BERITA COVID–19   COVID-19: 1,166 kes positif, satu kluster baharu di Sabah - Masidi | Kerjasama rakyat kunci kejayaan Perlis beralih ke Fasa Tiga PPN - MB | COVID 219 kematian hari ini, tertinggi pernah dicatatkan | Varian Delta di Pasir Puteh mungkin tersebar ke daerah berdekatan - JKNK | Perhimpunan Pembangkang tidak akan ubah keputusan tangguh Parlimen | 
EKONOMI

Nexagate sasar keselamatan siber lebih baik bagi PKS, masyarakat

13/05/2021 06:52 PM

Oleh Azlee Nor Mahmud

SHAH ALAM, 13 Mei  -- Syarikat keselamatan siber Malaysia, Nexagate Sdn Bhd menyasarkan untuk memangkinkan visi ‘Keselamatan Siber Lebih Baik untuk Semua’ bagi memudahkan dan menjadikan keselamatan siber dapat diakses.

Pengarah Urusan Khairil Effendy Ahmad Dhman Huri berkata penyelesaian keselamatan siber cenderung menjadi sukar dan memerlukan kepakaran, dan syarikat menyasarkan untuk membantu mewujudkan penyelesaian yang mampu milik dan mudah bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta masyarakat umum.

“Ini bermakna keselamatan siber perlu dapat diakses selain syarikat besar, sektor kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan, yang mampu mendapatkan penyelesaiannya. 

“Sejak bermulanya COVID-19, terdapat peningkatan kes ancaman siber dan penipuan yang dihadapi oleh masyarakat dan organisasi.

“Nexagate melihat ini sebagai peluang untuk memberikan perkhidmatan dan menyumbang kepada peningkatan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan siber.

“Berdasarkan peningkatan penggunaan Internet, sindiket penipuan telah menukar modus operandi mereka daripada kaedah fizikal kepada dalam talian. 

“Tahap kesedaran pada masa ini adalah rendah, apabila proses dan amalan terbaik tidak dilaksanakan, seperti dasar perkongsian kata laluan atau memastikan kekuatan kata laluan,” katanya kepada Bernama.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lepas, Khairil Effendy berkata Nexagate telah melancarkan beberapa kempen kesedaran mengenai keselamatan siber untuk organisasi, perniagaan dan orang ramai. 

“PKS amat terjejas, dan memerlukan perlindungan segera dalam dua bidang -- titik akhir dan sambungan. Oleh itu, Nexagate menyumbang dengan menawarkan lesen antivirus percuma dan penyelesaian rangkaian peribadi maya sehingga enam bulan, selain rundingan teknikal/perniagaan, pemeriksaan kesihatan dan webinar percuma.

“Ini akan mengurangkan potensi kebocoran data yang boleh memberi impak yang besar kepada kewangan syarikat dan juga penjenamaan organisasi,” katanya.

Khairil Effendy berkata tawaran ini bertujuan supaya PKS dapat fokus kepada apa yang paling penting bagi mereka, iaitu untuk bertahan dan meneruskan operasi perniagaan mereka.

Bagi memastikan kempen kesedaran mempunyai capaian yang lebih luas, katanya Nexagate bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk mengadakan sesi kesedaran mingguan yang menyasarkan PKS dan orang ramai dalam ekosistem mereka.

Katanya syarikat turut bekerjasama dengan Cybersecurity Malaysia untuk menawarkan kursus keselamatan siber dalam talian bagi meningkatkan kesedaran dalam agensi kerajaan.

Melalui visinya 'Keselamatan Siber Lebih Baik untuk Semua', Nexagate membangunkan Nexa Security Intel (NSI), penyelesaian untuk memudahkan keselamatan siber bagi membolehkan PKS mewujudkan proses keselamatan yang terbaik, dengan perlindungan segera dan dapat melihat potensi kelemahan dalam rangkaian mereka.

Khairil Effendy berkata syarikat turut menjalin kerjasama dengan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) yang yakin dengan visi Nexagate dan melabur dalam pembangunan NSI.

NSI adalah papan pemuka keselamatan siber yang memudahkan keselamatan siber untuk organisasi dan PKS, terdiri daripada tiga modul: modul pematuhan untuk membantu mewujudkan dasar dan proses keselamatan siber; modul ancaman untuk mengenal pasti kelemahan dalam rangkaian - mengelak eksploitasi oleh penggodam dengan mendapatkan jalan keluar; dan modul perlindungan yang memberikan perlindungan segera dalam bentuk antivirus dan pemantauan laman web.

Susulan pelaburan MTDC, Khairil Effendy berkata NSI telah berkembang sehingga versi 3.5 dan telah digunakan oleh 30 pelanggan di Indonesia dan Malaysia sejak pelancaran awalnya pada suku kedua 2020.

“Aktiviti rundingan yang amat bergantung kepada interaksi bersemuka kini disampaikan melalui NSI bersama alat komunikasi maya dan ini telah mewujudkan peluang untuk memperluas tawaran perkhidmatannya ke negara-negara seperti Indonesia, Singapura, Filipina dan Laos,” katanya.

Khairil Effendy berkata Nexagate menyasarkan untuk terus berkembang ke negara-negara ASEAN lain seperti Thailand dan Vietnam dan meletakkan Malaysia sebagai penanda aras dalam mempunyai pelaksanaan keselamatan siber yang utama.

-- BERNAMA

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan