PENA WANITA
17/09/2020 04:41 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Sitinurbayu Mohd Yusoff



Dalam usaha mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan Bulan Kebangsaan, setiap tahun kerajaan akan menganjurkan kempen Hari Kebangsaan bagi menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat. Kempen merupakan satu set aktiviti yang dirancang oleh seseorang dalam jangka masa tertentu untuk mencapai sesuatu objektif.

Dalam mencapai misi dan matlamat, setiap kempen berbeza dari segi pendekatannya bergantung kepada objektif dan khalayak sasaran. Matlamat utama kempen kesedaran awam bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai sesuatu dasar, perkhidmatan, program atau mengenai sesuatu isu. Oleh itu, kerajaan bertanggungjawab merancang dan melaksanakan kempen Hari Kebangsaan dengan teliti bagi mencapai tujuan yang direncanakan agar dapat dihayati dengan sepenuh hati oleh golongan sasar.


Setiap tahun kerajaan akan menganjurkan kempen Hari Kebangsaan bagi menyuntik semangat dalam kalangan masyarakat umum agar berkobar-kobar meraikan hari “kemenangan” ini. Antara mekanisme kempen penghayatan Hari Kebangsaan adalah Kempen Kibar Jalur Gemilang, Pertandingan Mencipta Logo Hari Kebangsaan, Kembara Merdeka, Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan dan kandungan kempen oleh media massa seperti iklan, lagu patriotik dan sebagainya.

Membina masyarakat belia yang mempunyai idealisme perjuangan dalam gelombang arus perubahan kebendaan yang berlaku sekarang merupakan satu cabaran yang amat besar. Justeru, kempen Hari Kebangsaan perlu berfungsi sebagai mekanisme komunikasi dalam menyampaikan mesej yang jelas dan jitu tentang masyarakat dan negara pada waktu sambutan Hari Kebangsaan tersebut. Hal yang demikian dapat membantu kerajaan membibitkan aspirasi bagi memajukan negara menerusi semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.


Wahana menyampaikan mesej


Penghayatan erti kemerdekaan bukan hanya terletak pada logo dan tema sahaja tetapi sebenarnya kempen Hari Kebangsaan juga merupakan salah satu mekanisme penting dalam menyambut peristiwa yang bersejarah ini. Pelbagai cara dilakukan dalam proses menerapkan, menyubur dan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda masa kini.

Selain menerusi pendidikan di sekolah, kempen Hari Kebangsaan dan lagu patriotik juga boleh digunakan sebagai medium untuk menyampaikan mesej tentang patriotisme kepada belia seluruh Malaysia. Semangat patriotisme penting dalam membentuk kestabilan dan kemakmuran negara terutamanya dalam era globalisasi ini. Belia perlu mempunyai semangat juang yang tinggi dan tidak mudah berputus asa apabila mendepani cabaran. Belia seharusnya sentiasa bersikap positif, kental dan terus bersemangat apabila ditimpa dugaan dalam usaha mempertahankan negara. Sikap patriotisme dan nasionalisme perlu wujud dalam diri mereka agar mampu menjadi seorang pejuang bangsa yang disegani dan dihormati.


Belia dan semangat patriotisme


Jati diri masyarakat Malaysia harus dipupuk secara mendalam pada sanubari hati kerana kefahaman yang jelas dan mantap mengenai patriotisme akan melahirkan jati diri yang unggul dalam diri generasi muda di Malaysia. Pengukuhan solidariti dalam kalangan masyarakat Malaysia khususnya dalam menghadapi cabaran dan dugaan demi mencapai cita-cita sebagai sebuah negara bangsa dapat dipupuk melalui kebersatuan menggenggam semangat patriotisme dan nasionalisme. Kesedaran terhadap aspirasi kerajaan dalam kalangan rakyat lahir daripada kemahuan individu dan kumpulan komuniti dalam sesebuah negara untuk memberikan sumbangan kepada negara.


Belia merupakan golongan pelapis kepada kepimpinan sesebuah negara. Sementelah, kelestarian kepimpinan yang baik adalah prasyarat kepada semangat mencintai negara terutama melalui acara sambutan Hari Kebangsaan tahunan di negara ini. Seorang belia yang mempunyai semangat patriotik akan berusaha mengharumkan nama bangsa dan negaranya dalam semua bidang yang melibatkan kepentingan kehidupan peribadi, profesional dan kemasyarakatan serta akan menjaga nama baik negara walau apa juga cabaran yang mendatang.


Impak kempen terhadap belia


Untuk merealisasikan impian membentuk sebuah negara yang maju dan berdaulat, generasi muda pada hari ini perlu mempunyai kesedaran dan keberanian mengambil tanggungjawab mempertahankan negara dari segala bentuk ancaman. Ini hanya berlaku sekiranya dalam diri setiap anak muda masyarakat Malaysia ada tersemat semangat nasionalisme dan patriotisme yang menjadi kunci kekuatan semangat dalam sanubari mereka.

Menerusi kempen yang dianjurkan, ia secara tidak langsung telah berjaya menyedarkan masyarakat tentang kepentingan penyatuan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Aktiviti-aktiviti yang mengisi kempen Hari Kebangsaan telah menyerlahkan keperibadian masyarakat Malaysia. Masyarakat menyambut baik kempen yang dianjurkan oleh kerajaan dengan mengambil bahagian dalam kempen-kempen tersebut.


Penyertaan dari masyarakat ini merupakan ciri-ciri penting ke arah pembentukan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat sivil yang efektif. Apabila masyarakat mula memberi maklum balas, ini bermakna mereka peka dan mengambil berat tentang sesuatu kempen. Sekiranya tiada lansung tindak balas atau respons yang dilakukan bermakna usaha kerajaan mengadakan kempen-kempen penghayatan Hari Kebangsaan adalah sia-sia dan tidak ada fungsinya serta tidak memberikan apa-apa makna. Masyarakat akan menolak atau mengabaikan dan cenderung menunjukkan sikap tidak mengambil tahu serta tidak mahu mengambil bahagian dalam apa-apa kempen yang dianjurkan.

Kempen penghayatan Hari Kebangsaan sememangnya penting dalam membantu pihak kerajaan membentuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat. Sungguhpun begitu, usaha menanam dan mencorakkan semangat patriotisme ini hanya dapat dijayakan sekiranya kempen dirancang dan dilaksanakan dengan betul, ia mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam diri masyarakat terhadap negara tercinta.


--BERNAMA


Sitinurbayu Mohd Yusoff, merupakan pensyarah program Komunikasi, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan