TINTA MINDA

BERSASTERA SEMASA PANDEMIK

20/05/2020 01:48 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Tuan Asri Husin

Dapatan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mencatatkan bahawa jumlah penggunaan internet dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat kepada 87.4 peratus berbanding 79.6 peratus berbanding jumlah populasi pada 2018. Peningkatan mendadak ini dengan kadar luangan masa purata selama 8 jam sehari meletakkan Malaysia dalam kalangan lima negara yang mempunyai penembusan jaringan mudah alih tertinggi di Asia Tenggara.

Peningkatan statistik ini juga menunjukkan parameter pertambahan peratusan penggunaan pelantar digital media sosial sebanyak 73 peratus melalui beberapa aplikasi pilihan seperti Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube. Senario normal baharu ini berhubung rapat dengan situasi negara dan dunia yang sedang dilanda pandemik COVID-19.

Di sebalik keghairahan ini, kebimbangan juga muncul sekiranya peningkatan peratusan penggunaan akses internet ini menimbulkan penularan berita atau maklumat yang tidak tepat sehingga wujudnya infodemik dalam kalangan masyarakat.

Kesan pandemik global

Di peringkat global, kehadiran wabak tanpa diundang ini bukan sahaja memberikan kesan terhadap kehidupan seharian penduduk dunia malahan lebih membimbangkan apabila kesihatan mental juga mula terjejas. Agensi berita Reuters melaporkan kajian yang dilakukan ke atas masyarakat di United Kingdom menunjukkan dapatan sebahagian besar daripada 3,000 responden mengalami dampak kegelisahan melampau.

Gaya komunikasi berubah secara drastik daripada komunikasi bersemuka kepada komunikasi dalam talian yang dilihat sebagai normal baharu untuk meneruskan kelangsungan kegiatan harian manusia dalam suasana walang sedunia.

Menariknya, peningkatan isu infodemik dan masalah gangguan sosioemosi ini menyaksikan banyak aktiviti yang telah dirancang dan dilaksanakan bagi memberikan ruang pengisian masa yang berfaedah kepada komuniti.

Kesan sosial terhadap sosioemosi

Pensyarah Jabatan Bahasa dan Sastera Inggeris, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Sosial, Universiti Islam Antarabangsa Prof. Dr. Nor Faridah Abdul Manaf telah melakukan kajian berkaitan kegiatan sastera, seni dan budaya sewaktu COVID-19 melanda dunia. Beliau cuba melihat sejauh mana aktiviti-aktiviti yang bersifat begini telah dilaksanakan di beberapa buah negara dunia dan membuat perbandingan dengan pelaksanaannya di negara Malaysia. Di samping itu, beliau turut melihat apakah kesan aktiviti-aktiviti kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan ini terhadap sosioemosi masyarakat.

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat kegiatan dalam talian yang agak menarik boleh dilihat melalui aktiviti yang dijalankan oleh pihak Zoo Cincinnati. Melalui laman web rasminya, setiap hari mereka berkongsi tentang kegiatan harian yang dijalankan di zoo berkenaan. Ini memberikan pendedahan serta pendidikan kepada anak-anak dan masyarakat mengenai kehidupan haiwan yang mungkin selama ini tidak mereka ketahui. Khalayak awam juga digalakkan untuk menyumbang derma bagi menampung pengurusan dan aktiviti-aktiviti zoo yang boleh memberikan manfaat kembali kepada masyarakat.

Di Washington DC pula, terdapat galeri seni yang menyediakan video-video pameran seni dan salah satu yang sempat beliau tonton ialah mengenai lukisan “ open air” di Eropah pada 1780-1870 yang dikuratorkan oleh Mary Morton. Di United Kingdom, terdapat juga pertubuhan seni dan budaya yang begitu aktif mengendalikan pelbagai kegiatan seni di talian. Di Suffolk, penggiat-penggiat seni membaca karya-karya sastera, menayangkan film pendek mengenai pengalaman penduduk, mengadakan bengkel-bengkel seni dan penulisan di talian.

Dalam kalangan negara Timur Tengah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilihat agak terkedepan dengan mengendalikan majlis-majlis kebudayaan pada setiap hari Rabu dan Sabtu, membincangkan pelbagai topik seni dan budaya yang boleh diikuti khalayak secara dalam talian. Perkara ini agak membanggakan kerana meskipun negara ini agak maju dari aspek ekonomi, namun mereka masih menitikberatkan aspek-aspek seni, budaya dan sastera.

Aktiviti kesenian di Malaysia

Bagaimana pula dengan di Malaysia? Dapatan kajian Prof. Dr. Nor Faridah mendapati bahawa prestasi negara Malaysia agak membanggakan dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh pelbagai pertubuhan dan persatuan. Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) telah menimbulkan fenomena yang luar biasa dengan mengadakan Acara Baca Puisi Dunia: COVID-19 yang melibatkan seramai 300 orang penyair dari 17 buah negara. Acara yang diadakan serentak pada jam 8.30 malam waktu negara masing-masing pada 12 April lalu telah membangkitkan rantaian suara masyarakat dunia untuk bersama-sama menentang wabak COVID-19 dan melahirkan penghargaan kepada barisan hadapan.

PENYAIR juga agak proaktif dengan mengadakan Kempen Duduk Rumah: Membaca dan Menulis melibatkan beberapa aktiviti seperti penghasilan Antologi COVID-19 dan Resensi Buku Asean yang telah menarik penyertaan sebanyak 3500 penyertaan. Selain itu mereka juga sedang giat menjalankan Program Muhibbah Puisi Ramadan Siri 2 dengan menampilkan seramai 16 orang panel pembicara dalam negara dan nusantara untuk membicarakan hal-hal puisi dan kepenyairan secara dalam talian.

Selain PENYAIR, terdapat juga badan dan pertubuhan lain yang agak giat menjalankan aktiviti seperti Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang mengendalikan forum setiap Jumaat di talian dengan membariskan ahli panel yang membincangkan seputar pembacaan dan dunia buku. Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI) menganjurkan Baca Puisi Ramadan Dunia dan Persatuan Penulis Johor mengadakan Baca Puisi Hari Guru Asean. Masakini Theatre, melalui laman facebook (di bawah arahan Sabera Shaik) telah mengabungkan elemen tradisi wayang kulit yang diberikan nafas baharu untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat melalui persembahan pelbagai isu semasa.

Kegiatan sebegini membuktikan bahawa seni, sastera dan budaya memainkan peranan yang amat besar dalam mendidik masyarakat. Kejayaan dan sokongan banyak pihak memberi isyarat kepada pihak kerajaan bahawa bidang ini masih lagi relevan, malar segar dan diterima masyarakat jagat. Iltizam dan usaha kelompok aktivis membangunkan kesedaran kolektif melalui apa jua genre humanis untuk membangunkan kembali oknum psikologi dan emosi khalayak seharusnya disokong tanpa cerca dan prasangka.

-- BERNAMA

Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)