NOTA KAMPUS

EKOPELANCONGAN HUTAN PAYA BAKAU: PENDIDIKAN ALAM SEKITAR KEPADA MASYARAKAT

02/10/2020 11:02 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Ehwan Ngadi

Malaysia yang terletak di kawasan tropika membolehkan negara ini mempunyai pelbagai jenis hutan yang unik. Salah satu hutan unik yang terdapat di negara ini adalah hutan paya bakau. Hutan paya bakau di Malaysia banyak tertumpu di kawasan pantai berselut dan di muara sungai khususnya di kawasan pantai barat semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Hutan ini merupakan hutan yang mempunyai nilai produktiviti yang tinggi berbanding hutan-hutan lain yang terdapat di Malaysia. Hal ini menyebabkan hutan ini berupaya menyerap sumber karbon lebih tinggi berbanding hutan-hutan lain yang terdapat di negara ini.

Kepelbagaian biologi

Hutan paya bakau merupakan hutan unik yang mampu bertaburan di kawasan persekitaran ekstrim dan air masin. Hutan ini terdiri daripada pelbagai spesies pokok bakau seperi Bakau Kurap, Bakau Minyak, pelbagai jenis Tumu, Nyireh dan sebagainya. Hutan paya bakau menjadi habitat pelbagai spesies fauna seperti monyet, ular, memerang, burung serta menjadi kawasan pembiakan pelbagai jenis kerang, krustasia dan juga ikan. Hal ini menjadikan hutan paya bakau sebagai sebuah kawasan yang mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi.

Selain berfungsi sebagai habitat semula jadi pelbagai spesies flora dan fauna, hutan paya bakau berperanan sebagai pelindung semula jadi kepada bencana alam seperti tsunami, ombak besar serta ribut. Hutan paya bakau mampu menyerap gelombang besar ombak serta angin kencang seterusnya membolehkan kawasan pesisiran pantai yang dilitupi hutan paya bakau selamat daripada impak bencana. Pada masa yang sama, hutan ini mempunyai nilai ekonomi yang tinggi kepada penduduk setempat. Ia menyediakan sumber ekonomi sama ada dari sumber perikanan, kayu arang dan ekopelancongan kepada penduduk setempat.

Ancaman terhadap hutan paya bakau

Seiring dengan masa, hutan paya bakau kini berdepan ancaman kemerosotan fungsi dan integritinya akibat tuntutan pembangunan dan ekonomi. Banyak kawasan hutan paya bakau telah ditebus guna dan diceroboh untuk dijadikan kawasan pertanian. Hutan ini ditebang dan ditambak bagi membuka ladang pertanian seperti kelapa sawit. Hutan paya bakau juga berdepan dengan ancaman lain seperti pembukaan kolam-kolam udang dan ikan secara komersial. Ini sekali gus menyebabkan penebangan hutan berlaku dengan serius dan ancaman pencemaran di kawasan hutan tersebut. Pada masa yang sama, ada kawasan paya bakau yang ditukar menjadi kawasan penempatan manusia seperti di Hutan Paya Bakau Bukit Malut di Langkawi. Hutan paya bakau mula kehilangan fungsi utamanya dan mengakibatkan banyak kesan negatif terhadap alam sekitar. Perkara ini telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah Ar Rum ayat 41. Ayat ini memerihalkan tentang kesan negatif akibat kerosakan alam yang dilakukan oleh manusia sendiri, yang mana kesannya akan dirasai oleh mereka.

Akibat daripada kemerosotan hutan paya bakau, kesan-kesan negatif aktiviti ini telah menyebabkan kemerosotan hasil tangkapan nelayan seperti ikan, ketam dan kerang yang sebahagiannya berpunca daripada kehilangan kawasan hutan paya bakau yang menjadi tempat pembiakan hidupan laut. Pada masa yang sama, ia mengakibatkan masalah hakisan pantai yang disebabkan oleh kehilangan penahan ombak semula jadi ini. Pemendapan sedimen di muara sungai kesan daripada kemusnahan kawasan hutan paya bakau boleh menjejaskan kawasan muara sungai dan mengakibatkan banjir terutamanya selepas hujan lebat dan semasa air pasang besar.

Bercerita mengenai hutan paya bakau, ancaman, kesan serta usaha pemuliharaan, masyarakat perlu tahu dan dididik mengenai kepentingan pemuliharaan kawasan ini yang menjadi nadi penting kepada ekosistem dan masyarakat. Usaha pendidikan ini amat penting bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang fungsi, kepentingan serta kaedah pemuliharaan bagi menjamin kelestarian dan ekosistem yang mapan. Oleh yang demikian, peranan dan fungsi pemandu pelancong alam semula jadi ditagih bagi membantu mendidik masyarakat menghargai alam semula jadi. Ini bertepatan dengan Surah Hud ayat 61 yang menjelaskan tentang perintah Allah SWT kepada manusia untuk memakmurkan bumi yang jelas merupakan peranan semua pihak. Ini menjelaskan bahawa tugas untuk memberi kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar perlu dilakukan. Dalam konteks ini, pemandu pelancong alam semula jadi merupakan individu terpenting dan layak dalam memberi pendidikan alam sekitar kepada masyarakat khasnya pengunjung.

Pemandu pelancong alam semula jadi merupakan pemandu pelancong terlatih dan berkemahiran yang menjalankan kerja-kerja menyantuni pelancong dan menikmati keindahan alam semula jadi. Pemandu pelancong alam semula jadi ini mempunyai peranan yang sangat besar dalam mempromosikan pemuliharaan alam sekitar. Hal ini kerana, pemandu pelancong merupakan individu yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan luas terhadap ekosistem di hutan paya bakau.

Melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki, pemandu pelancong dapat berkongsi maklumat mengenai hutan paya bakau, fungsi dan peranannya dengan tepat. Pada masa yang sama mereka perlu menerangkan kepada pengunjung terutamanya ancaman yang dihadapi oleh hutan paya bakau, risiko serta kesan negatif sekiranya hutan paya bakau mula kehilangan fungsi dan integritinya. Pengunjung boleh dibawa melihat pelbagai spesies flora dan fauna yang terdapat di dalam hutan paya bakau dan mereka boleh mengenali spesies-spesies tersebut secara dekat. Melalui pendekatan ini, maklumat tentang hutan paya bakau yang berguna dan bermanfaat dapat dikongsikan kepada pengunjung secara tidak formal dan santai. Ia sekali gus mampu menjentik hati pengunjung agar memelihara alam semula jadi terutamanya hutan paya bakau.

Kefahaman tentang pembangunan lestari

Melalui perkongsian ini, pengunjung dapat mengetahui peranan hutan paya bakau yang bukan sahaja berfungsi sebagai habitat kepada flora dan fauna, tetapi juga membantu pengunjung memahami kepentingannya dalam sektor ekonomi dan sumber makanan setempat. Oleh yang demikian, maklumat yang disampaikan oleh pemandu pelancong alam semula jadi sewajarnya perlu mencakupi kepentingan kepada ekosistem dan masyarakat. Hal ini amat penting bagi meningkatkan kefahaman tentang pembangunan yang lestari kepada masyarakat dan pada masa yang sama berupaya memelihara ekosistem hutan paya bakau.

Kesimpulannya, bagi memastikan kelangsungan hutan paya bakau dalam menyediakan perkhidmatan ekosistem yang baik kepada manusia dan alam sekeliling, masyarakat terutamanya pengunjung perlu dididik untuk menghargai dan memulihara alam semula jadi. Usaha ini bukan hanya merupakan tugas guru di sekolah semata-mata, tetapi ia menjadi amanah kepada pemandu pelancong alam semula jadi dalam memberi kesedaran kepada masyarakat. Ia jelas sekali menunjukkan pendidikan itu bukan hanya bertumpu di sekolah sahaja, tetapi boleh berlaku di mana-mana asalkan yang menyampaikan ilmu itu adalah mereka yang berilmu pengetahuan dalam mencetuskan rasa kesedaran kepada masyarakat.

-- BERNAMA

Dr Ehwan Ngadi ialah Pensyarah Kanan Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)