BERITA COVID–19   Jumlah terkini kes COVID-19 di Malaysia dan beberapa negara dunia | COVID: Lelaki 44 tahun kematian terbaharu di Singapura | Program turun padang, lembutkan warga emas terima vaksin | Mulai Selasa, hanya individu positif COVID-19 menerusi ujian RT-PCR dimasukkan ke PKRC Kelantan | MAECC gesa kerajaan percepat kelulusan penggunaan Ivermectin untuk rawat COVID-19 | 
EKONOMI

Pertama Digital peroleh empat rakan kongsi produk untuk bank digital

09/06/2021 09:43 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jun -- Pertama Digital Bhd memperoleh empat rakan kongsi produk pertamanya -- Trevo, Paywatch, Qoala dan Butterfly FX berserta kepakaran dan penyelesaian dalam bidang masing-masing untuk menyertai bank digital yang dicadangkan Pertama Digital.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Pertama Digital berkata, ini susulan pengumuman terkini mengenai pemilihan Crowdo Holdings Pte Ltd dan INFOPRO Sdn Bhd sebagai rakan kongsi konsortium untuk memohon lesen perbankan digital daripada Bank Negara Malaysia.

Menurut syarikat itu, untuk menubuhkan bank digital yang memberi kuasa dari segi kewangan kepada rakyat Malaysia yang kurang diberi tumpuan, ia telah membina hubungan kukuh dengan penginovasi inklusi kewangan sedia ada seperti syarikat-syarikat ini berhubung produk kewangan beretika yang menangani teknologi insurans, ekonomi gig dan teknologi pendidikan.

“Trevo, Paywatch, Qoala dan Butterfly FX berkongsi nilai bersama kami untuk kekal erat dengan orang ramai dan meletakkan pelanggan secara kekal di pusat strategi dan model perniagaan bank digital itu.

“Penyelesaian kami yang memberi impak ini akan membantu rakyat Malaysia golongan rentan untuk menerima akses kepada perkhidmatan kewangan digital yang cekap, mampu milik dan mesra pengguna yang diperlukan pada masa ini ketika berdepan cabaran ekonomi dan sosial akibat pandemik,” menurut Pengarah Strategi Saify Akhtar.

Beliau berkata pandemik telah mewujudkan peluang untuk berinovasi dan menggunakan penyelesaian yang pantas untuk kebaikan dari segi sosial dan komersial terutamanya dalam bidang inklusi kewangan.

“Kajian kami mendapati banyak perniagaan kecil dan rakyat yang menyuarakan kebimbangan mengenai masa depan pendapatan dan pekerjaan mereka.

“Inilah caranya di mana bank digital kami dan semua pihak berkepentingan dalam ekosistem kewangan boleh memainkan peranan memberi manfaat lebih baik untuk membantu golongan yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata, syarikat itu melahirkan keyakinan untuk bekerjasama dengan rakan kongsi ini yang telah membuktikan bahawa penyelesaian mereka akan menepati matlamat inklusi kewangan negara.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan