D
ia menunggang dengan berhati-hati, mematuhi had laju dan berada di sisi bahu jalan walaupun lorongnya agak lengang pada ketika itu. Hasratnya cuma mahu tiba di destinasi yang dituju dengan selamat.
Namun, tindakan seorang individu memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah mengakibatkan isteri penunggang itu bergelar balu dan tiga anaknya yang masih kecil kehilangan ayah dalam sekelip mata.
Walaupun ajalnya sudah ditakdirkan, kemalangan tragis pada pagi Ahad, 29 Mac lalu di Klang, Selangor itu mencetuskan kemarahan masyarakat yang menyaksikan terlalu banyak nyawa terkorban angkara pemandu mabuk sejak kebelakangan ini.
Mengakui perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali dipetik berkata sebanyak 58 kes kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah direkodkan dalam tempoh dua tahun lalu.
Daripada jumlah itu 27 kes dilaporkan pada 2024 dan 31 lagi pada 2025.
Bukan tidak ada undang-undang ataupun penguatkuasaan, namun golongan ini bagaikan tidak gentar untuk terus mempertaruhkan nyawa sendiri dan orang lain dengan mengulangi perbuatan itu; dan menurut pakar, sikap tersebut berpunca daripada penormalan.
MASYARAKAT JUGA BERTANGGUNGJAWAB
Pakar sosial Dr Hezzrin Mohd Pauzi berkata sikap masyarakat sebenarnya turut menyumbang kepada permasalahan tersebut.
“Saya melihat perkara ini bukan sekadar kesalahan individu itu secara keseluruhannya, tetapi berkait juga dengan budaya masyarakat yang kadang-kadang masih bertolak ansur, kurang menegur dan belum cukup tegas untuk menjadikan pemanduan di bawah pengaruh akohol sebagai perbuatan yang tidak boleh diterima secara total,” ulas beliau.
Menurut Ketua Pusat Pengajian Persekitaran dan Kelestarian, Fakulti Sains Sosial Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin itu lagi, ada individu meremehkan bahaya memandu dalam keadaan mabuk yang berkemungkinan dinormalkan melalui pemerhatian dalam pergaulan seharian atau “social learning”.
“Social learning ini merujuk individu yang belajar daripada pemerhatian atau melihat tingkah laku orang lain bahawa memandu dalam keadaan mabuk tidak berbahaya.
“Contohnya, apabila mereka ini melihat orang di sekeliling mengambil minuman beralkohol atau arak dan kemudian memandu. Tindakan ini pula tidak ditegur (oleh individu lain) dengan teguran yang keras disebabkan orang sekeliling ini takut (untuk menegur), dan secara tidak langsung ada yang menganggap memandu di bawah pengaruh arak ini normal (perkara biasa) atau tidak menjadi kesalahan,’’ katanya.
Menongkah arus pandangan ramai yang menuding pada kegagalan pihak berwajib melaksanakan penguatkuasaan dengan lebih ketat, Hezzrin berkata realitinya bukan tanggungjawab polis atau pihak penguat kuasa lain untuk mengenal pasti pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
“Mengenal pasti individu mengambil arak bukan dalam kawalan polis, cuma polis boleh buat operasi yang berterusan terutamanya di kelab-kelab malam atau kawasan pusat hiburan… anggota penguat kuasa ini mungkin boleh ambil tindakan tahan individu mabuk serta-merta dan pastikan mereka ini tidak memandu.
“…namun masyarakat juga kena mainkan peranan proaktif, cakna dan ambil peduli hal ini. Masyarakat perlu perhatikan tingkah laku orang yang minum arak dan sekiranya individu itu terlihat mabuk dan mahu pandu kereta, dia perlu dihalang,” tegas beliau.
BERMULA DARI RUMAH
Mengulas lanjut, Hezzrin berkata alkohol bertindak sebagai “penenang” (depressant), iaitu bahan atau dadah yang boleh melambatkan fungsi sistem saraf pusat, sekali gus menyebabkan individu itu sukar untuk mengawal diri sendiri.
Keadaan itu juga mendorong mereka untuk mudah mengambil risiko, kurang berhati-hati dan akan bertindak tanpa berfikir panjang.
“Oleh itu, walaupun mereka tahu perbuatan (mengambil alkohol dan memandu) itu salah, keupayaan untuk membuat keputusan rasional sudahpun menurun. Justeru, di sinilah ahli masyarakat mainkan peranan mereka,” tegasnya lagi.
“Selain itu, faktor ego dan kawalan diri juga memainkan peranan. Contohnya, mereka ini mempunyai pemikiran seperti ‘Saya sudah biasa (memandu ketika mabuk)’ dan ‘Saya masih boleh kawal (pemanduan)’, namun tidak pernah kemalangan, membuatkan mereka terus mengulangi,” tambah beliau.
Pengalaman itu yang diulang-ulang sekali gus menyebabkan individu tersebut mangli memandu dalam keadaan mabuk dan tidak lagi peduli tentang natijah tindakan mereka.
“Justeru, walau ada undang-undang (dengan hukuman berat), masalah itu tetap berulang kerana perbuatan tersebut telah menjadi kebiasaan bagi segelintir individu.
”Namun, ini tidak bermakna undang-undang atau hukuman tidak penting. Hukuman tetap diperlukan sebagai asas perundangan dan langkah pencegahan. Jadi, untuk memastikan ada perubahan, norma sosial yang menolak tindakan memandu di bawah pengaruh alkohol perlu bergerak seiring dengan penguatkuasaan undang-undang sedia ada,” tegasnya.
Untuk itu katanya, asas kesedaran harus dipupuk di rumah dengan ibu bapa dan ahli keluarga lain memainkan peranan masing-masing.
“Ibu bapa perlu ingatkan anak-anak tentang kesan negatif alkohol. Pihak berkuasa juga boleh mempergiat kempen tentang bahaya memandu di bawah pengaruh alkohol sekalipun individu itu tidak kelihatan mabuk,” katanya.
Mengulas lanjut, Hezzrin berkata norma sosial berkaitan amalan memandu di bawah pengaruh alkohol turut perlu berubah dan seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang memalukan, berbahaya dan tidak boleh diterima dalam masyarakat.
Pendekatan itu disifatkannya lebih berkesan kerana diperkukuhkan dengan kesedaran dalam diri serta tekanan sosial yang positif.
“Saya lihat keadaan ini lebih berkesan kerana kesedaran itu bukan sahaja wujud dalam diri bahawa perbuatan itu berbahaya...malah juga datang daripada tekanan sosial termasuk teguran orang sekeliling dan masyarakat yang menolak perbuatan itu sepenuhnya.”
KAWAL PENJUALAN ALKOHOL DAN “DESIGNATED DRIVER”
Sebagai sebuah negara majmuk yang berbilang bangsa, agama dan budaya, Hezzrin berkata realiti itu menyaksikan alkohol mudah diakses khususnya di kedai-kedai serbaneka.
Pun begitu kata beliau, tidak bermakna penjualan alkohol tidak boleh dikawal, khususnya bagi menangani isu memandu di bawah pengaruh bahan tersebut.
“Mungkin penjualan dibenarkan hanya pada waktu-waktu tertentu, iaitu bukan sepanjang masa (dari pagi hingga malam seperti sekarang),” katanya.
Beliau turut mengesyorkan agar penggunaan perkhidmatan “designated driver” atau pemandu gantian dijadikan kelaziman di negara ini.
Melalui inisiatif ini, individu yang mengambil minuman beralkohol digalakkan menggunakan khidmat pemandu gantian untuk membawa mereka pulang dengan selamat tanpa memandu sendiri.
Langkah ini bukan sahaja dilihat lebih selamat, tetapi juga dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan melindungi diri dan pengguna jalan raya yang lain daripada kemalangan.
Di negara ini terdapat beberapa syarikat swasta yang menawarkan perkhidmatan itu, namun penggunaannya masih kurang meluas dalam kalangan masyarakat, terutamanya dalam kalangan individu yang mengambil alkohol ketika berhibur.
Antaranya ‘DDdrive’ dan ‘Buddy Driver’ yang menyediakan perkhidmatan pemandu peribadi bagi memastikan individu dan kenderaan sampai ke rumah dengan selamat.
“Kebanyakan individu (mabuk) ini sebenarnya lebih cenderung dan selesa meminta bantuan rakan-rakan yang tidak mengambil minuman beralkohol selepas berhibur untuk menghantar mereka pulang.
“Selain itu, kebiasaannya mereka menggunakan perkhidmatan e-hailing sebagai alternatif untuk pulang ke rumah dengan selamat. Pemilik kenderaan berkemungkinan berasa kurang selesa membiarkan orang asing memandu kereta peribadi mereka,” tambah beliau.
IMPAK KEPADA PEMBANGUNAN NEGARA
Mengulas lanjut, Hezzrin berkata individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, bukan sahaja mengancam keselamatan orang awam tetapi turut membawa impak sosial dan ekonomi yang besar kepada negara amnya.
Beliau berkata ini kerana dalam kebanyakan kes, mereka yang terlibat, sama ada pelaku ataupun mangsa, adalah dalam kelompok tenaga kerja produktif.
“Dalam situasi kemalangan akibat pemandu mabuk, pelaku mungkin dikenakan hukuman penjara sekali gus menyebabkan negara kehilangan seorang tenaga kerja, manakala mangsa pula berisiko meninggal dunia atau mengalami kecederaan kekal yang turut menjejaskan keupayaan mereka untuk bekerja.
“Keadaan ini secara tidak langsung menjejaskan produktiviti negara serta meningkatkan beban kos rawatan kesihatan dan kebajikan sosial,” katanya yang melihat kerugian disebabkan oleh kemalangan melibatkan kelompok ini sebagai sesuatu yang boleh dielakkan berbanding nahas jalan raya lain.
Sehubungan dengan itu katanya, isu pemandu mabuk perlu ditangani secara serius melalui langkah pencegahan yang berkesan demi menjamin keselamatan masyarakat serta kestabilan pembangunan negara.
“Satu keputusan cuai boleh menyebabkan kehilangan nyawa, kecederaan kekal dan trauma. Bagi saya, mesej yang perlu dibudayakan ialah, jika minum minuman keras jangan memandu dan jika melihat orang lain minum jangan biarkan mereka memandu,’’ tambahnya.
“Meskipun kes pemandu mabuk bukan satu-satunya punca utama kemalangan, ia perlu ditangani secara serius kerana kesannya sangat berat apabila membabitkan kematian, kecederaan parah dan trauma kepada mangsa serta keluarga,” tegasnya.
HUKUMAN BERAT TANGANI KES PEMANDU MABUK
Sementara itu, peguam Siti Hajar Aisyah Mohd Pozi berkata tindakan undang-undang terhadap pemandu mabuk di Malaysia adalah berbeza, bergantung sama ada kesalahan tersebut melibatkan kemalangan, kecederaan atau kematian.
Beliau berkata bagi kes yang tidak melibatkan kemalangan, pesalah lazimnya didakwa di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987), iaitu memandu atau menjaga kenderaan melebihi had alkohol yang ditetapkan.
Had semasa ialah 50 miligram alkohol bagi setiap 100 mililiter darah.
Menurutnya, di bawah peruntukan itu, kesalahan pertama boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun, denda antara RM10,000 hingga RM30,000 serta penggantungan lesen selama dua tahun.
Bagi kesalahan berulang pula, hukuman meningkat kepada penjara hingga lima tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 dan penggantungan lesen selama lima tahun.
Bagaimanapun katanya, bagi kes yang melibatkan kemalangan sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian, pesalah boleh didakwa di bawah Seksyen 44, APJ 1987, yang jika menyebabkan kematian, hukuman yang diperuntukkan adalah penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000.
Mengulas lanjut, beliau berkata umumnya siasatan dan pendakwaan melibatkan kesalahan jalan raya termasuk kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk dilakukan menurut APJ 1987.
“Namun jika kita melihat pada kes terbaharu yang membabitkan penunggang motosikal di Klang dan pemandu dituduh pula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, ini secara tidak langsung membuktikan bahawa pihak berkuasa dan sistem kehakiman di negara ini mengambil serius isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol, selaras dengan usaha meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,’’ katanya.
Katanya dalam kes sedemikian, pihak pendakwa raya mempunyai budi bicara untuk menentukan peruntukan undang-undang yang lebih berat serta sesuai digunakan bergantung pada kes termasuk Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan.
Seksyen itu boleh terpakai jika didapati berlaku pemanduan melulu dan dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia sangat berbahaya dan berkemungkinan besar akan menyebabkan kematian.
“Sebagai contoh, Seksyen 300(d) memperuntukkan kesalahan yang lebih serius dengan hukuman penjara mandatori sekiranya kesalahan tersebut memenuhi elemen jenayah yang ditetapkan. Namun begitu, keputusan untuk menggunakan mana-mana peruntukan ini terletak sepenuhnya di bawah kuasa pihak Timbalan Pendakwa Raya berdasarkan bukti dan siasatan, dan hakim (mahkamah) akan membuat keputusan berdasarkan pertuduhan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa raya.
“Dalam kes kemalangan yang tidak melibatkan kematian pula, kebiasaannya kes tersebut tidak diklasifikasikan sebagai kes jenayah berat, sebaliknya lebih kepada kes sivil yang mana (mangsa atau waris) boleh menuntut pampasan terhadap pihak yang menyebabkan kecederaan melalui tindakan saman, termasuk tuntutan terhadap syarikat insurans pihak yang terlibat,’’ katanya.
Pada masa sama, Siti Hajar Aisyah tidak menolak pelaksanaan operasi keselamatan jalan raya secara bermusim sebagai antara penyumbang kepada kesalahan pemanduan di bawah pengaruh alkohol terus berlaku, meskipun hukuman telah diperketatkan.
“Pola penguatkuasaan yang bermusim menyebabkan masyarakat hanya lebih berwaspada ketika terdapat sekatan jalan raya terutamanya ketika musim perayaan, dan bukan mematuhi undang-undang secara menyeluruh.
“Situasi ini menunjukkan bahawa usaha membendung pemanduan mabuk memerlukan pendekatan lebih menyeluruh, termasuk peningkatan kesedaran awam dan kerjasama masyarakat, selain penguatkuasaan undang-undang yang konsisten,’’ katanya.
KES DAN KESIMPULAN
Pada 29 Mac lalu, penunggang motosikal Amirul Hafiz Omar, 33, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dilanggar pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah, dalam kejadian kira-kira 11.47 pagi di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor.
Rakaman video nahas itu tular di media sosial, memaparkan sebuah kereta dipandu laju memotong di garisan berkembar dan merempuh motosikal mangsa sehingga menyebabkan dia melambung dan tercampak ke atas kenderaan lain.
Pemandu, R Saktygaanapathy, 28, dihadapkan di Mahkamah Majistret Klang pada 1 April lalu atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak lebih 40 tahun, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pada 8 April pula, seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian wanita yang sedang berjoging di Batu 9, Jalan Apas pada Ogos tahun lalu.
Lelaki itu didakwa memandu Toyota Hilux dengan kandungan alkohol dalam badan melebihi had ditetapkan sehingga menyebabkan kematian mangsa, Darna Tajudin, 41, pada 8.10 malam, 9 Ogos 2025.
Kejadian berlaku ketika mangsa bersama-sama dengan beberapa rakan sedang berjoging di kawasan berkenaan.
Pada 16 Nov 2024, pasangan suami isteri, Mohd Ridzwan Mohd Rudi,dan Linda Mohd A. Aziz, 35, maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah Perodua Alza dipandu individu mabuk di Jalan Mesjid, Pasir Gudang, Johor.
Pasangan itu meninggalkan lima anak berusia lingkungan tiga ke 15 tahun termasuk seorang anak kurang upaya.
Menyoroti kesemua kes di atas dan menimbang pendapat pakar, sememangnya sudah tiba masa untuk setiap ahli masyarakat benar-benar memainkan peranan mereka dan tidak lagi “mengizinkan” pemandu di bawah pengaruh alkohol ataupun dadah, berada di atas jalan raya.
Masyarakat sudah tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya pada pihak berkuasa untuk bertindak sekiranya tidak mahu lagi kejadian sedemikian berulang atau sudah terhantuk baru terngadah; dan pada ketika itu nasi sudah menjadi bubur.
-- BERNAMA
NMR NMR NM