NOTA KAMPUS
15/09/2020 09:02 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Datuk ChM Dr. Taufiq Yap Yun Hin

Tanggal 16 September merupakan tarikh yang sangat bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia khususnya bagi Sabah dan Sarawak kerana ia adalah tarikh rasmi pembentukan Persekutuan Malaysia hasil penyatuan Persekutuan Tanah Melayu bersama-sama Sabah, Sarawak dan Singapura. Bagaimanapun Singapura telah keluar daripada Malaysia untuk menjadi sebuah republik pada 9 Ogos 1965.

Pada asalnya, Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena sambutan rasmi Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah. Bagaimanapun mulai tahun 2010, tarikh 16 September telah diiktiraf sebagai cuti umum bagi semua negeri di Malaysia.

Mencari persamaan

Malaysia adalah sebuah negara yang sangat unik. Ini adalah kerana Malaysia dianugerahkan dengan keindahan alam yang amat menawan serta dikurniakan kekayaan sumber alam yang melimpah. Di samping itu kita juga memiliki kelebihan dengan kepelbagaian yang amat besar daripada pelbagai sudut seperti keturunan/etnik, agama, kepercayaan, budaya, bahasa, makanan dan macam-macam lagi.

Walaupun begitu, kepelbagaian yang besar ini memberikan cabaran besar dalam pembentukan sebuah masyarakat yang boleh hidup dalam keharmonian khususnya dengan hubungan antara etnik dan kaum. Interaksi dalam kepelbagaian ini menuntut supaya setiap anggota masyarakat saling memahami, menghargai, menghormati, menjiwai dan menerima keadaan ini dengan sikap dan hati yang terbuka. Setiap anggota masyarakat hendaklah menerima ketentuan yang telah dianugerahkan kepada kita dan bersyukur kepada Tuhan pencipta makhluk seluruh alam semesta ini. Perbezaan yang amat nyata mungkin agak sukar untuk diterima oleh sesetengah pihak akan tetapi terimalah ia sebagai hak kekuasaan Tuhan. Berbeza bukan bermakna kita tidak boleh hidup bersama, malah kesatuan dalam kepelbagaian melahirkan insan yang tahu hakikat kejadian seorang manusia kerana di dalamnya pasti wujud persamaan. Kita hendaklah melihat dan mencari titik persamaan antara kita dan bukannya sengaja mencari perbezaan semata-mata.

Manusia di sisi Tuhan mendapat kemuliaan sepertimana diciptakan oleh Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Esa. Tiada seorang manusia pun yang sama sepenuhnya walau sepasang anak kembar seiras pun tetap mempunyai perbezaan yang boleh dikenal pasti. Perbezaan adalah rahmat yang memberikan kekuatan kepada kita. Rakyat Malaysia sangat bertuah kerana mampu meraikan pelbagai perayaan dengan penuh harmoni dan aman. Pemimpin-pemimpin negara dari dulu sehinggalah sekarang sentiasa berpesan agar kita tidak memandang ringan soal menjaga hubungan antara masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di negara ini kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk dikekalkan.

Punca peradaban bangsa terjejas

Antara faktor terbesar yang boleh menyebabkan rosaknya peradaban bangsa dan negara ialah perselisihan dan perpecahan yang berpanjangan. Sebarang pergeseran dan pertelingkahan yang wujud justeru perbezaan sosial yang sedia ada dalam masyarakat majmuk mestilah diselesaikan dengan segera melalui jalan perundingan yang baik.

Masyarakat majmuk Malaysia menolak keganasan kerana ia bukannya satu cara penyelesaian. Perundingan menghasilkan kompromi dan dapat mengawal keadaan untuk menjadi lebih harmoni. Pengabaian terhadap etika dan moral, ketika berbeza pendapat serta menjadikan ilmu sebagai modal untuk berselisih, akhirnya akan menghancurkan masyarakat itu sendiri. Manusia tidak dilarang sama sekali daripada mempunyai perbezaan pendapat, pokoknya adab dan etika mesti dipatuhi. Jika tidak dijaga disiplin dan adabnya akan menimbulkan implikasi yang buruk dan menjatuhkan imej pada pandangan umum Adab adalah sebahagian daripada akhlak. Kemuliaan manusia dilihat pada akhlaknya sendiri.

Dua perkara penting yang mesti diamalkan sesama manusia untuk mengekalkan perpaduan dalam kepelbagaian ialah:

  1. Niat yang ikhlas dalam mencari yang hak serta melepaskan diri daripada hawa nafsu.

  2. Berlapang dada dalam menerima kritikan dan memahami perbezaan itu adalah fitrah.

Prinsip yang mesti diamalkan masyarakat adalah semangat perkongsian. Berkongsi menikmati kemakmuran negara bersama secara adil dan saksama sepertimana termaktub dalam ikrar Rukun Negara yang dilancarkan pada tahun 1970.

Toleransi asas pembinaan negara

Dalam keadaan negara yang masih berhadapan dengan pandemik COVID-19, pengorbanan untuk kelangsungan hidup adalah lebih utama. Elakkan perasaan ego yang tidak bertempat masing-masing demi kepentingan dalam pembinaan negara Malaysia.

Hargai perbezaan satu sama lain dan belajarlah untuk lebih bertoleransi. Amalan mulia ini menyedarkan kita bahawa kita semua adalah milik Tuhan. Kita semua tidak kekal selama-lamanya. Setiap insan yang hidup akan kembali kepada Tuhan. Sudah tentu kita mahu meninggalkan legasi bagi generasi masa depan untuk hidup dengan lebih aman hasil daripada usaha kita sekarang.

Semoga seluruh masyarakat Malaysia akan meletakkan agenda besar yang utama untuk kepentingan masyarakat dan negara agar Malaysia terus aman damai, maju dan disegani dan terus dihormati oleh dunia antarabangsa.

--BERNAMA

Professor Datuk ChM Dr. Taufiq Yap Yun Hin merupakan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan