S
uasana di tapak ekskavasi kapal purba di Pulau Melaka yang hingar-bangar dengan bunyi jentera dan suara kru ekspedisi tiba-tiba sunyi di saat beberapa serpihan kayu bersaiz gergasi yang terbenam sejauh tiga meter di dalam selut paya bakau, dinaikkan ke permukaan.
Kru yang sebelum ini memerah keringat membuat kajian dan mencari gali di tapak bersaiz 12 x 12 meter persegi itu juga bagaikan kehilangan kata-kata apabila mendapati serpihan dan bongkah kayu tersebut dipercayai sebahagian daripada badan bahtera purba milik golongan bangsawan, bukan kapal dagang biasa seperti ditanggapi sebelumnya.
Keterujaan pasukan ekskavasi yang dianggotai pakar dan penyelidik daripada Jabatan Warisan Negara (JWN) dan sukarelawan daripada Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaysia Terengganu itu bertambah apabila mengetahui kapal purba berkenaan berusia lebih awal dari sejarah rasmi penubuhan Melaka oleh Parameswara pada abad ke-14.
Berdasarkan ujian pentarikhan radiokarbon ke atas sampel yang dijalankan di Amerika Syarikat, usia struktur itu dianggar dari abad ke-13 Masihi.
Turut ditemukan duit syiling zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah serta serpihan porselin yang dipercayai menjadi petunjuk bahawa kapal itu milik pembesar Kesultanan Melayu Melaka.
BONGKAR RAHSIA KAYU BAHTERA KUNO
Berkongsi pengalaman saat penemuan bersejarah itu kepada Bernama, Ahli Arkeologi Berdaftar Darat dan Bawah Air Muhammad Termizi Hasni berkata meskipun beliau telah lebih 17 tahun terlibat dalam ekskavasi dan penyelidikan arkeologi termasuk membongkar kubur lama dan bahtera yang merekodkan kematian ratusan nyawa saat kapal tenggelam, debar yang dirasainya tatkala serpihan kapal dinaikkan itu amat luar biasa.

Serpihan kayu yang tertanam di dalam tanah itu mempunyai sifat hasil buatan tangan manusia. Pix Shanika Abdullatib
"Meskipun ini ekskavasi fasa keempat, perasaan itu masih sukar untuk diungkapkan. Teruja sudah tentu tapi banyak persoalan berbanding jawapan yang ada dalam kepala ini memandangkan bongkah dan serpihan kayu yang tertanam di dalam tanah itu mempunyai sifat hasil buatan tangan manusia.
"Apatah lagi di saat mengeluarkan, mencuci dan mendokumentasikan bongkah kayu itu… kerana ketika itu semuanya (ciri-ciri) seperti ragam hias, tanggam dan juga pasaknya yang unik (mula kelihatan). Apabila semua ini terserlah, kian banyak persoalan muncul,” jelasnya.
Usaha membongkar misteri arkeologi di kawasan itu yang dipercayai mungkin pernah menjadi lokasi peperangan dan laluan perdagangan, bermula pada 2020 dan diteruskan dengan fasa kedua pada 2021 sementara fasa ketiga pada 2025.
Membuka kisah penemuan pada September lalu tersebut, Muhammad Termizi berkata segalanya bermula apabila kerja cari gali pada fasa ketiga yang dilakukan telah menemukan beberapa keping serpihan kayu di lokasi paya bakau berkenaan dan cantuman kepingan-kepingan kayu itu menzahirkan bentuk sebuah kapal.
Pada fasa pertama dan kedua, kerja-kerja ekskavasi dilakukan hanya di permukaan, iaitu sekitar satu hingga dua meter di dalam lumpur dan menemukan banyak duit syiling, tembikar dan seramik.
Apabila saiz petak carian diperluas, di situlah bermulanya penemuan kayu-kayu yang terpacak di permukaan air, dan menurut Muhammad Termizi cari gali yang dilanjutkan ke fasa ketiga itu telah membolehkannya membuat profil dan ujian geofizik untuk menilai sejauh mana kayu terbabit tertanam sebelum disusuli dengan ujian pentarikhan radiokarbon dan jenis kayu.
"Sebenarnya kita hendak letak semula serpihan kayu di dalam laut bagi tujuan pemuliharaan memandangkan proses pentarikhan pada kayu tersebut menerusi sampel telah dilakukan. Jadi, kayu itu ada harga, sudah ada nilai sejarah walaupun pada ketika itu kita tidak tahu lagi ia adalah kayu kapal, (sama ada) boleh dicantum semula atau tidak," katanya.

Tapak ekskavasi bersaiz 12 x 12 meter persegi yang ditemukan serpihan dan bongkah kayu dipercayai sebahagian daripada badan bahtera purba milik golongan bangsawan. Pix Shanika Abdullatib
"Tapi selepas kerja-kerja menggali terkini dilakukan dan semua serpihan kayu tersebut dikeluarkan, kita semua terkejut... rupa-rupanya kayu itu mempunyai bentuk dan corak yang menjelaskan fungsinya. Di sinilah keputusan dibuat sama ada hendak diteruskan penggalian atau diawet secara letak semula di dalam laut," katanya.
Menurutnya, susulan itu pihak berkaitan memutuskan untuk meneruskan ekskavasi memandangkan bukti yang menunjukkan serpihan kayu tersebut adalah daripada sebuah kapal besar semakin ketara, selain terdapat komponen-komponen kapal.
"Bagi memastikan kayu-kayu tersebut kekal terpelihara, pihak Perzim dan JWN telah membina satu kolam di Muzium Kapal Selam, dan di situ kajian seterusnya yang lebih mendalam akan dilakukan bagi tujuan dokumentasi yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun.
"Sementara di tapak penemuan pula, kita akan masuk semula pada Disember ini untuk menyambung kerja-kerja pencarian seterusnya, dan akan ada petak-petak cari gali baharu dibuka," katanya, menambah buat masa ini kerja-kerja ekskavasi melibatkan 24 pakar arkeologi.
BUKAN KAPAL DAGANG BIASA
Berkongsi lanjut, Muhammad Termizi yang juga kurator bahagian arkeologi JWN, berkata lelah sepanjang cari gali terbayar dengan penemuan relik yang menghasilkan intrepretasi kukuh terhadap nilai sejarah dan juga warisan negara itu.
"Apa yang terdetik dalam hati saya ketika objek itu dikeluarkan adalah harapan setiap kayu tersebut mempunyai bentuk, hias, corak dan motif kerana ia memberi justifikasi penting dalam mentakrifkan warisan negara," katanya.

Berdasarkan ujian pentarikhan radiokarbon ke atas sampel yang dijalankan di Amerika Syarikat, usia struktur itu dianggar dari abad ke-13 Masihi. Pix Shanika Abdullatib
Tegasnya penemuan terkini itu bukan sahaja indikator penting akan kehebatan Melaka sebagai kuasa maritim tetapi juga permulaan kepada penulisan semula satu bab sejarah Melaka malah Nusantara.
Ulasnya kajian awal berdasarkan teknik pembinaan yang menunjukkan serpihan bukan berasal daripada kapal dagang biasa sebaliknya milik golongan bangsawan, mengukuhkan naratif bahawa pelabuhan Melaka bukan sekadar persinggahan dagang tetapi turut membenarkan hakikat keunggulan Melaka dalam dunia pelayaran dan pembinaan kapal di Nusantara.
Bahkan, serpihan kapal kuno itu menjadi bukti akan kewujudan satu pelabuhan yang menggantikan pelabuhan tamadun Kerajaan Kedah Tua yang mula merosot sekitar abad ke-12 hingga 13 Masihi.
Mengimbas kembali, sejarah Melaka bermula apabila Parameswara, seorang putera raja dari Palembang, telah terlibat dalam peperangan merebut takhta kerajaan Majapahit pada akhir abad ke-14. Setelah ditumpaskan oleh Majapahit, beliau lari mencari perlindungan di Temasik yang pada ketika itu dikuasai oleh Siam.
Pada 1396, beliau dan para pengikutnya diusir dari Temasik dan akhirnya telah sampai di Bertam, iaitu berdekatan muara Sungai Melaka, lalu membuat keputusan untuk membuka negeri di situ.
Kedudukan strategik, iaitu di tengah-tengah tebing Selat Melaka yang menghubungkan negara China ke India dan Timur, telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang sibuk dengan ratusan kapal singgah setiap tahun.
Era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka berakhir pada 1511 selepas ditakluki Portugis.
BUKTI KEPAKARAN ORANG MELAKA DALAM BIDANG MARITIM
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya JWM Ruzairy Arbi berkata selain tarikh, saiz dan bahan yang digunakan untuk membina kapal tersebut, penemuan berkenaan juga dapat membuktikan bahawa kepakaran orang Melaka dalam dunia maritim telah lama.
"Kita berkeyakinan serpihan kayu kapal ini adalah daripada kapal yang pernah wujud antara 1200 dan 1300 - lebih awal dari sejarah rasmi penubuhan Melaka yang bermula sekitar abad ke-13 - dengan panjang kapal dianggar 50 hingga 70 meter, sekali gus menjadikan bahtera ini lebih besar berbanding kapal Mendam Berahi yang disebut dalam Hikayat Hang Tuah," katanya.

Turut ditemukan duit syiling zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Pix Shanika Abdullatib
Menurut catatan, Mendam Berahi yang dikatakan digunakan semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka pada awal abad ke-16 itu bersaiz sekitar 54 meter panjang dan sering dijadikan sebagai aras tanda bukti kemahiran orang Melayu dalam pembinaan kapal dan bidang maritim.
Jelas Ruzairy, setakat ini antara komponen utama yang ditemukan ialah badan, haluan, lantai dan blok kayu besar yang dipercayai sebahagian daripada struktur utama kapal. Saiz serta kehalusan pembinaannya mencerminkan kemajuan teknologi pertukangan kapal di Melaka ketika itu.
Lebih menarik, katanya hasil analisis awal mendapati struktur kayu itu sepadan dengan teknik pembinaan kapal besar yang pernah digunakan oleh pembesar dan bangsawan pada era kegemilangan Melaka.
Menguatkan hujahan katanya keputusan ujian makmal yang yang dijalankan di Amerika Syarikat itu turut mendapati kapal berkenaan menggunakan kayu saga dan merbau, iaitu sumber kayu tempatan.
"Lebih luar biasa, kapal itu juga tidak menggunakan sebarang paku logam tetapi bergantung sepenuhnya pada teknik pasak kayu untuk menyambung dan mencantum komponen," katanya, menambah hal itu secara langsung membuktikan teknik pasak dan penggunaan paku tembaga telah lama diterima guna, dan masih digunakan oleh pembina kapal di Makassar, Sulawesi hingga hari ini.
Menurut beliau, setakat ini proses menyahpasang dan memindahkan komponen kapal sedang dilakukan bagi menjalankan proses konservasi selanjutnya memandangkan selain kayu, serpihan mangkuk porselin dan duit siling yang dipercayai dari era pemerintahan Sultan Mahmud Shah turut ditemukan di tapak penggalian.
Apabila segala proses termasuk dokumentasi selesai, kesemua komponen dan artifak yang ditemukan itu akan dipelihara dan dipamerkan kepada umum antaranya di Muzium Melaka, katanya.
UBAH LANDSKAP SEJARAH MELAKA DAN NUSANTARA
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusof ketika mengulas penemuan itu, berpendapat artifak tersebut berpotensi mengubah landskap kajian sejarah mengenai era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka - dari abad ke-15 hingga awal abad ke16 - memandangkan turut dijumpai beberapa relik penting termasuk duit syiling lama yang dikaitkan dengan pemerintahan Sultan Mahmud Shah, iaitu sultan terakhir Melaka yang bermula pada 1488 sebelum kejatuhan kota itu ke tangan Portugis pada 1511.
"Penemuan tersebut berpotensi membantu pakar sejarah menilai semula beberapa fakta penting berkaitan perdagangan dan hubungan diplomatik Melaka dengan dunia luar pada abad ke-15 dan saya berharap dengan penemuan ini, kita mungkin dapat meluruskan semula beberapa fakta yang telah diubah atau diseleweng sejak sekian lama, memandangkan selama ini sejarah kita banyak bergantung pada catatan lama.

Serpihan porselin yang dipercayai menjadi petunjuk bahawa kapal kuno ini milik pembesar Kesultanan Melayu Melaka. Pix Shanika Abdullatib
"Sudah tentu kita akan memastikan setiap penemuan direkodkan dan disahkan oleh pakar bagi menjamin ketulenannya sebagai bahan bukti sejarah rasmi," katanya ketika melawat tapak penemuan.
Sebagai langkah memastikan kerja ekskavasi berjalan lancar, kerajaan Melaka akan mewartakan kawasan penemuan serpihan kayu tersebut zon larangan bagi memberi laluan kerja-kerja ekskavasi oleh JWN.
Ab Rauf menjelaskan pewartaan itu bertujuan mengelak sebarang pencerobohan dan memastikan semua penemuan artifak di kawasan berkenaan diselamatkan kerana ia merupakan satu kesan sejarah yang cukup bermakna, bukan sahaja untuk Melaka, tetapi juga negara.
Beliau turut yakin penemuan tersebut akan memberi impak besar kepada sektor pelancongan Melaka serta mengangkat kembali nama negeri itu sebagai pusat sejarah dan warisan dunia.