BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
COVID-19

Vaksin COVID-19 sumbangan China tiba di Myanmar

30/05/2022 04:50 PM

BEIJING, 30 Mei (Bernama) -- Kerajaan China terus menghulurkan sumbangan vaksin COVID-19 dan barang perubatan lain kepada Myanmar dan pesawat membawa barangan itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon, pada pagi Ahad.

Majlis penyerahan sumbangan berkenaan diserikan dengan kehadiran Duta China ke Myanmar, Chen Hai dan Menteri Kesihatan Myanmar, Thet Khaing Win.

Sejak tercetus pandemik COVID-19, China kerap menyalurkan sumbangan terdiri daripada pelbagai jenis bantuan termasuk vaksin dan oksigen cecair, di samping terus melaksanakan inisiatif kerjasama "perisai kesihatan ASEAN China" untuk membantu Myanmar menghasilkan vaksin serta meningkatkan kadar pemvaksinan di negara itu.

Dalam perkembangan lain, Chen berkata China akan terus mendorong pembinaan projek pusat pencegahan penyakit dan pusat latihan ahli perubatan di Myanmar.

Pada hari sama, kedua-dua pihak turut menandatangani perjanjian mengenai program makmal penyakit haiwan dan menjalankan program pembasmian penyakit malaria di kawasan sempadan China-Myanmar.

China berharap langkah-langkah berkenaan dapat membantu Myanmar memperkukuh sistem kesihatan awam.

Sementara itu, Thet Khaing Win turut menzahirkan penghargaan kepada China atas sumbangan yang dihulurkan kepada Myanmar.

Menurut beliau, vaksin sumbangan China kali ini akan digunakan untuk pemvaksinan golongan remaja dan kanak-kanak.

“Kenderaan bergerak untuk ujian pengesanan COVID-19 akan digunakan untuk pencegahan wabak di kawasan sempadan.

“Kedua-dua pusat di bawah perjanjian itu dijangka memainkan peranan penting dalam pencegahan penyakit berjangkit di Myanmar sebagai institusi diiktiraf serantau dan antarabangsa,” kata Thet.

Beliau turut yakin kerjasama Myanmar-China akan mempergiat usaha pencegahan wabak, selain mendorong pembangunan seimbang kesihatan dan sosioekonomi kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan