KOLUMNIS BERNAMA
15/07/2020 08:55 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Nampaknya angin penentangan terhadap rancangan Israel untuk mengilhakan wilayah Palestin dalam kalangan masyarakat antarabangsa, khususnya di benua Eropah, semakin kuat dan kencang.

Sekurang-kurangnya ia kelihatan begitu bagi mereka yang mengikuti perancangan rejim zionis Israel di media antarabangsa sejak akhir-akhir ini.

Misalnya minggu lalu di Berlin, Parlimen Jerman dilaporkan menentang rancangan rejim zionis Israel itu yang dikhuatiri menjejaskan kestabilan di Asia Barat dan meletakkan paku akhir pada keranda penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.

“Keamanan tidak akan dicapai melalui tindakan sebelah pihak,” demikian kata Menteri Luar Jerman Heiko Maas dipetik agensi berita Anadolu.

Kira-kira tiga minggu lalu, lebih 1,000 penggubal undang-undang dari Eropah dalam kenyataan bersama mengecam rancangan pengilhakan wilayah Tebing Barat dan Lembah Jordan.

Mereka menuntut pemimpin-pemimpin di Eropah untuk menghalang pengilhakan, yang secara umumnya adalah konsep undang-undang antarabangsa merujuk kepada tindakan unilateral merampas sesebuah wilayah secara paksa, daripada berlaku.

Ilhak tamatkan penyelesaian dua negara

Alasannya adalah untuk menyelamatkan 'penyelesaian dua negara' yang sepatutnya menyaksikan dua negara ditubuhkan iaitu Palestin dan Israel dalam rundingan damai konflik Israel-Palestin sejak 1967. Sentimen sama turut disuarakan pemimpin United Kingdom (UK) dan Turki.

Harus diingat, tindakan pengilhakan wilayah bukannya sesuatu yang asing kepada dunia dan contoh terkini adalah bagaimana wilayah Krimea diilhakan secara unilateral oleh Rusia melalui peruntukan Undang-Undang Persekutuan Memperakui Krimea Ke Dalam Persekutuan Rusia yang diluluskan Duma pada 21 Mac 2014 dalam konflik Rusia-Ukraine.

Terma pengilhakan bagi rejim zionis Israel bukannya suatu yang baharu. Ia berasal dari perkataan dasar 'ilhak' iaitu kata pinjaman dalam bahasa Arab 'ilhaq' daripada kata kerja 'alhaqa' yang bermaksud menyambung, memasukkan atau menghubung.

Israel secara unilateral mengilhakkan atau merampas secara paksa wilayah timur Baitulmuqaddis Timur (Jerusalem) pada 1980 dan Bukit Golan (dari Syria) 1981 yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, khususnya Resolusi 242 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1967.

Pengilhakan, menurut peguam hak asasi dan juga penasihat kanan kumpulan perunding Palestin ke PBB, Zaha Hassan, adalah jelas salah dan bertentangan dengan Konvensyen Geneva Keempat.

Rancangan pengilhakan Tebing Barat dan Lembah Jordan yang juga sebahagian 'Perjanjian Abad Ini' diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump Januari lalu, menerima tentangan pemimpin Palestin dan negara-negara Islam termasuk Malaysia.

Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 yang berlangsung secara maya akibat impak COVID-19 pada 26 Jun lalu, Malaysia mendesak masyarakat antarabangsa terutama Majlis Keselamatan PBB supaya menolak rancangan pengambilalihan Israel terhadap bahagian wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya dan menolak pengumuman baru-baru ini oleh Israel untuk melaksanakan rancangan pengambil aliha bahagian Wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat,” kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menjelaskan Malaysia tetap berpegang kepada penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Bukan kerana Baitulmuqaddis Timur tetapi demi ketidakadilan


Jika diteliti secara logik, penentangan terhadap rancangan pengilhakan Israel bukan hanya berkisar kepada pengiktirafan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Israel sebaliknya kerana tindakan licik tersirat dalam perjanjian damai diterajui Presiden AS yang juga sekutu kuat rejim zionis.

Melalui rancangan itu, Israel akan merampas 30 peratus bahagian wilayah Palestin di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur dan kawasan Lembah Jordan yang lebih subur dan kaya sumber semulajadi.

Tanah selebihnya iaitu padang pasir dan kawasan padat seperti Gaza, yang dikepung sejak 2007, pula diserahkan kepada Palestin tanpa menyaksikan pengiktirafan Palestin sebagai negara berdaulat dengan syarat peletakan senjata kumpulan Hamas di Gaza.

Adalah mustahil bagi diaspora 13 juta warga Palestin di seluruh dunia untuk mempercayai janji Israel, apatah lagi syarat peletakan senjata oleh rejim zionis selepas mereka melalui puluhan tahun penindasan dan penghinaan sejak tanah air mereka dirampas Israel pada Mei 1948.

Ketika ini, nampak seperti angin penentangan kepada rancangan Israel semakin kuat dalam kalangan negara kuasa besar termasuklah UK yang mana mahu Israel menghormati ketetapan 1967 yang merujuk kepada penyelesaian dua negara.

UK adalah anggota tetap Majlis Keselamatan PBB sepertimana Amerika Syarikat (AS) yang juga 'abang besar' Israel dan mempunyai kuasa veto dalam majlis tertinggi badan dunia itu.

Harus diingat, kegagalan penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin berlaku kerana komuniti dunia sebelum ini gagal mengambil tindakan tegas ke atas rejim zionis Israel sekalipun berpuluh-puluh resolusi dan undang-undang antarabangsa dicabuli rejim zionis.

Inilah akibat hipokrasi masyarakat dunia, khususnya negara-negara yang mempunyai hubungan dagang dengan Israel, yang lantang bersuara di pentas antarabangsa tetapi gagal mengenakan sekatan ekonomi atau sebarang bentuk tindakan tegas yang mengingatkan rejim Israel bahawa mereka juga tertakluk kepada undang-undang dunia.

Inilah 'bargaining chip' yang seharusnya digunakan negara terbabit jika mereka benar-benar serius untuk melihat penyelesaian dalam konflik Israel-Palestin yang berlanjutan sejak 74 tahun lalu.

Siapa agaknya yang bakal bersuara, bertindak dan berdiam diri atau bersikap hipokrit apabila Benjamin Netanyahu mengumumkan langkah pengilhakan Tebing Barat dan Lembah Jordan pada bila-bila masa bulan ini.

--BERNAMA

Syed Azwan Syed Ali ialah wartawan kanan BERNAMA, yang pernah membuat liputan di zon konflik dan bencana termasuk di wilayah Gaza (Palestin) pascaserangan Israel ke atas wilayah konflik itu.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan