BERITA COVID–19   COVID-19: Thailand kesan kes pertama varian XAY.2 | Semakin banyak negara laksana sekatan COVID-19 terhadap pelancong China | Kes COVID-19 meningkat, Beijing perketat kawalan | COVID-19: Kes baharu mingguan meningkat 57.3 peratus - KP Kesihatan | Chow disahkan positif COVID-19 | 
COVID-19

Thailand: pelancong China dijangkiti koronavirus novel mungkin dibenar keluar hospital minggu ini

16/01/2020 07:09 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 16 Jan -- Pelancong China di Thailand yang didiagnos telah dijangkiti koronavirus novel kini semakin pulih dan dijangka dibenarkan keluar hospital pada minggu ini, kata seorang pegawai kesihatan.

Wanita berusia 61 tahun dan berasal dari bandar Wuhan itu dikesan menghidap demam panas oleh sistem pengawasan termal di Lapangan Terbang Suvarnabhumi sejurus tiba pada 8 Jan dan telah dimasukkan ke hospital pada hari yang sama.

Ia merupakan kes pertama koronavirus novel yang telah disahkan yang dieksport dari Wuhan, Wilayah Hubei, China.

Penasihat Kanan Jabatan Kawalan Penyakit, Weerawat Manosuthi, berkata wanita itu telah menerima rawatan serta dikuarantin sejak 8 Jan, dan penyakit koronavirusnya disahkan pada Ahad oleh ujian makmal.

“Beliau semakin pulih. Bagaimanapun, beliau diletak di bawah pemerhatian dan akan dibenarkan pulang sementara menunggu dua keputusan ujian makmal.                

“Jika beliau (kemudiannya) diuji negatif untuk virus itu, beliau boleh dibenarkan keluar pada minggu ini,” kata doktor itu kepada Bernama di sini pada Khamis.

Wanita itu, yang mula menunjukkan gejala-gejala seperti selesema pada 5 Jan, dilaporkan telah berkunjung ke sebuah pasar segar tempatan di Wuhan secara rutin sebelum dijangkiti penyakit itu namun tidak melaporkan kunjungannya ke Pasar Borong Makanan Laut Huanan - juga di Wuhan - di mana kebanyakan kes telah dikesan.

Weerawat berkata terdapat peningkatan dalam jumlah pesakit yang dimasukkan ke wad dengan gejala-gejala penyakit pernafasan, namun ujian bagi kes koronavirus novel adalah negatif.

"Tiada pesakit baharu di Thailand,” katanya.

Sejak laporan awal kes-kes di bandar Wuhan pada 31 Dis, penyakit misteri itu telah menjangkiti sekurang-kurangnya 41 orang di Wuhan.

Seorang lelaki berusia 61 tahun meninggal dunia akibat penyakit radang paru-paru, satu gejala penyakit itu, di Wuhan selepas penularan wabak virus yang ketika itu belum dikenal pasti.

Kebanyakan kes yang dikesan membabitkan pekerja atau pengunjung yang kerap ke Pasar Borong Makanan Laut Huanan, yang kini telah ditutup buat sementara waktu.

Pada 13 Jan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata ia kini bekerjasama dengan para pegawai di Thailand dan China berikutan laporan mengenai kes yang telah disahkan di luar China.

“Adalah kritikal untuk mengkaji semula semua maklumat penting bagi memahami sepenuhnya potensi kebolehpindahan penyakit ini dalam kalangan manusia,” menurutnya dalam satu kenyataan.

WHO berkata Ketua Pengarahnya, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, akan berunding dengan anggota Jawatankuasa Kecemasan dan boleh memanggil mesyuarat jawatankuasa itu dalam masa yang singkat.

“Kemungkinan kes itu dikenal pasti di negara lain bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan dan memperkukuh sebab WHO meminta pemantauan aktif dan kesiapsiagaan yang berterusan di negara lain,” katanya.

WHO mengulangi bahawa adalah penting siasatan diteruskan di China bagi mengenal pasti sumber wabak ini dan mana-mana reservoir haiwan atau perumah perantara.

-- BERNAMA

 

© 2023 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan