pengertian daripada ramai tokoh falsafah dunia termasuklah estetika adalah ilmu yang membahas tentang keindahan, citarasa dan pengalaman yang berkaitan dengan kegiatan seni.

Penafsiran karya seni

Sebenarnya, pencarian nilai estetika juga adalah berkait rapat dengan pencarian falsafah dalam seni. Sesiapa yang mempelajari falsafah seni akan mempunyai perasaan yang lebih mendalam dan pengalaman yang berbeza dan kesannya mendapat kehidupan yang lebih bermutu. Oleh itu, sebagai pemerhati atau pencinta seni, seharusnya kita menilai sesuatu karya dengan cara yang luhur terhadap sesebuah karya seni itu. Walau bagaimanapun, pengalaman kehidupan seseorang juga akan membantu serta membentuk penafsiran yang berbeza-beza terhadap sesuatu karya seni. Perbezaan tafsiran sesuatu karya seni akan melahirkan medan emosi yang tersendiri kepada setiap individu.

Proses pencarian estetika dalam sesebuah karya seni akan terhasil, apabila kita mencarinya dengan pencarian yang ikhlas dan tulus. Proses pencarian estetika akan terganggu atau mungkin tidak akan berlaku, jika sekiranya pencarian tersebut digabungkan dengan kehendak naluri yang pada awal-awal lagi telah menolak karya tersebut. Kerana itulah ada sesetengah pihak mendakwa, bahawa sesetengah karya seni tidak mempunyai estetika. Sebenarnya, ia tidak sepatutnya berlaku kerana setiap karya seni mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri kerana pengkarya seni kebiasaanya melahirkan sesuatu karya melalui proses pemikiran atau tafsiran yang tulus, yang lahir dari pengamatan yang ikhlas berdasarkan sifat-sifat semula jadi sesuatu perkara.

Penentuan nilai estetika juga akan berlaku apabila pertembungan antara ketulusan pengkarya dan pencari estetika bersatu atas satu makna kebenaran yang lahir daripada sesebuah karya tersebut. Oleh itu, mencari nilai estetika dalam karya seni memerlukan tumpuan yang mendalam dan ia juga memerlukan sebuah pemikiran yang waras dan cerdik, kerana dalam mencari estetika, sebenarnya kita sedang meneroka suatu ilmu atau pengalaman yang ada di sebalik kewujudan sesuatu.

Prinsip reka bentuk

Setiap orang memiliki kebolehan untuk menterjemahkan idea dan pengalaman, begitu juga dengan perkara-perkara yang dilihat atau dirasai kepada suatu bentuk yang tersusun. Dalam semua hasil kerja reka bentuk terdapat elemen-elemen reka bentuk seperti ruang yang diisi atau dibiarkan kosong, pelbagai jenis garisan, bentuk tiga dimensi, warna, nilai dan juga tekstur. Cara bagaimana elemen-elemen ini digunakan atau digabungkan mampu menentukan kualiti hasil kerja. Sebagai usaha pereka untuk mengekspresikan dirinya dan menghasilkan sesuatu yang bermakna daripada bahan yang digunakan, mereka menyedari bahawa melalui proses keseimbangan, pergerakan, pengulangan, penekanan dan kontras terhadap elemen-elemen reka bentuk, satu hasil kerja yang menarik dan bermutu mampu dihasilkan. Proses inilah dikenali sebagai prinsip reka bentuk. Prinsip reka bentuk adalah konsep untuk menyusun maklumat visual. Ia merupakan satu gambaran tentang bagaimana kita mengamati dan memproses maklumat visual serta merupakan idea bagi menghasilkan imej dua dimensi. Prinsip reka bentuk akan membantu kita membuat keputusan tentang bagaimana untuk menggunakan elemen-elemen reka bentuk.

Sebagai contoh, apabila kita melihat lukisan sebuah tasik dengan air yang tenang, kita pasti turut merasai ketenangan tersebut. Ini kerana, penghayatan pengkarya lukisan serta nilai estetika yang lahir dari lukisan tersebut telah membawa kita kepada suatu pengalaman yang bersifat kekal abadi. Begitu juga dengan menyaksikan persembahan teater, muzik dan tarian. Kesan dari penghayatan semula jadi tingkah laku pelakun atau penari tersebut akan membentuk sebuah emosi dan penafsiran baharu. Segala mesej yang disampaikan sama ada melalui dialog, gerak badan dan irama lagu akan memberi kesan positif yang akan bertindak balas melalui peranan psikologi yang akan membentuk perasaan sayang, suka, marah, benci, sedar, nyaman, segar dan sebagainya.

Selain itu, jika dilihat kepada produk industri, jenama adalah perkara pertama yang akan dapat menarik minat pengguna terhadap sesuatu produk industri selain rupa bentuk produk itu sendiri. Nilai estetika sesuatu produk industri ini bergantung kepada pelbagai elemen rupa bentuk produk tersebut seperti warna, bentuk, garisan, dan tekstur. Hubungan antara elemen-elemen rupa bentuk ini juga penting kerana ia menentukan persepsi pengguna terhadap kualiti sesuatu produk. Hanya dengan bergantung kepada elemen estetika seperti warna dan garisan atau kombinasi tekstur, sesuatu produk mungkin nampak stabil atau sebaliknya,

Kesimpulannya, ilmu estetika mempunyai ruang lingkup yang luas yang diuruskan sebagai satu falsafah yang berlandaskan keindahan merangkumi penonjolan aspek inspirasi pengalaman, pengamatan dan kreativiti yang melibatkan penggunaan semua deria manusia. Sebagaimana yang kita tahu, keindahan merupakan salah satu daripada kualiti dan nilai estetika yang terdapat pada setiap hasil seni. Oleh itu, mencari estetika dalam karya seni merupakan satu proses penjernihan pemikiran yang secara tidak langsung berlaku semasa pencarian tersebut. Justeru itu, jernihkanlah pemikiran kita melalui kaedah pencarian nilai estetika yang terdapat dalam sesebuah karya seni.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Norfadilah Kamaruddin merupakan pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan