Putuo VIllage Bawa Pengunjung Kembali Ke Alam Semula Jadi

K
ulai, sebuah daerah yang tenang di pinggir bandar raya Johor Bahru, menjadi tajuk berita sebagai hab pusat data di negara ini. Namun, di sebalik hingar-bangar itu, pergerakan waktu di sebuah ceruk di Felda Taib Andak - antara tujuh kawasan felda di Kulai - bagaikan terhenti.      

Di tengah-tengah kehijauan ladang kelapa sawit itu, wujud Putuo Village yang menempatkan sebuah kuil Buddha dan taman buluh seluas 21 ekar. Di sini, buluh hadir dalam hampir setiap aspek kehidupan. Daripada binaan hinggalah karya seni yang menghiasi taman tersebut, hampir kesemuanya diperbuat daripada buluh.

Untuk memahami sebab musabab buluh menjadi tumpuan, seseorang harus terlebih dahulu berkunjung ke tokong yang terletak di atas bukit, hanya beberapa ratus meter dari Taman Buluh. Kampung itu dinamakan bersempena dengan Gunung Putuo di Zhoushan, China, iaitu antara empat gunung suci mengikut kepercayaan penganut Buddha, serta dikaitkan sebagai tempat tinggal mitos Avalokiteshvara (Dewi Belas Ihsan) atau Guanyin dalam bahasa Cina. 

Menurut Chew Ah Wei, seorang petugas di situ, tokong itu dikhususkan untuk Guanyin. Akan tetapi, apakah kaitannya dengan buluh?

“Guanyin paling sinonim dengan buluh. Menurut cerita, dia tinggal di kawasan yang dipenuhi dengan buluh,” katanya sambil mengelap peluh di dahi. Ketika itu matahari tegak di atas kepala dan bahangnya begitu terasa. Kelembapan udara juga tinggi, mengesahkan kehadiran awan hujan yang sedang menghampiri.

Walaupun cuaca panas dan lembap, jumlah pengunjung di tokong tidak berkurangan. Kebetulan hari itu merupakan Hari Wesak, menyaksikan kuil dipenuhi penganut Buddha yang datang untuk berdoa.  Mereka beratur panjang, dari dalam kuil hingga luar kawasan, berhampiran sebuah patung naga gergasi yang bagaikan terapung di atas kepala para pengunjung.

Dengan berat dianggarkan sekitar 200 kilogram, kepala naga itu dalam keadaan mendongak, misainya berjuntai dan mulut pula ternganga menampakkan barisan taring yang tajam. Kaki depannya dengan kuku tajam mengancam, mendepa seolah-olah bersedia untuk menerkam sesiapa sahaja yang tidak menunjukkan rasa hormat dan kagum terhadapnya. Dihasilkan oleh seniman Indonesia dan Malaysia, saiznya yang besar serta perincian yang teliti menjadikan naga itu satu visual mengagumkan.

Sepertimana kuil tersebut, naga itu juga diperbuat hampir sepenuhnya daripada buluh.

“Buluh  melambangkan sesuatu yang baik, sebagai simbol tuah, kejayaan dan kesihatan,” tambah Chew.

Katanya, saban tahun mereka menerima kira-kira 500,000 pengunjung dengan jumlah yang lebih tinggi ketika musim perayaan keagamaan dan perayaan masyarakat Cina. Taman Buluh itu menarik pengunjung daripada pelbagai kaum dan negara, khususnya dari negara-negara ASEAN dan Asia Timur, selain sangat popular dalam kalangan pengguna Instagram yang datang untuk tujuan bergambar.

 

PERMATA YANG TERSOROK

Walaupun popular di Instagram, tidak ramai yang tahu akan kewujudan Putuo Village. Tokong itu dibina pada 2005,  namun melalui proses ubah suai dan reka bentuk semula berasaskan buluh secara besar-besaran pada 2023.

Beberapa pengunjung tempatan termasuk dari Johor sendiri, memberitahu Bernama mereka hanya mengetahui tentang Putuo Village melalui carian Google atau daripada syor rakan-rakan ketika meneroka aktiviti menarik di Kulai.

Para pengunjung tidak melepaskan peluang beriadah sambil menikmati keindahan landskap dan suasana damai di Putuo Village di sini, yang terkenal dengan pelbagai struktur unik serta karya seni berasaskan buluh.

“Kawasan ini merupakan permata tersembunyi,” kata Dr Lee Yoke Lai, ketua Jabatan Senibina Landskap, Universiti Teknologi Malaysia, Kampus Skudai, Johor. 

Walaupun bekerja berdekatan kawasan itu dan terlibat dalam penyelidikan berkaitan penggunaan buluh sebagai penyelesaian berasaskan alam semula jadi, beliau sendiri hanya mengetahui tentang Putuo Village beberapa tahun lalu menerusi adik perempuannya yang pernah berkunjung ke situ. Sejak itu, Lee telah melawat Putuo Village sebanyak dua kali.

Untuk ke Taman Buluh, pengunjung boleh terus ke lokasi itu yang merupakan hentian pertama di Putuo Village. Dari Tokong Guanyin, pengunjung perlu berjalan melalui laluan berturap yang dihiasi kata-kata hikmah Confusius dan simbol-simbol Buddha. Apa yang bermula sebagai perjalanan santai akhirnya bertukar menjadi pendakian ringan ke puncak bukit yang tidak terlalu sukar, tetapi cukup untuk membuatkan mereka yang tidak biasa bersenam tercungap-cungap.

Di puncak, terdapat sebuah kawasan rehat dua tingkat yang hampir keseluruhannya diperbuat daripada buluh, lengkap dengan perabot buluh untuk pengunjung berkelah. Bagi mereka yang terasa kepanasan, terdapat gerai minuman dan ais krim, selain kipas yang dipasang di bangunan itu.

Di sebelah kawasan itu terletak pintu masuk ke Taman Buluh. Bayaran masuk ialah RM10 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak.

Chew berkata taman itu amat popular dalam kalangan pengantin baharu dan pasangan bercinta, selain menampilkan banyak elemen budaya Cina. Simbol-simbol Buddha pula tidak begitu banyak kerana pihak pengurusan mahu menjadikan kawasan itu lebih terbuka dan mesra kepada semua pengunjung.

“Kalau fokus pada Buddha sahaja, hanya penganut Buddha yang akan datang,” katanya.

Taman Buluh itu meliputi kawasan yang sangat luas. Sebaik melangkah masuk, pengunjung akan menemukan laluan yang bercabang ke pelbagai arah. Yang paling sering digunakan ialah laluan utama di tengah-tengah menuju puncak bukit, ke arah sebuah patung kuda bersayap yang diperbuat daripada buluh dan dibina bersempena dengan Tahun Kuda. Pokok buluh tumbuh subur di sepanjang laluan sejauh mata memandang.

Di sana sini kelihatan pelancong sibuk merakam gambar di pelbagai instalasi seni yang terdapat di situ. Selain patung kuda bersayap yang besar, tarikan lain termasuk kincir angin gergasi. Malangnya, hari itu tidak berangin, menyebabkan kincir tersebut tidak berputar. Jika tidak, pemandangan di situ pasti lebih memukau.

Terdapat juga sebuah platform yang menampilkan dua skrol gergasi, dipercayai diperbuat daripada simen. Satu daripadanya memaparkan tulisan kaligrafi Cina manakala satu lagi menampilkan lukisan landskap. Sekilas pandang, skrol itu kelihatan seperti taman papan selaju.

Pengurus Promosi Pelancongan Putuo Village Lim Teck Hwee dalam satu kenyataan kepada Bernama, berkata Taman Buluh turut menampilkan pelbagai instalasi lain termasuk “Fish in the Clouds”, yang memaparkan ikan koi berwarna-warni seolah-olah berenang di lautan awan, melambangkan limpahan rezeki, kemakmuran dan kebebasan mengejar cita-cita.

Satu lagi tarikan ialah “Leisure Umbrella”, iaitu payung buluh gergasi yang mewujudkan ruang santai dan unik di tengah-tengah hutan buluh.

Bunyi loceng yang sentiasa kedengaran, menjadi hiasan latar. Menurut Chew, membunyikan loceng merupakan adat masyarakat Cina untuk menghalau nasib malang dan roh jahat.

Pengunjung yang ditemui Bernama berkata mereka tertarik dengan keindahan semula jadi Taman Buluh.

 “Saya secara peribadi memang sukakan persekitaran yang tenang seperti ini,  menjadi terapi untuk menghilangkan tekanan,” kata Vimala Selvaraj dari Ulu Tiram yang mengambil kesempatan cuti hujung minggu yang panjang untuk mengunjungi Putuo Village bersama-sama dengan suami dan dua orang anaknya.

Katanya dia hanya mengetahui tentang lokasi itu melalui Google.

Pengunjung lain juga senada. Moon, seorang warga Indonesia yang bekerja di Singapura, berkata dia dan suaminya Karis, sudah jemu dengan kehidupan di bandar besar lalu memutuskan untuk berkunjung ke Kulai.

“Johor Bahru sudah terlalu sesak dengan orang. Saya juga tidak suka membeli-belah. Saya lebih suka suasana tenang,” katanya.

 

MENGIMBANGI ALAM DAN BUDAYA

Dalam ajaran Buddha, buluh disifatkan sebagai simbol ketahanan rohani, fleksibiliti dan pencerahan. Dari sudut sains pula, buluh berfungsi sebagai penyerap karbon dan dianggap antara kaedah terbaik untuk membantu mengurangkan kesan perubahan iklim akibat lebihan karbon di atmosfera.

Lee yang juga pakar dalam bidang infrastruktur hijau, berkata penggabungan unsur budaya dan infrastruktur hijau merupakan langkah yang sangat baik kerana memenuhi dua tujuan serentak, iaitu menarik kehadiran orang ramai melalui penghargaan budaya sambil mewujudkan persekitaran lebih sihat.

Buluh melambangkan banyak nilai positif, termasuk kemakmuran, kejayaan, kesihatan yang baik dan daya tahan.

“Saya ingin memberikan pujian kepada Putuo Village kerana berjaya mengintegrasikan hutan buluh bagi mewujudkan destinasi berasaskan alam semula jadi yang turut menampilkan elemen budaya. Saya fikir ia satu gabungan yang sangat baik,” katanya.

Ujarnya, Putuo Village berfungsi sebagai “peparu pembekal oksigen” bagi Kulai yang kini menyaksikan peningkatan pesat pelaburan dan pembangunan pusat data.

Lee turut berharap lebih banyak infrastruktur hijau seperti hutan buluh dan usaha penanaman semula pokok tempatan dapat diwujudkan seiring dengan pembangunan yang berlaku.

“Kita tidak mahu melihat Kulai menjadi sebuah bandar konkrit pada masa depan,” katanya.

© 2026 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.