M
omentum global terhadap tenaga nuklear kian meningkat dengan kebanyakan negara berlumba-lumba untuk mencapai sasaran sifar bersih serta memastikan kebergantungan pada bahan api fosil mereka diatasi melalui penyelesaian rendah karbon.
Negara anggota ASEAN termasuk Malaysia juga tidak terkecuali, dengan polemik sama ada tenaga nuklear harus dimasukkan dalam campuran tenaga Malaysia tercetus kembali tatkala kerajaan sedang mencari jalan untuk mengimbangi matlamat sifar bersih 2050 dengan keperluan tenaga yang kian meningkat.
Lebih-lebih lagi Malaysia menyasarkan untuk menjadi hab pusat data serantau, satu langkah yang akan meningkatkan secara ketara penggunaan tenaga elektrik.
Menurut Ember, sebuah badan pemikir tenaga, Malaysia dijangka mengalami peningkatan penggunaan tenaga oleh pusat data sebanyak tujuh kali ganda, daripada hanya 8.5 terawatt jam (TWh) pada 2024 kepada 68 TWh pada 2030, iaitu kira-kira 30 peratus daripada jumlah permintaan elektrik negara waktu itu.

Tapak pusat data Google yang terletak di Elmina Business Park, Selangor
Justeru, bagaimana Malaysia akan menampung lonjakan keperluan tenaga ini?
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut memegang portfolio Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), baru-baru ini dilaporkan berkata kerajaan bercadang meneroka penggunaan tenaga nuklear bagi penjanaan elektrik di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) sebagai sebahagian daripada strategi peralihan tenaga bersih.
Inisiatif itu akan diselaraskan oleh Malaysia Programme Office for Power Electricity Reform (MyPOWER Corporation) yang telah dilantik sebagai Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO) dan akan menyelia persiapan berasaskan garis panduan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Bagaimanapun, sementara menunggu penggubalan selanjutnya garis panduan pelaksanaan tenaga nuklear di Malaysia sebagai sebahagian daripada campuran tenaga, perdebatan kian hangat dengan penyokong melihat tenaga nuklear penting untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050 sementara pembangkang mengetengahkan isu pengurusan sisa, keselamatan dan kos.
Di Persidangan Pihak-Pihak ke-28 (COP28) Bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim di Dubai pada 2023, lebih 20 negara berikrar untuk meningkatkan kapasiti nuklear sebanyak tiga kali ganda menjelang 2050, sekali gus memperakui kepentingan peranan tenaga nuklear dalam mencapai sasaran sifar bersih.
MINGGU ATOM SEDUNIA 2025 SEMARAKKAN SEMULA DIALOG NUKLEAR GLOBAL
Perbincangan mengenai tenaga nuklear mendapat momentum tambahan semasa Minggu Atom Sedunia 2025 yang berlangsung dari 25 hingga 28 Sept lalu di sini. Acara itu menghimpunkan pemimpin industri global, penggubal dasar, saintis serta wakil media dari lebih 100 negara.
Diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-80 industri nuklear Rusia, program empat hari di Pameran Pencapaian Ekonomi Nasional Moscow itu dianjurkan oleh Rosatom, perbadanan tenaga atom milik kerajaan Rusia, dengan tema “Everything starts with an atom”.
Ketua Pengarah Pertubuhan Nuklear Dunia (WNA) Dr Sama Bilbao y Leon berkata tenaga nuklear berpotensi mengurangkan kos elektrik hingga 75 peratus apabila diperkenalkan di pasaran.
Beliau berkata walaupun pelaburan besar diperlukan bagi membina loji, manfaat jangka panjang dari segi ekonomi dan sosial jauh mengatasi kos pelaburan awal itu.
“Pelaburan modal besar tetapi loji tenaga nuklear yang dibina itu menawarkan tenaga elektrik bebas karbon dan stabil 24/7 untuk selama 60, 80 malah 100 tahun,” katanya pada sidang media antarabangsa di luar Minggu Atom Dunia 2025.

Ketua Pengarah Pertubuhan Nuklear Dunia (WNA) Dr Sama Bilbao y Leon, ketika sidang media bersama media antarabangsa di Minggu Atomic Dunia, Moscow, baru-baru ini
Bilbao menekankan bahawa kerajaan perlu menilai keseluruhan aspek ekonomi tenaga nuklear termasuk puluhan tahun penjanaan tenaga, penciptaan peluang pekerjaan serta potensi pembangunan sosioekonomi, bukan hanya menumpukan pada kos pembinaan atau tempoh pelaksanaan projek.
Beliau memetik Finland sebagai contoh yang menikmati penurunan mendadak tarif elektrik sebanyak 75 peratus apabila tenaga nuklear dilaksanakan.
(Loji tenaga nuklear Olkiluoto kini membekalkan kira-kira satu pertiga daripada tenaga elektrik Finland. Loji itu terdiri daripada dua reaktor lama dan Olkiluoto 3 yang lebih besar dan mula beroperasi pada 2023.)
“Amat penting bagi semua negara termasuk yang sedang membangun seperti Malaysia untuk meneliti keseluruhan aspek, bukan hanya pada kos,” tambah beliau.
Ketua Pengarah IAEA Rafael Grossi pula berkata penggunaan tenaga nuklear menyangkal “keraguan dan kebimbangan tidak berasas” yang wujud sejak beberapa dekad lalu dan kini diiktiraf di peringkat global sebagai sumber tenaga yang selamat dan stabil.
“Tidak akan ada risiko dari segi proliferasi senjata nuklear atau keselamatan, dan ia akan mempermudah akses bagi negara-negara membangun,” katanya.

Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi
PEMBANGUNAN NUKLEAR ASEAN
Dalam kalangan negara ASEAN, beberapa anggotanya sudah mula mengambil langkah ke arah pembangunan tenaga nuklear, dengan Filipina menyasarkan penjanaan 4,800 megawatt menjelang 2050, Vietnam memperkenalkan semula nuklear dalam pelan tenaganya sementara Indonesia meneroka reaktor modular kecil (SMR) dan reaktor terapung menjelang 2030.
Thailand dan Myanmar pula, pada 2022, telah memeterai perjanjian kerjasama dan memorandum persefahaman dengan Rusia dan Rosatom bagi mengkaji SMR.
Pengarah Eksekutif Pusat Tenaga ASEAN Datuk Razib Dawood berkata rantau ASEAN harus segera memperkukuh kapasiti tenaga bersih mereka termasuk tenaga nuklear bagi memenuhi lonjakan permintaan daripada pusat data dan kemudahan kecerdasan buatan (AI).
Bercakap kepada Bernama di luar Minggu Atom Sedunia 2025, Razib berkata pertumbuhan pantas kemudahan digital telah mewujudkan cabaran baharu terhadap kelestarian dan jaminan tenaga serantau.
“Permintaan daripada teknologi AI, pengkomputeran awan dan pusat data sangat besar, bukan sahaja untuk pemprosesan tetapi juga untuk sistem penyejukan yang beroperasi 24 jam sehari. Kita tidak boleh abaikan hal ini ketika membuat perancangan campuran tenaga negara pada masa depan,” katanya.

Pengarah Eksekutif Pusat Tenaga ASEAN, Datuk Razib Dawood
Razib yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST) berkata walaupun tenaga boleh baharu kekal sebagai tunjang dalam peralihan tenaga ASEAN, sifatnya yang tidak konsisten memerlukan negara anggota meneroka sumber lain yang rendah karbon dan terjamin seperti tenaga nuklear.
“Gergasi teknologi seperti Google dan Amazon telahpun memperakui nuklear sebagai sumber tenaga bersih yang stabil.
“Bagi menarik pelaburan digital dan mengekalkan daya saing, negara ASEAN mesti memastikan bekalan tenaga yang konsisten dan terjamin,” tegasnya.
PENGURUSAN SISA & KESELAMATAN
Namun, isu pengurusan sisa nuklear dan risiko kesihatan akibat pendedahan kepada radiasi masih menjadi topik perdebatan awam, terutamanya apabila orang ramai mengaitkan isu itu dengan insiden loji jana kuasa Fukushima Daiichi yang berlaku pada 11 Mac 2011.
Insiden di loji tenaga nuklear yang terletak di Okuma, Fukushima, Jepun itu berpunca daripada gempa bumi dan tsunami di Tohoku, mengakibatkan kegagalan sepenuhnya grid tenaga elektrik serta kerosakan teruk hampir keseluruhan sistem tenaga sandaran loji itu.
Namun, Bilbao daripada WNA berkata industri nuklear berjaya menguruskan sisa nuklear menggunakan sistem kitaran tertutup.
“Tidak ada sumber tenaga lain yang boleh mendakwa setiap satu gram sisa yang dihasilkan di seluruh dunia dalam tempoh 80 tahun lalu telah diurus dengan sempurna.
“Sisa nuklear diuruskan sama ada disimpan secara dalaman, dikitar semula atau diasingkan secara selamat daripada persekitaran tanpa sebarang kesan,” ujarnya.

Loji Kuasa Nuklear Kalinin, terletak 400km dari Moscow, mempunyai dua pusat data (Gambar Ihsan ROSATOM)
Beliau turut menasihati negara yang berpotensi menggunakan tenaga nuklear termasuk Malaysia agar merangka strategi pengurusan sisa yang jelas agar dapat memberikan keyakinan kepada rakyat.
Sementara itu, Razib berkata penerimaan orang awam serta isu keselamatan dan pengurusan sisa ialah perkara-perkara utama yang perlu dipertimbang sebelum sesebuah negara meneruskan dengan pembangunan nuklear.
“Kerajaan perlu gubal perundangan yang jelas, aspek kawal selia dan komunikasi yang telus dengan aspek keselamatan dan pengurusan sisa ditangani secara saintifik dan terbuka,” katanya.
Menurut beliau, teknologi nuklear pada hari ini seperti SMR, menawarkan pilihan lebih selamat dan fleksibel bagi negara yang mempunyai permintaan tenaga meningkat namun kapasiti grid terhad atau berdepan masalah ketersediaan tanah.
“SMR ialah reaktor kompak yang dibina di kilang dengan ciri-ciri keselamatan dipertingkat. Malah, sesetengah pembekal mengambil balik bahan api yang digunakan untuk dikitar semula, sekali gus menyelesaikan dua kebimbangan utama orang awam, iaitu keselamatan dan sisa,” katanya.
Vitaliy Pakermanov, pemangku pengarah Projek SMR di Bahagian Kejuruteraan Rosatom, berkata syarikat itu mempunyai pelan induk pengurusan sisa yang komprehensif bagi menyokong reaktor dengan jangka hayat perkhidmatan antara 40 ke 60 tahun.
“Keselamatan keutamaan kami dan Rosatom menyediakan sokongan dan pengurusan loji jana kuasa nuklear sepanjang kitaran hayatnya termasuk di peringkat penamatan operasi dan pengurusan sisa radioaktif,” katanya.

Vitaliy Pakermanov, pemangku pengarah Projek SMR di Bahagian Kejuruteraan Rosatom (Gambar Ihsan ROSATOM)
PERKUKUH KOMUNIKASI
Bagi memperkukuh pemahaman dan penerimaan orang awam, MyPower Corporation merangka strategi komunikasi berfasa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Asdirhyme Abdul Rasib berkata rancangan jangka pendek meliputi tempoh 12 bulan akan datang bakal menumpukan pada penglibatan awam dan kempen literasi tenaga yang mengetengahkan penggunaan teknologi nuklear dalam kehidupan seharian.
“Kami mahu tunjukkan yang teknologi nuklear memang sudah ada dalam kehidupan seharian, menerusi X-ray, radiasi perubatan dan pegujian bahan. Kesemua ini aplikasi selamat dan biasa yang membantu orang ramai memahami dengan lebih baik akan sains nuklear,” katanya ketika ditemui Bernama pada forum Mesyuarat Menteri Tenaga dan Perniagaan ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau berkata program terbabit akan dilaksanakan di bawah Program Literasi Tenaga Kebangsaan (NELP) dengan kerjasama PETRA dan ST, menyasarkan sekolah, universiti dan pertubuhan komuniti.
Bertitik tolak dari asas itu, fasa seterusnya - pelan komunikasi strategik 10 tahun - akan menumpukan pada penglibatan jangka panjang pihak berkepentingan, terutamanya di kawasan yang dikenal pasti sebagai tapak pembangunan nuklear berpotensi pada masa depan.
“Pelan itu akan dibuat secara terperinci bagi melibatkan masyarakat, menangani kebimbangann mereka dan membina keyakinan bahawa tenaga nuklear adalah selamat dan bermanfaat kepada negara,” katanya.
Asdirhyme berkata kerajaan telah menunjukkan komitmen yang tinggi dengan memperuntukkan kira-kira RM28.6 juta dalam Belanjawan 2026 bagi memperkukuh kesiapsiagaan nuklear Malaysia, selaras dengan keperluan mengurangkan karbon dalam sektor tenaga elektrik sambil memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif MyPower Corp, Asdirhyme Abdul Rasib (tengah) ketika menjadi panelis pada satu sesi pleno sempena Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2025 baru-baru ini
Beliau berkata bagi tujuan itu, enam pasukan petugas kebangsaan yang merangkumi pelbagai kementerian dan agensi - diketuai oleh PETRA serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi - telah ditubuhkan bagi menyokong usaha pembangunan tenaga nuklear, termasuk dalam aspek pemantauan teknikal dan peraturan.
“Malaysia sedang membuat persiapan untuk penilaian Fasa 1 Integrated Nuclear Infrastructure Review oleh IAEA yang dijangka dijalankan selepas penilaian itu selesai pada 2027,” katanya.
Beliau turut berkata MyPOWER sedang menjalankan penilaian terperinci terhadap kerangka kerja perundangan dan peraturan Malaysia bagi memastikan pematuhan sepenuhnya keperluan undang-undang antarabangsa di bawah garis panduan IAEA.
“Kira-kira separuh daripada instrumen undang-undang antarabangsa telah ditandatangani, manakala sebahagian lagi masih dalam proses semakan,” katanya, menambah penilaian itu turut melibatkan pengukuhan undang-undang domestik berkaitan pengenalan tenaga nuklear bagi penjanaan elektrik.
Beliau menjelaskan penilaian IAEA akan merangkumi aspek utama seperti pengurusan sisa, pembangunan modal insan dan pemilihan teknologi, bagi memastikan program nuklear Malaysia dilaksanakan secara selamat, mampan dan berdaya urus.
“Ini bukan proses mudah. Kita perlu melihat keseluruhan rantaian nilai, bermula daripada keputusan dasar untuk membina loji tenaga nuklear sehinggalah ke peringkat penamatannya, yang memerlukan kepakaran jauh lebih tinggi berbanding kemudahan konvensional,” katanya.
MyPOWER menyasarkan untuk memulakan kajian kebolehlaksanaan terperinci pada Januari depan dengan tumpuan pada dasar, rangka kerja perundangan dan peraturan, pemodelan kewangan, penilaian teknologi, penilaian tapak, pembangunan modal insan serta penglibatan pihak berkepentingan.
“Sekiranya kita memenuhi kesemua 19 keperluan infrastruktur bagi Fasa 1, bermakna Malaysia sudah bersedia untuk ke peringkat seterusnya. Tugas kami memastikan semua elemen ini tersedia sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad,” katanya.
PENERIMAAN AWAM
Walaupun diuar-uar sebagai sumber tenaga berpotensi, beberapa pertubuhan tidak berasaskan keuntungan dan persatuan sosial menegaskan penggunaan tenaga nuklear di Malaysia menuntut ketelusan dan dialog yang inklusif bagi melihat implikasinya secara menyeluruh.
Pengerusi Bersama Rangkaian Ahli Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia (APHR) Charles Santiago yang menggesa kerajaan agar mendedahkan lokasi cadangan tapak reaktor nuklear dan pelupusan sisa, berkata ketelusan amat penting bagi meraih kepercayaan rakyat.
Mengulas rancangan kerajaan untuk memperkenalkan tenaga nuklear di bawah RMK13, beliau menggesa agar analisis kos dan faedah yang menyeluruh termasuk kos penamatan operasi dan pengurusan sisa jangka panjang didedahkan kepada umum.

Charles Santiago
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meenakshi Raman pula berkata pengurusan dan pelupusan sisa nuklear serta bahan radioaktif masih menjadi kebimbangan terbesar.
“Bahan radioaktif seperti uranium dan thorium boleh kekal berbahaya selama ribuan tahun. Bagaimana kita hendak pastikan keselamatan generasi akan datang?” katanya.
Mengimbas insiden pencemaran radioaktif Bukit Merah, Perak pada 1982 yang pernah digambarkan sebagai kes pencemaran radioaktif terburuk Asia, beliau berkata Malaysia tidak harus mengulangi kesilapan itu.
“Walaupun loji itu sudah ditutup pada 1994, sisa radioaktif masih belum ditangani,” katanya.
Beliau juga mengingatkan bahawa elektrik janaan nuklear mungkin lebih mahal.
“Jangan sampai pengguna menanggung beban. Perlu ada perbahasan dan perundingan awam yang menyeluruh sebelum pelaksanaan,” katanya.