PENA WANITA

KEPENTINGAN LITERASI DAN NUMERASI PADA AWAL USIA

19/08/2020 12:04 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Chahaya Abdul Manan

Pada 2009, Kementerian Pendidikan melaksanakan program literasi numerasi atau LINUS 1.0 bagi membantu pelajar di peringkat sekolah rendah. Program ini menjadi altenatif kebangsaan untuk mengatasi masalah buta huruf dan masalah tidak mampu menguasai membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan para pelajar.

Di bawah program ini, semua murid Tahun Satu akan menduduki ujian LINUS Saringan 1 untuk menilai tahap penguasaan kemahiran asas mereka pada awal tahun setiap tahun. Program ini dikendalikan oleh guru Bahasa Melayu (BM), Matematik dan Pemulihan. Instrumen dibina dalam dwibahasa iaitu BM-Bahasa Inggeris (BI), Bahasa Cina-BI dan Bahasa Tamil-BI.

Murid yang lemah mempunyai tempoh sehingga tiga tahun sehingga Tahun Tiga. Para pelajar yang lemah dan belum mencapai tahap penguasaan kemahiran ini akan dipantau dan diberikan pengukuhan sehingga mereka mereka benar-benar mahir dan boleh belajar dengan sendiri.

Kebimbangan ibu bapa

Pada 2013, LINUS 2.0 diperkenalkan berikutan kejayaan LINUS 1.0 yang memberangsangkan. Sejak program ini diperkenalkan, sebanyak 99.84 peratus murid Tahun Tiga berjaya menguasai literasi (membaca dan menulis) manakala 99.92 peratus murid berjaya menguasai asas numerasi (mengira).

Namun, apabila program LINUS tidak lagi diteruskan pada 2019, ramai ibu bapa mula resah kerana anak mereka bakal berdepan situasi lebih sukar untuk menghadapi sesi pembelajaran formal di sekolah. Pendekatan sokongan yang dikendalikan di peringkat sekolah yang dilihat tidak seragam dan kurang berkesan mencetuskan kebimbangan ibu bapa.

Tindak balas sebilangan ibu bapa yang membawa anak-anak menjalani pemeriksaan seperti ujian disleksia selepas tidak boleh membaca dalam masa tiga bulan jelas menunjukkan tahap anak-anak sekolah yang buta huruf semakin serius.

Pada setiap tahun, pihak pentadbiran sekolah semakin risau dengan pertambahan bilangan murid yang tidak boleh membaca. Menerima murid yang belum boleh membaca bererti tugas guru Tahun Satu lebih berat kerana terpaksa mengambil alih beban guru tadika bagi mengajar kanak-kanak mengenal huruf dan membunyikan suku kata.

Sedangkan pada masa yang sama guru juga perlu menghabiskan sukatan pembelajaran untuk murid lain.

Rata-rata guru Tahun Satu mengharapkan anak-anak yang bakal masuk ke sekolah telah dipersiapkan dengan kemahiran asas seperti membaca, menulis, mengeja dan mengira. Penguasaan kemahiran asas ini membolehkan murid mengikuti pembelajaran dengan optimum dan bersaing secara sihat di dalam bilik darjah.

Apabila anak-anak belum boleh membaca, bermakna mereka belum bersedia untuk mengikuti sesi persekolahan. Namun bersedia atau tidak, sampai usia 7 tahun anak-anak tetap perlu didaftarkan di sekolah rendah.

Penguasaan 3M

Murid yang tidak menguasai 3M akan mengalami masalah tiada keyakinan diri apabila hadir ke sekolah. Kesan psikologi lebih ketara boleh berlaku seperti tertekan atau perasaan rendah diri.

Bagaimana mungkin murid dapat menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) jika mereka masih pada tahap buta huruf? Murid tidak dapat menguasai pelbagai ilmu dan tidak dapat menyiapkan tugasan sekolah yang diminta oleh guru. Pastinya situasi sebegini ini akan memberikan impak serius terhadap prestasi kecemerlangan sekolah.

Kenyataannya, keupayaan antara seorang murid dengan murid lain adalah tidak sama. Tidak boleh membaca bukan bermakna semua anak boleh dikategorikan sebagai murid istimewa atau Orang Kurang Upaya (OKU).

Namun, murid terbabit boleh dibantu pada peringkat lebih awal sekiranya ibu bapa bertindak secara proaktif dengan membawa anak-anak menjalani ujian di pusat perubatan yang diiktiraf bagi mengenal pasti tahap anak-anak menguasai 3M.

Peranan ibu bapa

Proses diagnosis ini membolehkan anak-anak dimasukkan ke kelas pemulihan. Kemasukan murid ke kelas pemulihan bermakna mereka diasingkan daripada kelas perdana.

Belajar di kelas pemulihan boleh memberi kesan positif dan negatif. Secara positifnya anak-anak akan diajar dengan cara yang betul untuk menguasai 3M manakala kesan negatif lebih ketara apabila murid terpaksa mengikuti kelas pemulihan sehingga bertahun-tahun yang boleh menimbulkan perasaan rendah diri yang serius.

Sebilangan ibu bapa juga tidak boleh menerima kenyataan apabila anak dimasukkan ke kelas pemulihan. Persoalan punca anak mereka mengalami masalah pembelajaran sehingga diasingkan dari kelas biasa sering menimbulkan masalah sampingan.

Ada ibu bapa yang mula mengambil inisiatif mengajar sendiri tanpa memahami persoalan sebenar yang sedang dihadapi anak yang gagal menguasai 3M. Campur tangan ibu bapa tanpa ilmu ini menimbulkan kesan negatif terhadap perkembangan kejiwaan anak-anak.

Terdapat juga kes yang menimbul konflik kekeluargaan termasuk sehingga menyalahkan pasangan sendiri dengan alasan genetik dan keturunan apabila tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak mereka dikategorikan sebagai OKU.

Berdasarkan pengalaman saya, ada ibu bapa yang menghadapi masalah lebih serius sehingga bercerai kerana gagal mengawal tekanan berpunca daripada masalah pembelajaran anak seperti ini.

Masalah buta huruf tidak sewajarnya dilihat dalam aspek pendidikan sahaja. Apa yang lebih penting adalah pembangunan jiwa anak-anak yang perlu diperhalusi.

Pertubuhan Penggalak Membaca Malaysia (PPMM) memandang serius permasalahan penguasaan 3M dalam kalangan kanak-kanak. Usaha memupuk kesedaran masyarakat supaya lebih peka dan responsif terhadap isu yang bersifat global ini digerakkan pada setiap tahun bagi mencapai sasaran kerajaan 100 peratus rakyat Malaysia celik huruf.

-- BERNAMA

Chahaya Abdul Manan adalah Pengerusi Pertubuhan Penggalak Membaca Malaysia (PPMM) dan Aktivis Membaca Awal Usia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)