TINTA MINDA

PILIHAN BERSYARAT PENGUNDI SABAH

29/09/2020 12:15 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datuk Dr Chamil Wariya

Rakyat Sabah telah pun bersuara.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), kali ke-16 pada 26 September 2020 lalu mereka telah menyatakan pilihan mereka untuk mendirikan sebuah kerajaan negeri yang selaluan dengan kerajaan Persekutuan bukan sebaliknya.

Dengan memberi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN), sebahagian besar pengundi negeri itu telah mengetepikan sentimen anti-Persekutuan yang cuba ditiup oleh sesetengah parti politik yang turut bertanding dalam PRN tersebut.

Tetapi sokongan yang diberikan kepada GRS itu tidaklah mutlak dalam erti kata ia diberi mandat yang besar untuk memerintah. Sebaliknya ia adalah bersyarat.

Semak dan seimbang

Tatkala mereka mahu menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan Pusat, pada waktu yang sama para pengundi ingin memastikan terdapat elemen semak dan imbang yang berkesan terhadap kerajaan yang baru dipilih itu.

Justeru, GRS hanya diberi majoriti mudah untuk berkuasa iaitu sebanyak 38 kerusi dalam DUN yang mempunyai 73 kerusi itu.

Tiga puluh dua lagi kerusi diberi kepada Parti Warisan Sabah atau WARISAN, PKR dan DAP, bagi membolehkan gabungan parti pembangkang itu memainkan peranan yang bertanggungjawab di DUN Sabah.

Lalu, tidak perlulah WARISAN berusaha untuk memujuk ADUN lain menyertainya untuk merampas kuasa ikut pintu belakang.

Hormati demokrasi

Hormatilah demokrasi. Terimalah kekalahan dengan terbuka, bukan sebaliknya.

Benar sebagai sebuah parti politik, WARISAN pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal tampil dengan kerusi terbanyak di DUN Sabah iaitu sebanyak 29 kerusi, tetapi hakikat itu tidak boleh digunakan sebagai leverage untuk menawarkan diri bagi berkuasa semula.

Kalah tetap kalah, walaupun dengan satu undi sekalipun.

Hakikatnya, secara kolektif GRS mempunyai kerusi terbanyak di DUN Sabah. Mengikut Perlembagaan Negeri, salah seorang pemimpin GRSlah, tidak kira siapa, yang layak dilantik sebagai Ketua Menteri untuk seterusnya membentuk kerajaan baharu di negeri di bawah bayu itu.


Dengan kata lain menerusi PRN yang lalu, rakyat Sabah sebenarnya bertindak bijak: kuasa demokrasi telah digunakan untuk memastikan bahawa kerajaan yang dianggotai oleh Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) benar-benar mengotakan Akujanji yang telah dilafazkan pada 12 September 2020.

Tetapi, pada waktu yang sama, mereka mahu pembangkang menjadi jagawan yang berkesan terhadap tindak tanduk kerajaan, memastikan setelah berkuasa GRS tidak menyeleweng dalam menunaikan segala program pembangunan yang telah dijanjikan.

Tidak syak lagi, keputusan tiga calon bebas untuk menyatakan sokongan kepada GRS akan memberikan kestabilan terhadap politik Sabah untuk tempoh lima tahun hayat DUN.

Dengan sokongan tiga ADUN Bebas itu, GRS mempunyai 41 kerusi memberikannya keselesaan untuk berkuasa.

Jika tidak ada anggota GRS sendiri yang bertindak khianat, dengan melompat ke parti lawan, kemungkinan kerajaan GRS ditumbangkan oleh undi tidak percaya oleh WARISAN di DUN tidak akan berlaku.

Setia kepada gabungan

Sudah tentu prasyarat kepada kestabilan politik Sabah pasca-PRN ke-16 adalah setiap ADUN GRS kekal setia dengan gabungan yang telah memberikan mereka kemenangan untuk mengambil alih kuasa pada 26 September 2020.

Inilah masanya untuk menamatkan guruan bahawa akronim KK adalah untuk Kota Kinabalu bukannya "Kota Katak". Kecenderungan para ADUN dan Ahli Parlimen melompat parti selepas terpilih menjadi Yang Berhormat hendaklah dijadikan satu sejarah.

Hindari penghijrahan ke parti lain semata-mata untuk memuaskan kepentingan peribadi. Rakyat tidak memilih anda untuk anda mengkhianati mereka.

Sewajarnya begitu. Pemilihan yang telah dibuat oleh rakyat hendaklah dihormati, bukannya dikhianati.

Justeru, keputusan tujuh ADUN PBS yang menang di bawah payung GRS menolak lamaran parti lawan untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baharu bersama WARISAN Plus dilihat sebagai satu keputusan politik yang bermaruah.

Malah melalui GRS yang berkuasa di negeri dan disokong pula oleh kerajaan Persekutuan di Putrajaya, PBS akan dapat berkhidmat kepada rakyat Sabah dengan lebih efisien lagi.

Dan sudah tentu, dalam kerajaan negeri yang baharu itu nanti, tujuh ADUN PBS itu akan turut diberi peranan yang sewajarnya dalam jentera pentadbiran Sabah.

Tetapi yang lebih penting, dengan menolak tawaran lumayan parti lawan bagi mendapatkan ganjaran dan jawatan, PBS ingin membuktikan perjuangannya adalah berpaksikan prinsip. Pegangan mulia ini yang sudah tidak begitu ada dalam dunia politik hari ini.

-- BERNAMA

Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)