TINTA MINDA

PUPUK PERPADUAN, JAUHI FIKIRAN DIRACUNI TOKSIK

16/09/2020 08:04 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw dan Abdul Hamid Moiden

Bersepadu menangani segala-segalanya. Itulah kata-kata positif yang perlu disemai dalam jiwa setiap individu dalam menangani segala dugaan dan cabaran tanpa mengira agama, kaum dan bangsa. Kesepaduan pula sebenarnya telah lama tercapai di negara kita contohnya antara pemimpin dan rakyat.

Rakyat memberikan mandat kepada pemimpin dan pemimpin pula melaksanakan amanah mensejahterakan rakyat dan negara. Kesepaduan sudah dicapai melalui pembentukan 'tapak integrasi' yang dibina berasaskan prinsip bargaining, negotiation and mediation (tawar-menawar, perundingan dan pengantaraan).

Fikiran diracuni toksik

Namun segala usaha ke arah kesepaduan tidak akan tercapai jika kita berhadapan dengan manusia yang fikirannya diracuni toksik. Pada mata golongan ini, jalan yang lurus akan kelihatan bersimpang-siur.

Gawang fikiran yang penuh dengan toksik pastinya akan gagal mentafsir yang benar dan salah. Jalan yang benar pastinya kelihatan berliku dan penuh dengan batu-batu kehitaman dalam minda mereka.

Sejak kebelakangan ini kami terkejut gelagat manusia yang pemikirannya diracuni toksik dalam pelbagai organisasi sosial. Kami merasakan isu ini perlu diketengahkan sebagai iktibar untuk diri sendiri dan sebagai pengajaran untuk para pembaca yang budiman.

Cerita-cerita tentang keikhlasan seseorang jujur dimanipulasi dengan pelbagai propaganda jijik bukanlah cerita luar biasa dalam kalangan masyarakat. Pelbagai tohmahan dan cakap-cakap belakang disasarkan oleh golongan ini secara tersembunyi persis peribahasa Melayu, lontar batu sembunyi tangan.

Fikiran yang diracuni toksik sukar dipulihkan. Manusia yang fikirannya diracuni toksik bukan sahaja lupa diri tetapi mereka juga kerap kali lupa daratan. Mereka merasakan diri mereka hebat lagi sempurna. Perbuatan mereka mengkritik secara membuta tuli, menghina, mengeji dan mengumpat umpama virus yang akan meruntuhkan sesebuah institusi dari dalam.

Tidak salah jika kritikan mereka untuk merubah sesuatu menjadi lebih baik dengan cara yang positif. Jika kritikan yang diberikan sentiasa bersifat menyinggung perasaan atau menghina, maka sudah tentulah menjadi ancaman yang menggoncang ikatan persahabatan dan menggugat perpaduan negara. Gunakanlah pendekatan berhemah dalam mencari penyelesaian.

Dugaan COVID-19

Penularan wabak COVID-19 di negara sekali lagi menjadi medan menguji hati kita. Kita melihat ketelusan hati beberapa individu, korporat dan persatuan menyalurkan pelbagai bantuan kepada mereka yang memerlukan dengan ikhlas. Keikhlasan mereka ini ada kalanya menjadi berita muka dalam akhbar-akhbar tempatan.

Ramai yang mengelar kumpulan ini sebagai ‘wira negara’. Namun, segelintir manusia yang fikirannya diracuni toksik mengkritik dan menghina mereka. Pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew yang bertungkus-lumus menghulurkan bantuan turut menerima kecaman. Beliau dikritik dan dicemuh oleh beberapa pihak. Keikhlasan beliau membantu pelbagai kaum dipersoalkan.

Usaha murni beliau mengundang rasa tidak senang beberapa pihak yang mengatakan figura dakwah ini mengejar populariti murahan. Namun, ketika mereka memukul canang menghebohkan fitnah, pelbagai lapisan masyarakat berdiri teguh di sisi Ustaz Ebit Lew memberikan sokongan moral. Tangan Ustaz Ebit Lew terus menghulur selagi ada yang memerlukan bantuan. Mereka yang fikirannya diracuni toksik tidak mampu melemahkan semangat Ustaz Ebit Lew untuk memberi dan terus memberi.

Merdekakan hati kita

Bumi bertuah kita sudah lama merdeka. Rakyat berbilang bangsa berganding bahu dan bersatu hati dengan pemimpin tempatan menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Hati-hati mereka diikat dengan tali kasih sayang. Pada waktu itu tiada racun toksik dalam pemikiran mereka. Mereka bulat hati menuntut kebebasan. Akhirnya, negara kita dibebaskan daripada belenggu penjajah.

Semangat inilah perlu kita contohi dalam memperkasa kesepaduan dalam kalangan kita. Marilah kita mengambil keberkatan bulan kemerdekaan ini dengan memerdekakan segala bentuk toksik yang meracuni pemikiran kita selama ini.

Biarlah 31 Ogos 2020 menjadi lembaran baharu dalam persepsi kita menilai orang melihat sisi positif masyarakat di sekitar kita. Aib dan kekurangan orang lain kita tutup rapat. Bumi mana tidak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora?

Kesimpulannya, hati-hatilah dengan fikiran yang diracuni toksik. Jika baik hati seseorang, maka baik pemikiran dan tingkah lakunya. Ingatlah, bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru. Janganlah menjadi seperti harimau yang menyembunyikan kukunya. Hiduplah seperti lilin menerangi orang lain, janganlah hidup seperti duri mencucuk diri dan menyakiti orang lain. Sebarkan kasih sayang, jauhi toksik fikiran.

-- BERNAMA

Prof Madya Ts Dr Jessica Ong Hai Liaw merupakan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pascasiswazah, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan dan Abdul Hamid Moiden ialah pelajar Doktor Falsafah (Pendidikan), Pusat Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)